Monday, May 14, 2012

Nizar: Pakatan Rakyat Perak tidak pernah pinggirkan Melayu, berjuang untuk semua kaum



Gambar DS Nizar semasa banjir di K.Dipang, Kampar
Daripada tidak begitu dikenali ramai pada tahun 2008, Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin muncul memegang jawatan Menteri Besar (MB) negeri Perak dengan pelbagai cabaran dan dugaan. Namun tidak sampai setahun, beliau telah menjadi tokoh sanjungan pelbagai lapisan rakyat dalam perjuangan mengembalikan keadilan untuk Perak dan Malaysia. Ramai tidak lupa pencapaian Pakatan Rakyat dalam pemerintahan 10 bulannya dan rampasan kuasa haram BN di negeri Perak pada tahun 2009. Wartawan The Rocket T.K. Tan menemu bual tokoh berkarisma kelahiran Kampar ini untuk berkongsi pandangan beliau.
Bagaimana keadaan senario politik Perak pada masa ini?
Ramai rakyat Perak tidak sabar menunggu pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) sejak Februari 2009 lagi. Pilihan raya kecil (PRK) Bukit Gantang yang menyusul rampasan kuasa haram itu merupakan referendum pada rampasan kuasa tersebut. PRK tersebut luar biasa, bukan sahaja ia berlaku di sebuah kawasan kubu kuat UMNO, tetapi PAS juga membuat satu kejutan. Calon PAS memenangi lebih daripada 80 peratus undi kaum Tionghua di dalam pilihanraya, perkara yang tidak pernah berlaku dalam sejarah PAS. PRK tersebut seakan hari pertempuran terakhir buat warga Perak.
Di kala ini sokongan rakyat Perak untuk Pakatan Rakyat masih baik. Pada kemuncak krisis tersebut, ramai pengundi Melayu teguh bersama kami. Tetapi selepas itu, sokongan orang Melayu, terutamanya di luar bandar, telah kurang sedikit.
Kenapa sokongan Melayu menjadi begitu?
Ada tiga sebab utama untuk kemerosotan sokongan Melayu ini. Pertamanya, untuk menghalalkan rampasan kuasa haram itu, saya kerap dicerca dengan pelbagai tohmahan sebagai boneka DAP dan kaum Tionghua. Ini disebabkab PAS adalah parti minoriti dalam kerajaan campuran itu. Tidak habis UMNO memainkan isu ini dengan menghasut orang Melayu supaya bangun menegakkan sebuah kerajaan ‘Melayu’ untuk memelihara hak mereka.
Yang kedua, UMNO juga memfitnah saya telah menderhaka terhadap Sultan kerana enggan meletak jawatan sebagai MB. Dalam kancah masyarakat Melayu, ini seumpama mengingkari titah Sultan walau pun di dalam perlembagaan negeri Perak jelas menyatakan MB tidak boleh dipecat oleh Sultan. Jelas UMNO tidak mahu orang Melayu jadi cerdik dan faham undang-undang.
Yang ketiga, saya dituduh menjual tanah Melayu kepada tauke Cina. Selanjutnya media massa yang dikuasai BN memutar-belitkan fakta tentang dasar Pakatan Rakyat memberi geran hak milik bebas kepada para penghuni-penghuni di kampung tersusun dan kampung baru. Hakikatnya orang Melayulah penerima manfaat terbesar ini.
Namun saya ditohmah sebagai hanya meluluskan untuk penghuni kaum Tionghua sahaja, yang kebanyakannya menduduki kampung baru tersebut. Demi untuk fitnah saya dan Pakatan, UMNO rela orang Melayu rugi.
Adakah ini bermakna orang Melayu begitu mudah terperdaya dengan dakwaan UMNO?
Berpuluh tahun UMNO menpengaruhi minda pemikiran masyarakat Melayu dengan pelbagai penipuan. Sesiapa yang bermesra dengan DAP yang mereka tuduh “cauvinis Cina” dan pada masa yang sama dilihat sebagai mendukung dasar yang zahirnya menguntungkan semua kaum, ia dituduh mengkhianati Melayu. Inilah logik rapuh tajaan UMNO. Yang sedihnya masyarakat Melayu telah lama dan masih mempercayainya.
Ramai penduduk Melayu sangsi dengan dasar saksama kami, terutamanya penyokong UMNO dan penduduk luar bandar kerana mereka masih teguh kepercayaan asabiyah (fanatik terhadap sesuatu puak) mereka. Dasar Pakatan dikatakan menyebelahi kaum bukan Melayu sedangkan kami berjuang bagi keadilan untuk semua. Islam menggalakkan keadilan untuk semua.
Sejauh mana usaha Pakatan untuk menarik sokongan orang Melayu di Perak?
Sewaktu isu penyenaraian FELDA timbul, ada sebahagian penduduk Melayu luar bandar mula menunjuk minat dalam pesanan kami. Mereka sedar UMNO dan BN cuba mengambil kesempatan hak rakyat, terutamanya hak orang Melayu. Skandal kondo dan lembu NFC serba sikit menolong dalam meningkatkan sokongan orang Melayu buat Pakatan Rakyat. Namun langkah populis kerajaan pusat seperti pemberian wang tunai BR1M dan sebagainya menjejaskan sedikit sokongan itu kepada kami. Keseluruhannya keadaan ini masih turun naik bagi BN dan PR.
Bagaimana dengan sikap pegawai dan kakitangan kerajaan negeri? Bukankah ada segelintir pimpinan mereka yang menentang Pakatan sewaktu menjadi kerajaan negeri dahulu?
Di kala ini terdapat sekitar 7,900 ahli kakitangan kerajaan negeri, majoritinya Melayu. Permulaannya, ramai daripada mereka tidak berkerjasama dan ragu-ragu dengan kerajaan Pakatan Rakyat. Tetapi kami terus berusaha dengan matlamat dan kerja kami dengan mengutamakan lima prinsip yaitu keadilan, kesaksamaan, integriti, ketelusan dan kebajikan. Setelah lima bulan, ramai kakitangan bawahan kerajaan negeri mula menghargai usaha dan keazaman kami.
Setelah melalui 50 tahun pemerintahan di bawah BN dan 11 bulan di bawah Pakatan Rakyat, mereka dapat melihat perbezaannya. Ahli-ahli politik PR tidak memberi tekanan kepada mereka untuk ‘menjaga’ perniagaan mereka. Kakitangan kerajaan mempunyai kebebasan untuk melaksanakan tugas tanpa campurtangan. Sebab itu ada sekitar 80 peratus daripada kakitangan kerajaan negeri terus menyokong kami sehingga kini.
Tetapi ada pegawai atasan yang susah untuk berkerjasama. Dari awal lagi, ada di antara mereka mempunyai agenda sendiri. Mereka melawan kami dengan membelakangkan arahan rasmi dan mensabotaj kami. Khasnya Setiausaha Negeri menyalurkan butir mesyuarat Exco kepada pihak luar dan menukar arahan kami.
Saya telah beberapa kali meminta Ketua Setiausaha Negara untuk menukarkan Setiausaha Negeri tersebut yang gagal menjalankan tugas sebagai penjawat awam, sebaliknya bekerja untuk UMNO-BN, tetapi tidak berjaya. Usaha pegawai tinggi awam di Perak dan BN untuk mensabotaj kerajaan Pakatan Rakyat sebenarnya telah bermula dari hari pertama lagi. Rancangan sabotaj mereka mendalam dan luas kesannya. Saya hanya dapat bersyukur kerana majoriti kakitangan awam mahu kepada kebenaran, keadilan untuk semua. Mereka mahu laksanakan tugas ikut amanah rakyat, bukan bermain politik seperti segelintir pegawai tinggi atasan.
Sejauh mana benarnya dakwaan kononnya DAP mengongkong dan menguasai kedudukan Menteri Besar dan kerajaan negeri dulu?
Tuduhan kononnya DAP, khasnya Pengerusi DAP Perak Ngeh Koo Ham dan Setiausaha DAP Perak Nga Kor Ming, menguasai segala-galanya sewaktu PR memegang tampuk kuasa di Perak pada tahun 2008-2009 adalah palsu. Niat fitnah itu hanya mahu bangkitkan perkauman, benci kaum lain.
Kebanyakan daripada dasar PR yang dilaksanakan dalam tempoh kami dulu adalah berdasarkan manifesto asal Barisan Alternatif (1999 – 2004), yang mana anggota partinya terdiri daripada PAS dan PKR. Malahan DAP sebenarnya tidak mempunyai edisi manifesto yang terperinci seperti manifesto BA sebelum 2008. Oleh kerana saya yang bertanggungjawab merangkakan manifesto BA, kebanyakan daripada dasar PR yang disebut di atas adalah input saya.
Selain itu, yang ramai orang tak sedar adalah, antara dasar-dasar kebajikan yang memanfaatkan semua kaum, khususnya orang Melayu dicadangkan oleh Ngeh sendiri. Ngeh sudah sepenggal menduduki kerusi ADUN dan juga ketua pembangkang di DUN Perak; oleh itu dia jelas memahami keadaan dan paras kemiskinan di negeri Perak. Dia tahu masih ramai orang Melayu hidup susah dan dia mahu bantu mereka. PR setuju cadanganya.
Berasaskan itu, kerajaan negeri PR telah membekalkan beras dan gula untuk golongan miskin tegar yang majoritinya kaum Melayu. Malahan idea untuk membantu sekolah agama rakyat (SAR) melalui bantuan tunai juga datang daripada Ngeh.
Harapan untuk PRU13?
Semoga orang Melayu bersama semua kaum lain di Perak menyedari mana yang benar dan mana yang palsu. Saya berjuang demi kebenaran dan keadilan, dan itulah yang saya akan teruskan bersama dengan PR.

No comments:

Post a Comment