Monday, September 10, 2012

Shabery digesa mohon maaf hina atlet paralimpik


KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) kesal dengan kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang telah mengguris perasaan golongan orang kurang upaya (OKU).

Ini kerana beliau meletakkan tahap atlet paralimpik negara di kejohanan Paralimpik di London baru-baru ini sebagai ‘kelas kedua’.

“Kami juga menggesa agar Datuk Seri Shabery memohon maaf secara terbuka di atas ketelanjuran bahasa yang dinyatakan atau sekiranya ia  memang menjadi dasar Kerajaan Pusat merendahkan dan menganggap bahawa atlet paralimpik tidak bernilai di Malaysia,” kata Naib Ketua DPPM, Dr Raja Ahmad Iskandar al-Hiss.

Katanya, kenyataan Shabery baru-baru ini yang berkata kerajaan tidak akan memberi pencen kepada atlet paralimpik yang memenangi pingat pada temasya di London itu sebagai tidak adil sama sekali.

“Kami merasakan OKU seumpama inilah yang sewajarnya diberikan perhatian dan diberikan bantuan yang melebihi orang lain yang cukup sifatnya,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Ini,katanya ditambah kenyataan pedas Shabery yang mengatakan bahawa ‘perlu diingat juga standard Sukan Paralimpik dan Sukan Olimpik jauh bezanya, jadi kita perlu realistik apabila membuat sebarang keputusan’.

Iskandar berkata, kenyataan itu sangat menyinggung perasaan OKU.

“Kami amat kesal kenyataan penghinaan yang diberikan oleh Datuk Seri Shabery tersebut yang boleh disifatkan bongkak dan tidak mengadili kekurangan seseorang manusia,” katanya.

Oleh yang demikian, ujarnya DPPM mendesak satu tindakan diambil terhadap Shabery dengan segera dan mendesak agar atlet paralimpik juga diberikan pencen yang lebih baik daripada atlet Olimpik negara.

“Tidakkah mereka juga telah mengharumkan nama negara?” tanya beliau.

No comments:

Post a Comment