Monday, December 24, 2012

Najib mesti jawab tuduhan Deepak dulu



Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak disaran menunjukkan kepimpinan melalui tauladan dengan memberi respon kepada tuduhan berat Deepak Jaikishan terhadap beliau berkaitan kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu.
Saranan itu disuarakan Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo berikutan langkah yang dicadang Perdana Menteri supaya calon Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) nanti ditapis terlebih dulu bagi membersihkan imej BN.
Gobind berpendapat demi membersihkan imej parti berkenaan, BN mesti tidak lagi menimbulkan sebarang curiga dengan dakwaan yang boleh memberi kesan kepada parti itu pada PRU-13.
“Najib sepatutnya memimpin melalui tauladan dengan mengadakan siasatan terbuka dan memberi respon terhadap dakwaan Deepak Jaikishan baru-baru ini,” ujar Gobind, sambil menambah bahawa Perdana Menteri sendiri mesti memberi kerjasama penuh dalam siasatan terbabit demi membuktikan beliau benar-benar serius.

“Jika proses tapisan itu terpakai kepada semua calon, ia mestilah terpakai kepada beliau sendiri (Perdana Menteri) juga,” kata Gobind yang mengetuai Biro Undang-undang DAP.
Menurut beliau lagi, jika Najib gagal berbuat demikian, ia akan memperlihatkan langkah penapisan untuk membersihkan imej BN itu hanya sekadar gimik politik.
“Ini adalah ujian terbesar untuk Najib, beliau telah menjerat diri sendiri dan mesti menyahut cabaran saya,” ujar Gobind.
Deepak, seorang pengusaha karpet dan kenalan rapat kepada isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor telah mendedahkan bahawa beliau disuruh mencari penyiasat persendirian, P. Balasubramaniam setelah akuan bersumpah penyiasat itu didedahkan; mengaitkan Perdana Menteri dengan pembunuhan Altantuya.
Balasubramaniam akhirnya menukar kenyataan bersumpah beliau selepas pertemuan yang diaturkan oleh Deepak bersama adik Perdana Menteri, Datuk Mohamed Nazim Razak.

No comments:

Post a Comment