Friday, November 28, 2014

Mahfuz cabar Mukhriz dedah kontraktor projek lanskap

ALOR SETAR: Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Mahfuz Omar mencabar Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir agar memaklumkan kepada orang ramai kontraktor yang dilantik untuk projek lanskap di kediaman rasminya di Seri Mentaloon.
Menurut Mahfuz, projek pengubahsuaian lanskap di Seri Mentaloon itu menelan belanja sehingga RM2.9 juta.
"Kita minta Mukhriz mendedahkan siapakah yang tender penanaman pokok kurma dan royal itu dan mohon diperjelaskan adakah projek berkenaan dalam pengetahuan UPEN dan adakah ianya melalui JKR?
"Saya minta dia jelasnya kepada umum dalam tempoh seminggu.Selain itu saya minta dia maklumkan juga berapa belanja penanaman sebatang pokok kurma dan royal palm sehingga peruntukan RM2.9 juta dibelanjakan," kata beliau kpeada pemberita dalam sidang media, semalam.
Menurutnya lagi, kebanyakan pokok kurma dan royal palm yang ditanam di Malaysia diimpot dari Thailand dan dalam pengetahuannya, kos sebatang pokok kurma sehingga selesai urusan hanya RM1000 dan royal palm antara RM500 hingga RM600 sahaja.
Justeru beliau meohon supaya Mukhriz bersikap telus memaklumkan hal demikian kerana jumlah peruntukan yang besar itu tidak munasabah sama sekali serta tidak berpadanan dengan jumlah pokok yang ditanam di kediamaan rasminya itu.
"Saya dimaklumkan dalam tempoh empat tahun kurma itu dijangka mengeluarkan buah dan kononnya dapat menampung keperluan orang ramai menjelang bulan Ramadan. Tapi belum tentu ianya berbuah dan mengeluarkan hasil sedangkan jumlah yang dikeluarkan terlalu tinggi serta tidak senilai dengan keperluan yang dikatakan.
"Rakyat Kedah bukan mengharapkan kurma dari Seri Mentaloon, setiap tahun mereka boleh beli di Pekan Rabu tapi rakyat memerlukan kebajikan yang lain dan jangan sewenang-wenangnya menggunakan duit rakyat pada perkara yang tidak terlalu diperlukan oleh rakyat," tambahnya lagi.
Sehubungan itu, beliau merasa amat kesal akan sikap Mukhriz yang cuba berselindung perkara sedemikian dan sebaliknya mencanang projek pengubahsuaian Seri mentaloon diberikan kepada 'abang Ahli Parlimen Pokok Sena' seperti yang didedahkan semasa penggulungan perbahasan bajet Kedah 2015 minggu lalu.
"Perkara tersebut tidak ada kena mengena dengan saya kerana projek berkenaan diberi kepada abangnya melalui tender yang dikeluarkan oleh JKR.
"Saya tidak pernah mengeluarkan sebarang surat sokongan agar abang saya memperolehi tender berkenaan, tetapi yang dipertikaikan ialah apakah keperluan rumah itu di ubahsuai sedangkan perkara yang sama telah dibuat semasa pemerintahan Pakatan Rakyat dulu.
"Tahun 2011, rumah tu sudah di baikpulih untuk dijadikan istana tetamu menyambut Yang di-Pertuan Agong dan Sultan Brunei. Apakah tak cukup lagikah segala kelengkapan yang diubahsuai?" soal Mahfuz.
Mukhriz juga dibidas kerana berbohong di dalam Sidang Dun tersebut ini dengan mengatakan kedua-dua projek berkenaan diberi kepada abang beliau sedangkan menurut Mahfuz kedua-dua tender berkenaan diberi kepada kontraktor yang berbeza.
"Saya minta dia jawab. Kalau dia tak jawab, saya akan maklumkan. Saya tahu siapa kontraktor tanam pokok kurma dan royal palm tu. Tapi saya nak dia jawab dulu," ujarnya.
Harakahdaily dimaklumkan bahawa kos pengubahsuaian di Seri Mentaloon membabitkan kos RM4.3 juta iaitu rumah kediaman sebanyak RM1.4 juta dan bahagian lanskap sebanyak RM2.9 juta.
Dalam sidang media yang sama, Mahfuz yang juga merupakan Ketua Penerangan PAS Pusat, mengharapkan Kerajaan Kedah mengikuti langkah Selangor yang memperuntukkan sebanyak RM200,000 untuk Adun Pembangkang walaupun disifatkan sebagai satu penghinaan kepada mereka.
"Sebenarnya, Pakatan Rakyat Kedah juga mempunyai perancangan, andainya diberi mandat oleh rakyat sekali lagi dalam Pilihan Raya Umum yang lalu, akan memberi peruntukan kepada Adun Pembangkang untuk membantu menyelesaikan urusan-urusan berkaitan kebajikan rakyat. Jadi saya harap kerajaan sekarang bolehla meniru macam apa yang kerajaan Pakatan Rakyat Selangor buat," tambah beliau.
Terdahulu, Mahfuz telah menyempurnakan Program Santuni Denyutan Rakyat (Sedara) di Gelanggang Bola Keranjang, Taman Lam sun, Telok Wan Jah di sini.
Hadir sama dalam program tersebut Adun Derga, Tan Kok Yew dan Adun Bukit Pinang, Wan Romani Wan Salim.- HARAKAHDAILY 29/11/2014

No comments:

Post a Comment