Monday, November 9, 2015

Dua Permata Ummah telah hilang

Dua Permata Ummah Telah Hilang

Dalam kesibukan dengan program-program sepanjang minggu ini, saya telah dikhabarkan pemergiaan dua tokoh ulama’ ummah iaitu Syeikh Mohammad Abdullah al-Khatib  dan Syeikh Abdul Qadir Abu Faris.

Dunia menangisi pemergian mereka, para malaikat dan sekalian penduduk bumi dan langit turut mendoakan. Benarlah mereka telah membenarkan Firman Allah SWT dalam Surah AL-Ahzab ayat 23:


“ Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah untuk berjuang membela Islam, maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu lalu gugur syahid, dan di antaranya ada yang menunggu giliran, dan mereka pula tidak mengubah apa yang mereka janjikan itu sedikitpun”.
Kedua-dua tokoh ini telah banyak memberi sumbangan kepada perkembangan ilmu Islam dan mempunyai pengalaman yang luas dalam dunia gerakan Islam.


Syeikh Abdullah al-Khatib ialah bekas ahli Maktab Irsyad Jamaah Al-Ikhwanul Al-Muslimin dan ahli Dewan Syura Ikhwanul Muslimin yang dilahirkan pada 26 Februari 1929. Beliau pernah dipenjarakan oleh Jamal Abdul Nasser pada tahun 1965 selama 10 tahun. Pastinya para pendokong gerakan Islam di Malaysia sangat mengenali sosok tubuh ulama’ ini dengan membaca kitab beliau Nazhaaraat Fii Risaalah At-Ta’aalim yang mensyarahkan kitab Risalah At-Ta’alim Imam Hassan Al-Banna.


Syeikh Abdul Qadir Abu Faris yang dilahirkan di Falujah, Palestin pada 1938 telah pergi dengan meninggalkan khazanah ilmu dalam bidang fiqh dan siasah syari’ayyah. Beliau pernah menjadi ahli Majlis Syura Ikhwan Muslimin dan pernah dipenjarakan selama dua tahun ketika menjadi ahli parlimen atas kesalahan mengucapkan takziah kepada Abu Mus’ab Zarqawi, Ketua Al-Qaeda.

Marilah sama-sama kita mendoakan agar mereka bahagia bersama-sama dengan kalangan para syuhada’ dan diterima segala amalan dan pengorbanan mereka untuk perjuangan Islam sehingga bertemu Allah dalam keadaan beriman dan tetap istiqamah di atas jalan-Nya.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
22 Muharam 1437 / 4 November 2015

Sumber : Laman Rasmi PAS Pusat

No comments:

Post a Comment