Sebagai seorang peniaga, saya sentiasa memerhatikan barangan jualan di kedai saya. Mana yang mendapat sambutan, saya kekalkan dan mana yang tidak dapat sambutan terpaksalah saya 'mengundurkan'nya dengan cara terhormat. Saya memerhatinya dengan penuh cermat bagi memastikan hanya yang mendapat sambutan sahaja akan terus dijual di kedai saya.
Antara yang menarik perhatian saya sejak sekian lama ialah Kicap Cap Kipas Udang. Walaupun harganya mahal, pelanggan setianya akan tetap mendapatkan kicap tersebut, tanpa ada sebarang keluhan tentang harga pasarannya. Saya sendiri tidak berapa ingat entah berapa kali harga kicap ini mengalami kenaikan, rasanya dari RM 3.80, kemudian RM 4.30, naik lagi ke RM 4.60, kemudian RM 5.00, kemudian RM 5.50, beberapa bulan yang lepas RM 5.80 dan terkini RM 6.15!!
Namun jualannya tetap mendapat sambutan. Generasi demi generasi, tak kira tua dan muda menggemarinya. Saya sendiri hairan dengan fenomena ini.
Apa yang menarik sekalipun terdapat pelbagai kicap dari jenama lain dijual dikedai saya namun pelanggan tetap akan mencari kicap Cap Kipas Udang. Bagi mereka, tiada yang dapat menandingi kehebatan Kicap Cap Kipas Udang. Keenakannya, kualiti dan mutunya menjadikan ia berbeza dengan jenama lain.
Sebahagian jenama lain, meskipun harganya berpatutan, namun tetap ada stok yang tidak terjual sehingga terpaksa ditukar kerana tarikh luput. Kadang-kadang digantikan dengan jenama lain yang sama harga, namun keadaannya tetap sama.
Ini berbeza dengan Kicap Cap Kipas Udang dimana tidak ada sebotol pun yang dipulangkan kepada agen akibat sampai tarikh luput sejak ia mula dijual di kedai saya seawal tahun 90-an!
Maka Kicap Cap Kipas Udang terus 'gah' dipasaran, dan tidak gentar dengan persaingan yang hebat kerana kelainan yang ada pada jenamanya.
Maka senaraikanlah seberapa banyak pun jenama kicap di kedai anda, orang akan tetap pilih Kicap Cap Kipas Udang juga!
Risau bertembung
Ramai ahli PAS, pemerhati politik, dan rakyat yang meletakkan harapan tinggi kepada PAS mula bimbang dengan hala tuju yang kini cuba di bawa oleh pemimpinnya. Sejak PAS mula memutuskan hubungan dengan DAP sudah ada suara yang mengatakan masa depan PAS dalam arena politik negara akan gelap kerana kekuatan Pakatan pembangkang terjejas berikutan langkah drastik itu.
Masa depan PAS dilihat lebih kritikal lagi apabila Tuan Guru Presiden dalam satu kenyataan media di Kuala Pilah mendakwa bahawa PAS sedang meneliti rancangan untuk meletakkan calon DHPP bagi menentang calon DAP pada pilihanraya umum ke-14 nanti. Menurutnya PAS tidak akan teragak-agak untuk menempatkan calonnya, malah kini ia diperingkat kajian mendalam bersama Jawatankuasa Pilihanraya dan pimpinan PAS Pusat untuk meletakkan calon bukan Islam bagi mewakili PAS.
Ogos lepas, Nik Abduh pula telah membayangkan bahawa PAS akan bertanding lebih dari 10 kerusi di Sarawak pada pilihanraya negeri akan datang. Beliau menyatakan keyakinan terhadap sokongan yang akan diterima oleh parti di negeri itu sekalipun berdepan dengan cabaran oleh Gerakan Harapan Baru.
Keadaan menjadi semakin tegang apabila Tuan Guru Presiden dalam satu kenyataan terbaru mendakwa PAS tidak akan bersama dengan Pakatan pembangkang baru sekiranya ia berjaya dibentuk. Ini terutamanya apabila gabungan baru itu turut melibatkan DAP dan Parti Amanah Negara yang sebelumnya dikenali sebagai 'pengkhianat' parti.
Dengan suasana dan senario yang berlaku kebelakangan ini, ramai orang sangat bimbang apabila momentum kekuatan Pakatan Rakyat tidak dapat diteruskan kerana PAS dikatakan telah membawa haluannya sendiri. Ini terutamanya selepas PRU ke 13 apabila ramai orang memperkatakan tentang sistem 2 parti sepertimana di negara maju. Ramai pemimpin, pemerhati dan penganalisis politik melihat kekuatan PAS adalah melalui kerjasama dengan pihak lain. Maka formula 1 lawan 1 dengan BN mestilah dikekalkan demi untuk melihat kemenangan sepertimana yang dicapai pada pilihanraya ke-12 dan ke-13 yang lalu. Sebarang pertembungan 2 atau 3 penjuru mestilah dielakkan!
Tak dinafikan ramai yang masih ingat peristiwa pertembungan calon PAS dengan calon PKR di enam kerusi pada PRU ke-13 lalu yang menyaksikan kesemua kerusi itu dimenangi oleh BN!
Saya ingin bertanya mengapa apabila calon PAS, PKR atau Amanah bertembung maka penyokong pembangkang akan undi parti mereka masing-masing manakala pengundi BN akan kekal dengan parti pilihan mereka?
Mengapa apabila parti pembangkang ini meletakkan seorang sahaja calon maka barulah penyokong pembangkang akan memilih calon yang satu ini?
Ramai orang sangka ini adalah cara yang betul untuk berpolitik, yakni mengurangkan pertembungan dengan cara meminimakan pilihan yang ada dikalangan rakyat. Maka rakyat tiada pilihan selain calon itu sahaja.
Mereka yang berpolitik dengan cara begini sebenarnya tidak yakin dengan potensi diri mereka dan kekuatan parti yang mereka wakili. Maka mereka sangat mengharapkan undi dengan cara samada diri mereka atau orang lain mesti 'berundur' dari bertanding dan bersaing!
Mereka ini tak ubah seperti jenama kicap yang sangat takut kepada lambakan jenama kicap yang ada di pasaran. Semakin banyak jenama, semakin tipis kemungkinan mereka merebut dan mendapat peluang pasaran!! Maka jenama kicap sebegini akan berunding dengan tuan kedai dan cuba meyakinkannya seboleh mungkin agar memperagakan kicapnya sahaja. Ketepikan jenama lain!
Tidak dinafikan ada banyak pertimbangan atau faktor yang mempengaruhi rakyat untuk mengundi sesuatu calon, atau memilih sesuatu parti, namun secara amnya ramai yang setuju bahawa faktor kemaslahatan dan kepentingan rakyat terbela adalah antara sebab mereka memilih seseorang calon. Tak kira muslim atau non muslim, tak kira Melayu, Cina atau India. Baik dia seorang Kadazan, Iban mahupun Dayak.
Soal nilai tambah
Sebenarnya, isu pertembungan calon ini terletak pada masalah nilai tambah. Nilai tambah inilah yang akan membezakan antara seseorang calon dengan calon yang lain, dan antara satu parti dengan parti yang lain.
Orang yang tiada nilai tambah bimbang dengan pertembungan beberapa penjuru. Sebab mereka percaya rakyat tidak dapat melihat perbezaan antara diri mereka dengan calon lain. Atau mereka percaya rakyat tidak dapat menilai kelebihan parti mereka berbanding parti lain.
Antara faktor yang memberi nilai tambah bagi seseorang calon atau sesebuah parti ialah kesediaan anggota mereka berkhidmat dengan ikhlas kepada rakyat. Mereka mampu berkhidmat tanpa menunggu jawatan atau memenangi kerusi dalam pilihanraya. Mereka bergerak dan bertugas siang malam berjuang membela nasib rakyat.
Selain itu antara perkara yang menggerakkan keyakinan dan kepercayaan rakyat itu ialah kerja yang tidak bermusim. Mereka kerap turun berjumpa rakyat dan menyelami masalah rakyat. Namun faktor yang lebih penting dari itu ialah ahlinya sentiasa bergerak memperkenalkan diri dan parti mereka kepada rakyat tanpa jemu dan mengenal erti penat lelah.
Saya tertarik dengan cara kumpulan Hizbullah berkhidmat untuk rakyat Lubnan. Hizbullah menampilkan diri mereka lebih dari sekadar parti politik. Rakyat mengenali mereka sebagai sebuah organisasi yang menaungi rakyatnya. Mereka ada hospital sendiri, ada stesyen TV satelit tersendiri, mereka ada pasukan khidmat sosial (seperti Unit Amal) dan mereka ada pasukan bersenjata yang menjadi benteng utama pertahanan Lubnan. Kekuatan pasukan bersenjata yang mereka miliki membolehkan parlimen Lubnan mengiktiraf mereka sebagi 'aset' negara bagi menghadapi serangan roket Israel.
Ketika Lubnan mengalami serangan Israel pada 2006, bahagian selatan Lubnan mengalami kemusnahan bangunan dan infrastruktur yang sangat teruk. Namun apa yang mengkagumkan gerakan Hizbullah mengambil inisiatif memperbaiki segala jambatan-jambatan utama dan beberapa bangunan penting untuk dibangunkan semula. Menurut sumber media, dikatakan gerakan Hezbullah telah lama mengambil tanggungjawab memperbaiki infrastruktur asas di selatan Lubnan.
Hizbullah tidak pernah merasakan mereka perlu kepada 'rakan pakatan' dalam memberi khidmat mereka kepada rakyat. Begitu juga mereka tidak merasa perlu untuk mereka dikenali dengan sebarang bentuk 'pakatan' yang mereka sertai.
Jika dibandingkan PAS dan gerakan Hizbullah, saya rasa tiada apa kekurangan dari sudut peranan yang dimainkan kepada rakyat mereka. PAS telah lama menggeluti masalah dan nadi rakyat pelbagai peringkat. Cuma yang masih tinggal PAS perlu memperkenalkan diri mereka dengan lebih agresif lagi dengan memanfaatkan pelbagai medium yang wujud pada hari ini. Jika masyarakat merasai kehadiran PAS ke dalam kehidupan mereka, mereka tiada masalah untuk menerima dan menghargai PAS sebagai parti yang berjuang membela kemaslahatan rakyat dan nasib masa depan mereka. Maka PAS akan menjadi 'jenama kicap' yang akan sentiasa di ingati dan menjadi 'rebutan' walaupun mereka di tawarkan dengan 'jenama-jenama' lain di 'pasaran'.
Maka soal PAS bertembung dengan parti pembangkang lain bukanlah soal yang besar jika rakyat sudah mengenali dan menghargai peranan yang dimainkan oleh PAS terhadap rakyat dan para pengundi. Kebimbangan hanya wujud apabila peranan kita tidak begitu di rasai oleh rakyat dan apa yang agak mendukacitakan kita hanya dikenali kerana pakatan yang kita sertai. Tanpa sebarang bentuk pakatan kita bagaikan hidup tidak bernyawa!
Antara Islam setakat hormat hak atau islam sebagai penyelamat
Saya ingin bertanya kenapa orang tidak yakin PAS boleh menang ditempat majoriti bukan islam/bukan melayu?, sepertimana orang kafir macam DAP tak yakin boleh menang ditempat melayu?
Jawabnya sebab orang bukan islam takkan terima agenda islam, saya yakin mungkin itu jawapannya. Maka oleh sebab itu mereka perlukan calon bukan Islam bagi mewakili masyarakat bukan Islam. Dengan sebab itu ramai kata PAS tak boleh menang tanpa bantuan bukan islam, ini selalu kita dengar.
Jika kita tanya, kebimbangan apakah yang menyebabkan mereka perlukan wakil dari kaum dan agama mereka sendiri? Mungkin jawabnya kerana PAS akan kawal penjualan arak, mengharamkan judi, menguatkuasakan undang-undang gender dan menghapuskan sistem riba, sekadar contoh.
Maka dengan ketidak-yakinan ini apabila kita berpolitik, kita akan lakukan rundingan secara bersama untuk pembahagian kerusi. Sehinggakan kalau rundingan ini gagal, PAS dilihat takkan maju ke depan menjadi parti arus perdana dan menguasasi pemerintahan negara. Idea pembahagian kerusi mengikut kaum dan agama telah mencipta idea bahawa negara ini perlu diperintah secara bersama.
Maka mengamuk dan kecewalah mereka yang berfahaman sebegini jika PAS memutuskan hubungan dengan mana-mana parti pembangkang yang ada di negara ini.
Sehingga apabila Tuan Guru Presiden mengatakan kemungkinan akan meletakkan calon DHPP bagi menentang calon DAP di kaawsan non-muslim, ramai yang mungkin kata ia 'kerja gila' atau sia-sia. Manakan tidak, mahukah mereka mengundi PAS yang dikenali dengan imej mengawal penjualan arak, menguatkuasakan undang-undang gender, mengharamkan judi dan menghapuskan sistem riba?
Pemahaman sebegini menimbulkan persoalan sejauhmana mereka memahami perjuangan PAS dan Islam khususnya, sedangkan fungsi PAS ialah membawa kemaslahatan dan kebaikan pada rakyat amnya.
Sebenarnya, mereka yang tak yakin PAS boleh menang di kerusi bukan islam adalah mereka yang berjiwa rendah, tak yakin dengan islam. Maaf cakap.
Kita perlu faham bahawa ada perbezaan di antara mereka yang melihat Islam sebagai penyelamat dengan mereka yang melihat Islam sekadar menghormati hak bukan islam.
Mereka yang melihat islam sebagai agama yang sekadar meraikan dan menghormati hak orang lain akan cuba sedaya upaya menggambarkan Islam sebagai agama yang sangat toleran dan bertolak ansur. Sebab itu golongan ini sangat mengambil hati orang bukan islam. Mereka menjanjikan kebebasan atas nama demokrasi dan islam yang lebih 'progresif'.
Maka dijanjikan lah bahawa PAS akan menghormati hak bukan Islam, PAS tidak akan ganggu kelab malam, pesta jualan arak, konsert artis muda mudi dan peraturan-peraturan yang melibatkan diskriminasi gender.
Orang yang melihat Islam sebagai penyelamat takkan ikut kehendak orang bukan islam, kerana mereka menimbang sesuatu larangan itu bukan bermaksud menyekat kebebasan dan hak mereka, tetapi memandu mereka agar menjadi manusia yang bertamadun dan berakhlak.
Macam seorang ayah yang takkan memberi segalanya kepada anaknya. Keengganan seorang ayah menurut kehendak anaknya tidak bererti ayah itu tidak sayang kepada anaknya. Dan tidak semestinya seorang ayah yang menurut kehendak anaknya itu di lihat mengutamakan kebaikan anaknya, sedangkan dia tidak sedar dia merosakkan anaknya dalam diam-diam tanpa disedarinya. Maka samalah soalnya macam pemerintah dengan rakyat.
Kita perlu faham kerahmatan dan kemaslahatan itu tidak semestinya berlegar tentang makna memberikan hak kebebasan tetapi ia juga bermaksud menghentikan kemudaratan.
Jika mereka kata orang bukan islam tak suka PAS sebab PAS akan mengharamkan arak, melarang judi, pakaian seksi dan sistem riba, cuba terangkan kepada saya dimanakah yang dikatakan kebaikan arak sehingga ia perlu dipertahanan sebagai suatu 'hak' dan kebebasan???
Arak tidak hanya mendatangkan penyakit, malah merosakkan keluarga serta masyarakat. Arak menyebabkan keruntuhan institusi rumahtangga, kerana si suami atau si bapa yang mabuk mengambil tindakan yang tidak waras kerana faktor kemabukan yang mereka alami. Gejala ketagihan menyebabkan wang yang sepatutnya dibelanjakan kepada benda yang berfaedah dan bermanfaat, di habiskan kepada minuman alkohol yang merosakkan minda dan badan.
Berapa ramai yang membunuh akibat mabuk? Berapa ramai yang melakukan jenayah rogol dalam keadaan mereka mabuk? Berapa ramai yang memandu secara melulu hingga mengakibatkan nyawa yang tidak bersalah terkorban gara-gara pemandu mabuk?
Kerugian yang ditanggung akibat gejala ketagihan arak bukan sedikit. Sebagai contoh, BBC News Online melaporkan 3 juta manusia di UK mengalami ketagihan arak. Jumlah kerugian yang terpaksa ditanggung disebabkan oleh masalah ini berjumlah 20 bilion paun sterling.
Jika dikatakan PAS mengharamkan judi yang merupakan hak mereka, cuba terangkan dimanakah yang dikatakan kebaikan dari tabiat judi itu??
Tidakkah kita perhatikan bagaimana kebahagiaan rumahtangga direnggut akibat tabiat bermain judi sang suami? Berapa banyak isteri dan anak terabai akibat tabiat judi si bapa?? Berapa banyak wang yang telah dihabiskan kepada tauke judi sedangkan keuntungan dan laba yang diperoleh tidaklah sebanyak mana?? Berapa banyak yang terpaksa menanggung hutang dan diisythiar muflis akibat tabiat judi?
Jika dikatakan PAS akan menguatkuasa undang-undang moral yang mendiskriminasi gender, cuba terangkan dimanakah yang dikatakan kebaikan apabila hak gender diberi sama rata??
Jika undang-undang Islam tentang gender dianggap lapuk, maka tindakan kerajaan Rome di Italy yang mengenakan denda 500 euro kepada mereka yang mengenakan skirt pendek ketika berada ditempat awam juga boleh dianggap lapuk. Sedangkan undang-undang itu baru dikuatkuasakan 5 tahun lepas.
Jika dikatakan undang-undang itu tidak relevan maka tindakan sebuah sekolah di Britain yang melarang pelajarnya dari memakai skirt juga boleh dianggap tidak relevan, sedangkan pengetuanya mendakwa pakaian skirt 'mengganggu' pelajar-pelajar dan guru lelaki.
Jika dikatakan ia mengongkong maka tindakan bas Rapid KL yang menyediakan bas khas untuk kaum wanita juga boleh dianggap mengongkong. Sedangkan kewujudan bas itu adalah bertujuan memelihara maruah dan keselamatan wanita dari diganggu oleh lelaki yang jahat.
Tidakkah mereka perhatikan gejala zina dan buang bayi berleluasa akibat pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan?
Bagi mereka yang melanggar etika pakaian sopan, sejauhmana pun 'kemodenan' dan normalisasi cuba disogokkan terhadap trend pemakaian seksi ini namun ia tetap tidak menyembunyikan hakikat bahawa kaum lelaki tetap akan teransang bila menyaksikan 'tayangan percuma' itu.
Jika dikatakan riba itu baik cuba terangkan dimanakah yang dikatakan kebaikan sistem riba?
Entah berapa ramai yang tertekan akibat ketidak adilan sistem riba ini?. Berapa banyak pula keuntungan yang diperoleh dari sistem riba ini? Benarkah ia suatu sistem yang menjamin keadilan manusia sejagat? Hakikatnya mereka yang kaya terus kaya dan yang miskin akan terus miskin.
Namun bila kita tengok hak sebagai hak maka kita pun layan lah kehendak dan tuntutan mereka. Kita sepatutnya melihat islam sebagai penyelamat manusia, kepada umat Islam dan bukan Islam. Sebab itu Islam disebut 'rahmatan lil alamin'.
Maka dengan segala penjelasan di atas kita dapati tidak ada sebab mengapa PAS tidak perlu masuk bertanding ke kawasan-kawasan non--muslim yang kini dikuasai DAP. Sebab PAS datang dengan dasar Islamnya untuk menyelamatkan manusia seluruhnya, muslim dan non-muslim.
Mereka yang masih beranggapan kerusi di kawasan bukan Islam mesti diserahkan kepada parti DAP adalah orang yang 'rosak' otaknya! Mereka ini tidak mahu melihat kebaikan Islam itu melimpah rahmatnya kepada masyarakat bukan Islam!
Maka orang bukan Islam tidak terima PAS kerana mereka tidak memahami hikmah disebalik dasar Islam yang dibawa oleh PAS. Jika mereka faham bahawa dasar Islam itu sebenarnya membawa kebaikan untuk diri dan masa depan mereka nescaya mereka akan mengundi PAS dan menolak parti lain yang berteraskan fahaman manusia. Maka tanggungjawab kita ialah memahamkan mereka tentang misi keselamatan yang dibawa oleh PAS dengan dasar Islamnya, bukannya asyik bimbang dan tidak yakin dengan dasar Islam yang dirasakan mengongkong orang bukan Islam!!
No comments:
Post a Comment