Friday, June 20, 2014

Ugut, cabar keluar Malaysia sangat tidak matang

Mengugut untuk keluar dari Malaysia atau mencabar supaya sesuatu pihak keluar dari Malaysia ketika menghadapi perbezaan pendapat adalah tindakan yang sangat tidak matang.

Justeru, pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) menyeru semua pihak sama ada parti politik, NGO atau individu agar sentiasa beriltizam dengan semangat persekutuan yang telah dimeterai melalui pengisytiharan Malaysia pada tahun 1963.

“Adalah menjadi tanggungjawab kita semua memelihara dan mempertahankan keutuhan setiap inci tanah air ini termasuk Sabah dan Sarawak,” ujar presidennya, Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad.

Katanya, IKRAM terpanggil untuk mengajak seluruh rakyat Malaysia mempertahankan keutuhan negara yang satu.

Tambahnya, sebarang seruan ke arah sebaliknya, sama ada seruan secara emosi atau provokasi, perlulah dihentikan serta-merta.

Katanya lagi, keresahan dalam kalangan penduduk yang merasakan ketidakseimbangan agihan hasil mahsul negara perlu diselesaikan segera oleh Kerajaan Persekutuan.

Beliau menambah, IKRAM prihatin terhadap keperluan Sabah dan Sarawak kepada kemudahan asas seperti bekalan air yang bersih, bekalan elektrik, perumahan, pendidikan, perubatan, pengangkutan, lebuh raya dan yang seumpamanya.

Mohd Parid menegaskan bahawa Sabah dan Sarawak yang kaya dengan hasil bumi dan sumber manusia perlu dibangunkan secara optimum oleh kerajaan pusat supaya pulangannya kembali kepada rakyat kedua-dua negeri.

Ini, ujarnya akan memastikan pembangunan bersepadu yang lebih saksama serta mengelak perasaan dianaktirikan oleh rakyat kedua-dua negeri.

Sehubungan itu, beliau mengajak semua pihak supaya saling bermuafakat dan menghormati antara satu sama lain ke arah masa depan Malaysia yang lebih baik.

“IKRAM mengingatkan bahawa Allah S.W.T. mengajar kita semua untuk menyuburkan bumi ini dengan seruan-Nya, ‘Rahmatan Lil 'Alamin’ iaitu membawa rahmat dan kasih sayang kepada seluruh penduduk bumi,” ujarnya.

IKRAM juga, ujar beliau menyeru semua pihak agar menghormati Rukun Negara yang menjadi asas perpaduan.

“Sebarang seruan atau ancaman ke arah perpecahan perlu dihentikan serta-merta. Mari kita laksanakan seruan mulia ini,” kata beliau. -

No comments:

Post a Comment