Wednesday, November 7, 2012

Tiada fatwa kafir harbi atau kafir zimmi


Fatwa dan pandangan hukum di negara ini hanya boleh dikeluarkan oleh badan berautoriti iaitu Jawatankuasa Fatwa Negeri-Negeri dan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom menyatakan demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau memberitahu kerajaan sentiasa memantau dan mengambil berat terhadap isu-isu agama yang berbangkit di kalangan masyarakat.

Katanya, walaupun kerajaan meyakini akan prinsip kebebasan bersuara dan memberi pandangan namun perkara-perkara yang berkaitan dengan isu-isu agama merupakan isu sensitif bagi umat Islam.
“Tidak wajar bagi seseorang menggunakan kebebasan bersuara sebagai alasan untuk mengeluarkan pandangan yang boleh mengelirukan masyarakat khususnya umat Islam di negara ini,” katanya.

Abdul Hadi yang juga Presiden PAS dalam soalannya meminta Perdana Menteri menyatakan apakah tindakan yang telah diambil terhadap mana-mana pihak terutama media yang telah menghukum sebahagian rakyat bukan Islam di negara ini sebagai Kafir Harbi, kerana hukuman seumpama itu boleh menggugat ketenteraman kaum di Malaysia.

Dalam pada itu Ogos lalu, seorang guru pondok yang merupakan pengasas Pondok Geting, Tumpat, Abdullah Sa'amah telah menimbulkan kontroversi dengan satu dakwaan bahawa hukum menyokong parti DAP adalah haram.

Kenyataan Abdullah yang dipetik Utusan Malaysia mengatakan bahawa umat Islam haram menyokong DAP kerana ia menolak Islam dan tergolong dalam kafir harbi.

Namun kenyataan yang dikeluarkan oleh Abdullah itu tidak dikenakan sebarang tindakan walaupun pelbagai pihak mengecam kenyataan tersebut.

Jamil Khir menambah, sehingga kini tidak ada fatwa atau pandangan hukum berkaitan kedudukan orang bukan Islam di Malaysia sebagai Kafir Harbi atau Kafir Zimmi yang dikeluarkan oleh Jawatan Fatwa Negeri-Negeri atau Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI).

Beliau juga menegaskan setiap pendapat atau pandangan hukum oleh mana-mana individu atau institusi selain daripada dua entiti tersebut tidak boleh dianggap sebagai fatwa.

Jamil Khir bagaimanapun tidak menjelaskan sama ada sudah ada tindakan diambil atau tidak terhadap individu yang mengeluarkan hukum orang bukan Islam di negara ini sebagai Kafir Harbi.

No comments:

Post a Comment