Tuesday, March 4, 2014

Penjadualan agihan air kurangkan sengsara penduduk

 Kesengsaraan mengangkut air selama 17 hari untuk mendapatkan bekalan air bersih, akhirnya berakhir apabila penjadualan air dijalankan sejak dua hari lalu oleh Syabas selepas campur tangan Kerajaan Negeri Selangor.

Penduduk di Selangor, khususnya Balakong yang terputus bekalan air tanpa sebarang notis makluman melahirkan rasa syukur dan agak lega apabila penjadualan air dijalankan pihak bertanggungjawab.

Seorang pekerja swasta, Nur Suhaili Muhamad, berkata keperitan mengangkut air setiap hari sepanjang 17 hari lalu benar-benar menguji kesabaran, apatah lagi buat beliau yang bekerja.

"Setiap hari menunggu lori air untuk mengangkut air. Kadang-kadang timbul rasa geram kerana bila pulang dari tempat kerja, tangki sudah kosong. Sudahnya tiada air sebab bekalan tidak mencukupi.

"Terpaksa buat aduan, dan kemudian teruskan rutin sama untuk 17 hari dengan menadah dan mengangkut air untuk keperluan memasak dan mandi. Memang susah, sebab kadang-kadang bekalan tidak cukup," kata beliau kepada Harakahdaily, hari ini.

Tambah beliau, walaupun krisis air masih belum selesai, penjadualan atau catuan ini benar-benar melegakannya, lebih-lebih lagi apabila notis awal dikeluarkan sebagai persediaan untuk penduduk menyimpan bekalan air.

"Selepas catuan, Alhamdulillah ringan sikit beban. Tidak perlu bersusah-payah angkut air. Dua hari ada, dua hari tidak ada pun sudah bersyukur sebab sempat tadah air. Sepatutnya jika Syabas buat dri mula dulu, tidaklah membebankan pengguna," kata beliau.

Sementara itu, seorang pengguna di Wilayah Persekutuan yang turut berdepan dengan catuan air ini beranggapan krisis air yang melanda Selangor merupakan kejadian alam yang bukan dirancang oleh sesiapapun.

Nor Azmatun Ismail, 39 berkata keadaan cuaca yang menyebabkan kuantiti air di empangan menyusut menyebabkan terdapat beberapa kawasan yang terputus bekalan air, lebih-lebih lagi akibat pencemaran amonia di beberapa loji di Selangor.

"Walaupun saya menetap di Wangsa Maju, kediaman saya turut terlibat dalam catuan ini. Bagi saya, ia tidaklah begitu mendatangkan masalah kerana dimaklumkan awal. Jadi kita bersedia dengan menadah air ketika bekalan diberikan. Lainlh kalau tidak diberikan notis, apabila nak guna, tiba-tiba tiada air. Itu memang pengguna akan marah.

"Lagipun, ia bukan kerana kegagalan mana-mana pihak, tapi sebab cuaca kering yang menyebabkan penyusutan air di empangan. Bagi saya tidak masuk akal kepada sesiapa yang cuba kaitkan krisis air ini dengan kerajaan negeri Selangor," tegas beliau.

Biarpun sebelum ini Azmatun mendapat bekalan air tanpa sebarang masalah, beliau tidak mengganggap catuan ini membebankannya kerana memahami masalah pengguna lain.

Beliau beranggapan catuan ini juga membolehkan semua penduduk dapat menikmati bekalan air, dan bukanlah hanya penduduk tertentu yang menghadapi kesukaran tersebut.

No comments:

Post a Comment