Monday, November 19, 2012

Dasar perumahan timbul kekeliruan pembeli


Dasar Perumahan Negara yang dibentangkan baru-baru ini dilihat tidak memberi sebarang makna kepada pembeli yang menjadi mangsa projek terbengkalai.
Sebaliknya, ia hanya menimbulkan kekeliruan di kalangan pembeli yang sebelum ini dijanjikan memperoleh pengecualian bayaran kos faedah atas pinjaman pembelian rumah yang terbengkalai, tegas Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail.
"Saya mengharapkan jawapan kementerian hari ini memberikan beberapa ramuan untuk menyelesaikan masalah pembeli yang terkesan dengan projek perumahan terbengkalai.
"Tapi, saya terkejut dengan jawapan menteri yang menyatakan status pembeli masih kekal iaitu terpaksa membayar bayaran bulanan dan juga caj faedah ke atas rumah mereka yang tidak wujud," kata beliau pada sidang media, di lobi parlimen, hari ini.
Berkata demikian sebagai mengulas jawapan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan ketika penggulungan perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2013 bagi kementerian tersebut.
Selain menyifatkan pembeli menanggung kerugian sebanyak dua kali, manakala pemaju dan syarikat perbankan mendapat keuntungan dua kali, Azan berkata kerajaan seolah-olah 'takut' dengan pemaju dan syarikat perbankan.
Tegas beliau, pihaknya begitu bersimpati dengan nasib mangsa projek rumah terbengkalai yang sudah pun membuat bayaran ke atas pinjaman dan kadar faedah pinjaman tersebut.
Justeru, Azan mengharapkan kerajaan membuat pertimbangan semula berhubung perkara tersebut bagi memastikan nasib mereka yang teraniaya ini terbela.

No comments:

Post a Comment