Sunday, November 27, 2011

UMNO DAN GAGASAN WASATIYYAH - 'KULIT BERTUKAR, ISI TETAP SAMA'




Sempena perhimpunan Umno, parti yang terkenal dengan sifat  perkauman yang tebal secara ironisnya cuba melancarkan gagasan wassatiyyah sebagai langkah ke arah mengambil jalan wassatiyah (pertengahan). Selepas gagal menjayakan konsep 1Malaysia kerana ketebalan sifat perkaumannya, Umno kini bertukar arah ke konsep gagasan wassathiyyah.

Namun, lebih daripada itu, adakah kemunculan gagasan wassatiyyah petanda Umno kini kian bergelora?

Ataupun ada pemimpin yang tidak sabar menanti untuk menonjolkan kepimpinannya kepada ahli Umno sehingga melancarkan slogan baru yang lebih mudah difahami untuk memalukan slogan 1Malaysia yang sehingga kini masih belum difahami oleh rakyat?

Apakah kerana ada pihak yang merasakan konsep 1Malaysia perdana menteri sudah hampir tenggelam sehingga mendorong mereka untuk mengemukakan idea gagasan wassatiyyah sebagai alternatif dan persediaan ke PRU13 tanpa slogan 1Malaysia?

Tidak menafikan bahawa wassatiyyah adalah satu asas penting selaras dengan gagasan Islam. Namun, harus tegas diingatkan bahawa  gagasan wassathiyyah  wajib dibina di atas asasnya yang betul, yakni dasar dan paksi yang tidak bertentangan dengan prinsip Islam.

Gagasan wassatiyyah hanya akan dapat dicapai bilamana parti pemerintah melaksanakan sistem pemerintahan dengan adil dan saksama. Selain itu, parti pemerintah mesti melaksanakan amanah yang diletakkan dengan menghayati seluruh sistem Islam kerana seluruh dasar Islam berpaksi kepada keadilan sejagat, tanpa mengira perbezaan warna kulit dan bangsa.

Parti pemerintah juga diwajibkan melaksanakan perjanjian seperti pembayaran royalti minyak kepada Kelantan dan menghormati dan menjunjung dasar federalisme dalam Perlembagaan Persekutuan.

Mana mungkin parti yang bersifat tebal perkauman dan sering 'flip-flop' seperti Umno dapat mengambil jalan tengah dalam pendekatan politik dan urus tadbir negara?

Tindakan Umno membiarkan beberapa badan NGO pro-Umno, terutamanya Perkasa memainkan sentimen perkauman ekstrem bermotifkan politik selama ini jelas mencerminkan gagasan wassatiyyah yang diutarakan hanyalah slogan kosong, sebagaimana berakhirnya gagasan Islam Hadhari dan lainnya.

Walau apapun, gagasan wassatiyyah yang disebut Umno hanya sekadar pemanis bicara bagi memberi ruang kepada segolongan intelek berbicara. Gagasannya tidak lebih dari sekadar wacana dan seminar tanpa apa-apa tindakan dan pelan bertindak. Gagasan wassatiyyah hanyalah satu slogan kosong sebagaimana slogan-slogan terdahulu.

Selagi Umno terus dan masih gagal menunaikan amanah dan gagasan sistem federalisme yang telah diterima pakai dalam sistem politik negara, lancarlah apa-apa slogan sekalipun kerana ianya tidak lebih hanya fatamorgana, kosong yang tidak mempunyai apa-apa makna kepada rakyat selain sebagai satu cubaan baru untuk memperdayakan mereka.

No comments:

Post a Comment