Tuesday, September 22, 2015

Untuk apa Pakatan Rakyat 2.0?


Foto ihsan Sinar Harian

Sebentar tadi menyaksikan kejayaan penubuhan blok pembangkang baru yang dinamakan Pakatan Harapan atau Pakatan 2.0. Gabungan itu berjaya dibentuk setelah rundingan meja bulat yang dianggotai oleh Parti Amanah Negara, PKR dan DAP mencapai persetujuan bersama.    

Saya tertarik dengan kenyataan Ustaz Nasruddin Hassan Tantawi mengenai keengganan PAS untuk turut serta dalam penubuhan Pakatan Rakyat 2.0. Hal ini kerana parti jelas mendukung keputusan Tuan Guru Presiden dengan penuh yakin dan jitu.

Sebelum kita memahami kenapa Pakatan Rakyat 2.0 hendak ditubuhkan, kita perlu terlebih dahulu memahami punca keretakan dalaman Pakatan Rakyat sehingga terjadi apa yang didakwa sebagai 'runtuh'nya Pakatan Rakyat sebelumnya - sepertimana dakwaan DAP.

Ini penting terutamanya bagi mereka yang begitu ghairah menyertai wadah yang baru ditubuhkan, dan begitu teruja dengan pakatan baru yang bakal dibentuk.

Kita patut bertanya balik, apakah tujuan penubuhan Pakatan Rakyat 2.0 yang dianggotai PKR, Amanah dan DAP?

Jika jawapannya adalah bagi meneruskan agenda menentang UMNO dan BN, kita katakan, tak cukup lagikah dengan peranan yang telah dimainkan oleh Pakatan Rakyat sebelum ini?

Jika mereka kata penubuhan Pakatan Rakyat 2.0 adalah bagi meneruskan agenda membela rakyat dan mengagihkan kekayaan hasil negara kepada semua lapisan masyarakat dengan adil dan saksama, kita katakan, tak cukup lagikah dengan matlamat dan Dasar Bersama yang telah digariskan oleh Pakatan Rakyat sebelum ini?

Jika mereka kata tujuan penubuhan Pakatan Rakyat 2.0 adalah bagi memerangi rasuah dan penyelewengan kerajaan UMNO/BN, mengembalikan kebebasan media, mengukuhkan institusi awam, mengembalikan fungsi mahkamah dan sebagainya, kita katakan adakah Pakatan Rakyat sebelum ini tidak menjalankan fungsi memerangi rasuah dan pengukuhan institusi awam dalam kerajaan UMNO/BN?

Jika mereka kata Pakatan Rakyat 2.0 komited dalam meringankan beban rakyat, menurunkan harga minyak, mengurangkan tarif elektrik, menghapuskan subsidi korporat kepada kroni,  menyediakan rumah mampu milik,  memberi pendidikan percuma, menghapuskan PTPTN dan sebagainya, kita katakan, bukankah semua itu telah pun diperjuangkan oleh Pakatan Rakyat sebelum ini?

Jika mereka 'berkeras' mengatakan penubuhan Pakatan Rakyat 2.0 adalah bagi meneruskan kelansungan Pakatan Rakyat yang telah 'terkubur', kita tanya balik sebab apa Pakatan Rakyat terkubur?

Akhirnya mungkin mereka akan jawab, PAS telah langgar rangka kerja dan Dasar yang telah dipersetujui secara bersama. (Soalan ini mungkin DAP yang akan jawab, bukan pihak dari parti Amanah hehe)

Jika DAP menuduh PAS yang menjadi punca keretakan Pakatan Rakyat, kita tanya apa yang menyebabkan semua itu berlaku?

Maka jawapannya tak lain tak bukan ialah kerana Usul Rang Undang-Undang Persendirian (Private Member Bill) Enakmen Jenayah Syariah (2) Kelantan 1993 yang akan dibentangkan di Parlimen oleh Tuan Guru Presiden.

Saya ingin mengajak semua ahli-ahli PAS yang ghairah menyertai Parti Amanah Negara dan begitu teruja dengan pembentukan Pakatan Rakyat 2.0, pernahkah anda terfikir bahawa punca kepada terjadinya semua ini ialah kerana usul undang-undang jenayah syariah/hudud?

Ketika PAS dan rakan komponen Pakatan pembangkang yang lain mempunyai 95% persamaan dan hanya 5% perbezaan, maka mengapakah kita berpecah hanya kerana perbezaan yang hanya 5% itu sahaja?

Jawapannya ada pada DAP itu sendiri.


DAP, jawablah dengan jujur dan ikhlas

Sebelum ini DAP menuduh PAS melanggar rangka kerja dan dasar yang telah dipersetujui secara bersama. 

Kita tanya balik apa itu rangka kerja dan Dasar Bersama?

Baiklah, tak perlu saya minta jawapan dari mereka, kerana saya tahu jawapan yang mereka beri takkan sama dengan perkara yang sebenarnya telah berlaku. Maka lebih baik saya yang menjawabnya.

Dasar Bersama ialah suatu polisi yang dipersetujui secara bersama bahawa ketiga-tiga pihak berhak meneruskan atau mendukung prinsip serta agenda parti masing-masing manakala percanggahan dalam agenda dan prinsip ini diuruskan dalam mekanisme persefahaman iaitu 'bersetuju untuk tidak bersetuju'.

Rangka kerja bersama pula ialah dokumen persefahaman yang dicapai oleh ketiga-tiga pihak dalam menentukan tindakan dan pendekatan yang munasabah bagi mencapai tujuan-tujuan politik sesuai dengan peruntukan yang ada dalam perlembagaan.

Berdasarkan definisi yang saya berikan di atas, maka PAS telah pun memperoleh hak untuk meneruskan agenda politiknya berdasarkan kerangka persefahaman bahawa setiap parti berhak untuk berjuang mencapai agenda politiknya.

Manakala berdasarkan definisi rangka kerja yang saya berikan di atas maka PAS berhak mencapai cita-cita politiknya menerusi saluran demokrasi yang betul sesuai dengan peruntukan yang ada dalam perlembagaan.

Kita perlu faham bahawa antara rangka kerja dan dasar bersama ada hubungkait yang sangat rapat dan erat, maknanya tak mungkin kita boleh menentukan sesuatu rangka kerja tanpa mengambil kira dasar yang telah dipersetujui secara bersama.

Tidak mungkin kita boleh meletakkan satu rangka kerja yang akhirnya mengenepikan atau mengorbankan semangat persefahaman yang dicapai dalam Dasar Bersama. Dengan kata lain rangka kerja yang dibina itu mestilah merujuk kepada Dasar Bersama sebagai pengikat.

Kita harus ingat rangka kerja itu adalah pada perkara yang dimana setiap pihak mempunyai titik-titik persamaan. Dari titik-titik persamaan inilah mereka bergabung dan mereka bergerak dalam satu Pakatan. Namun bagi perkara-perkara yang diluar dari titik-titik persamaan itu tadi, terutama hal yang melibatkan perbezaan dasar, maka setiap pihak berhak membawa perjuangan mereka sendiri, dan tidak terikat kepada rangka kerja bersama, ini kerana ia mengambil kira semangat tolak ansur yang dipersetujui dalam Dasar Bersama, iaitu hak untuk berbeza pendapat dalam soal dasar dan prinsip.

Maka pada perkiraan keseluruhannya PAS telah pun menjalankan tanggungjawabnya sebagai rakan komponen yang mengikut semangat yang dipersetujui dalam Dasar Bersama.

Namun kini DAP telah menganggap PAS sebagai pengkhianat Pakatan kerana telah meneruskan agenda menegakkan perundangan syariah.

Ketika diperingkat awal penubuhan Pakatan Rakyat pada 2008, DAP dikatakan telah bersetuju untuk menerima bahawa adalah menjadi hak setiap parti memperjuangkan agenda masing-masing. Setiap parti setuju bahwa mereka mungkin ada perbezaan dari sudut dasar parti, tetapi mereka tetap akan bekerjasama dalam beberapa perkara yang mereka anggap ada persamaan. Mana mungkin DAP boleh bekerjasama dengan PAS dalam keadaan mereka sedar bahawa perlembagaan PAS telah tercatat dengan terang dan jelas untuk melihat terlaksananya hukum-hukum dan cara hidup Islam.


Namun setelah berlalunya kesemua itu pelbagai amaran dan kata dua pula telah dilontarkan kepada PAS terutamanya dari pimpinan tertinggi mereka bahawa PAS bukan lagi sebahagian dari komponen Pakatan jika masih berdegil untuk melaksanakan hudud.  

Bermula dari DAP Sarawak dan Sabah yang memutuskan hubungan dengan PAS Negeri Sarawak dan Sabah, DAP Pusat pula bertalu-talu menyerang Presiden PAS kerana didakwa mengusulkan rang undang-undang itu tanpa perbincangan dengan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat.

Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo dalam satu kenyataan di Malaysian Insider mendakwa, PAS tidak akan dilihat sebagai sebahagian dari Pakatan Rakyat jika ia terus berkeras membentangkan rang undang-undang hudud kerana langkah itu tidak disokong oleh gabungan itu. 

Beliau berpandangan bahawa rang undang-undang itu bertentangan dengan perjanjian yang dicapai dalam mesyuarat kepimpinan Pakatan Rakyat terakhir dimana dinyatakan perlu ada perbincangan lanjut diantara ketiga-tiga pihak sebelum langkah seterusnya diambil berhubung perkara itu. 

Kenyataan itu turut disusuli dengan kenyataan angkuh dari Ahli Jawatankuasa Pusat DAP, Datuk Teng Chang Kim pada Mei lalu yang mendakwa PAS dipersilakan keluar dari Pakatan Rakyat kerana isu hudud tidak termasuk dalam kerangka Pakatan Rakyat. 

Namun dalam pada itu, Lim Kit siang dalam satu ceramah di Kota Bahru  masih berdalih dengan mendakwa beliau menerima pandangan Al-Qardhawi yang mengatakan bahawa pelaksanaan hudud mempunyai beberapa syarat dan kondisi yang membolehkan pelaksanaannya berjalan dengan adil dan saksama, seolah-olah DAP menerima pelaksanaan undang-undang Islam itu. 

Akhirnya ia menimbulkan persoalan, apakah DAP ini sebenarnya mengizinkan umat Islam untuk melaksanakan perundangan syariah sekalipun mereka tidak bersetuju dengan perundangan itu atau mereka memang berhasrat menentang sebarang bentuk pelaksanannya walau dalam keadaan apa sekalipun?

Jika mereka katakan mereka tidak bersetuju sama sekali, ini membawa maksud bahawa pihak yang akan bekerjasama dengan mereka takkan menegakkan sama sekali soal perundangan dan cara hidup Islam. Pilih samada mahu berkerjasama dengan mereka dalam 'rangka kerja dasar bersama'  atau atau 'ditendang keluar' sekiranya masih bertegas menegakkan perundangan Islam.

Jika dikatakan mereka menerima perbezaan dasar dalam setiap parti komponen Pakatan dan menganggap pilihan umat Islam untuk melaksanakan hudud adalah hak mereka yang perlu dihormati mengapa pula mereka menyerang habis-habisan Kerajaan PAS Kelantan?

Jika DAP mendakwa mereka menentang rang undang-undang Kanun Jenayah Syariah itu kerana mereka beranggapan rang undang-undang itu belum sesuai dilaksanakan, siapa DAP untuk menentukan hak umat Islam dalam menentukan halatuju ummat mereka sendiri? Apakah umat Islam pula perlu mendapatkan nasihat mereka sebelum boleh melaksanakan undang-undang yang melibatkan kepentingan umat Islam itu sendiri?


Nak kemana akhirnya mereka itu?

Akhirnya semua ini akan menimbulkan persoalan mengenai masa depan pihak yang akan membentuk kerjasama dengan DAP ini. Persoalan ini menarik kerana kita mahu jawapan dan sikap yang jelas dari DAP berkenaan soal pelaksanaan agenda Islam dan ketuanan syarak. Ini kerana kita mahu melihat apakah 'nasib' yang akan menimpa kumpulan yang turut mendakwa mereka juga mahu memperjuangkan Islam, cuma mereka berbeza strategi dengan PAS.

Jika pihak seperti Parti Amanah Negara mendakwa DAP akan menerima agenda Islam, kita katakan selama 7 tahun kita bertahaluf belum cukup lagikah gambaran Islam yang telah PAS persembahkan kepada mereka? Termasuk antara mereka yang terlibat dengan beberapa siri dialog dan wacana mengenai perundangan syariah dengan pemimpin DAP adalah pemimpin dari Parti Amanah itu sendiri ketika mereka masih menjawat jawatan dalam PAS. Sepatutnya sekarang ini DAP dah lama menghormati pendirian PAS.

Jika mereka mendakwa DAP tidak akan menerima agenda Islam kerana itu hak mereka maka apa pula kewajaran untuk parti Amanah bertahaluf dengan menubuhkan Pakatan Baru yang berpegang kepada Rangka Dasar bersama?Bolehkah DAP berpegang kepada dasar 'bersetuju untuk tidak bersetuju' sedangkan ketika bertahaluf dengan PAS pun mereka gagal berpegang kepada dasar itu apatah lagi menghormati semangat persefahaman itu? Sejauhmana Parti Amanah ini boleh mengenengahkan agenda Islam dalam Pakatan Harapan yang baru dibentuk ini?

Jika mereka kata DAP boleh menerima agenda Islam namun mereka merasakan ia bukan masa yang sesuai untuk bercakap tentang perundangan Syariah takkala negara masih dilanda pelbagai kebejatan kita katakan negeri Kelantan dah lama dipulihkan dari soal kebejatan dan penyelewengan selepas PAS mengambil alih pemerintahan dari kerajaan UMNO/BN 25 tahun yang lalu. Malah apa yang membanggakan tingkat moraliti dan penghayatan agama dikalangan rakyat Kelantan lebih tinggi berbanding negeri lain. Maka sudah sampai masanya PAS bercakap soal menegakkan perundangan syariah kerana PAS dah pulihkan struktur pemerintahan dan masyarakat dari kerosakan UMNO/BN. Namun hasrat kerajaan Kelantan ini masih dihalang oleh DAP Pusat. Mereka malah menyerang PAS Pusat dan memutuskan hubungan Tuan Guru Presiden sedangkan usul itu hanya melibatkan negeri Kelantan dan bukan di peringkat persekutuan.

Bayangkan jika usul di peringkat negeri Kelantan yang hanya melibatkan masyarakat muslim pun ditentang habis-habisan saya tak tahu bagaimana Parti Amanah yang bergerak dalam wadah baru Pakatan Harapan yang disertai DAP boleh menegakkan perundangan Islam diperingkat pusat. Dengar macam kelakar jer.

Sebenarnya inilah antara beberapa persoalan yang perlu dijawab dan difikirkan oleh mereka yang begitu teruja dengan penubuhan Pakatan Harapan yang baru dilancarkan. Apa yang saya lihat ialah penubuhan Pakatan Harapan ini sebenarnya hanya 'menyalin' semula rangka kerja dan dasar bersama Pakatan Rakyat yang lalu, cuma perubahan yang berlaku ialah di sudut pelaksanaan agenda Islam dimana ia akan dilonggarkan berbanding pendekatan PAS yang teguh berpegang pada prinsip.

Amat malang sekali apabila dasar dan matlamat mereka sedikit pun tidak tergugat, namun kita umat Islam pula perlu melonggarkan dan melunakkan dasar dan matlamat kita semata-mata mahu berkerjasama dengan mereka.

Jika ahli PAS yang berhasrat menyeberang ke Parti Amanah merenung dengan insaf bahawa punca keretakan Pakatan Rakyat yang lepas dan punca kewujudan Pakatan Harapan yang baru hanyalah kerana isu hudud, mereka tentu akan berfikir dua kali untuk berkerjasama dengan parti orang kafir itu.

Sebenarnya tidak ada yang tidak kena dengan gabungan Pakatan Rakyat yang lepas, kerana segala rangka kerja dan Dasar Bersama yang dibentuk cukup lengkap dan sempurna, cuma perkara yang memastikan ia berjalan dengan lancar dan jayanya ialah sikap konsisten dari rakan komponen parti.

Isu yang sebenarnya ialah, rangka lah seberapa banyak pun 'rangka kerja' atau gubal lah seberapa banyak 'Dasar Bersama' pun, persoalan yang melingkari kita ialah sebenarnya ialah pada sikap, dimana didalam suatu kerjasama politik yang melibatkan perbezaan dasar, sikap saling hormat menghormati antara satu sama lain amatlah penting. Buatlah seberapa banyak pun Pakatan yang ada, namun jika sikap degil dan keras kepala terus menyelubungi pemimpin-pemimpin parti ini, maka apa jua bentuk Pakatan pun akan menemui kegagalan dan kehancuran.


"Istiqamah hingga kemenangan"

Oleh - Serambi Musolla



No comments:

Post a Comment