Tuesday, November 6, 2012

Soi Lek putar belit, tetap perlu mohon maaf


Dewan pemuda PAS Malaysia (DPPM) mendakwa 'penjelasan' Presiden MCA Datuk Seri Chua Soi Lek berhubung penghinaannya terhadap hudud sebagai putar belit untuk melepaskan diri selepas tersepit.

Setiausahanya, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, alasan Soi Lek bahawa beliau tidak menghina Islam dan hanya mempersoal hudud PAS adalah tidak masuk akal.

Ini kerana ketika menghina hudud dengan mendakwa 'dengan melaksanakan hudud, Malaysia akan hilang pelaburan dari luar kerana pelabur-pelabur takut dengan perlaksanaan undang-undang yang kejam di Malaysia', langsung tidak menyebut hudud PAS.

Selain itu Soi Lek juga pernah berkata 'apabila rekod hak asasi kita tidak baik dan hukuman pula dianggap sebagai kejam, kedudukan global Malaysia akan merosot' seperti dilapor media.

Beliau juga mendakwa bahawa lapan daripada sebelas negara yang melaksanakan hudud dianggap sebagai antara yang paling korup dan tidak selamat.

"Tidakkah ini sudah jelas bahawa Dr Chua telah menghina hudud kerana telah menyatakan bahawa lapan negara tersebut adalah di antara negara yang korup dan tidak selamat ataupun mungkin Dr Chua ingin menyatakan bahawa lapan negara tersebut melaksanakan hudud PAS," soal Faizi.

Sehubungan itu katanya, DPPM mengingatkan agar beliau tidak menyebut atau menyentuh isu berkenaan hudud lagi.

Faizi berkata, ini bukan kerana mahu menutup ruang bagi non Muslim bertanya tentang Islam tetapi berdasarkan daripada kenyataannya yang lalu, Soi Lek banyak memberikan persepsi negatif kepada masyarakat mengenai hudud dan seolah-olah beliau cuba mewujudkan suasana Islamofobia.

"Beliau perlu sedar, bukan MCA yang perlu berbicara mengenai hudud. Ini kerana masih ada Umno di dalam Barisan Nasional yang lebih layak daripada MCA untuk bercakap tentang hudud.

"Apa yang mengecewakan UMNO bukan sahaja mendiamkan diri bahkan tidak menasihatkan rakan sekututnya itu untuk tidak menyentuh sensitiviti umat Islam di Malaysia dengan menyebut dan mempertikaikan hudud secara terbuka," katanya lagi.

Sehubungan itu, DPPM katanya bertegas mahu Soi Lek memohon maaf kepada semua umat Islam di Malaysia kerana telah memberikan persepsi yang buruk terhadap undang-undang dalam agama Islam.

"Apabila anda tidak bersetuju dengan satu-satu agama bukanlah bermakna anda boleh mempertikaikan agama secara terbuka dengan sesuka hati anda," katanya.

No comments:

Post a Comment