Tuesday, October 2, 2012

Mengapa UMNO@BN takut Buku Jingga..!!!


Oleh Abd Shukur Harun
Umno/BN semakin meningkatkan kempen kotornya yang memburuk-burukkan parti lawan seperti yang disiarkan oleh akhbar yang dimiliki oleh atau dikaitkan dengan BN, menyebabkan semakin ramai pengundi merasa jijik.


Ini kata-kata Pengarah Pusat Inisiatif Dasar (CPI), Dr Lim Teck Ghee dalam kenyataannya kepada Malaysian Insider kelmarin.

Menurutnya, pengundi kini berfikiran matang dan terkini, di mana mereka tahu ini hanyalah kempen politik kotor.

Pandangan ini dikongsi ramai oleh rakyat Malaysa yang sudah tidak mahu menelan propaganda karut marut dari pemimpin Umno/BN ini terutama selepas pengumuman Bajet 2013 di Parlimen baru-baru ini.

Selepas pembentangan Bajet itu, baik Datuk Najib Tun Razak mahupun para menterinya tidak ada di parlimen untuk bersoal jawab dengan ahli-ahli parlimen, terutama dengan pembangkang.

“Datuk Najib diajak berdebat di luar tak mahu, berhujah di Parlimenpun tak mahu. Menteri-menteri dan timbalannya tak hadir untuk menjawab soalan,” kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam masa yang sama, pemimpin Umno/BN tidak henti-hentinya melancarkan kempen memburuk-burukkan Belanjawan Pakatan Rakyat yang diumumkan beberapa hari selepas pembentangan Bajet BN.

Malah mereka mengkritik habis-habisan Buku Jingga yang mengandungi pelbagai saranan Pakatan Rakyat jika berjaya dalam PRU akan datang.

Ramai bertanya mengapa mereka enggan membahaskan secara rasional dan terbuka mengenai saranan yang dikemukakan oleh Pakatan Rakyat dalam Buku Jingga itu.

Apa yang ditakutkan dengan buku tersebut, sepatutnya bahaskan dari segi idea dan rasionalnya dan bandingkan dengan Bejet 2013 yang dibentang oleh Datuk Najib Tun Razak.

Di sinilah pada pendapat saya, rakyat prihatin yang menjadi pengundi memandang sangat jijik kempen kotor serupa ini di mana, kata mereka, sepatutnya kempen politik berdasarkan idea, saranan atau gagasan untuk dilihat kemasabahannya kepada rakyat.

Dengan itu rakyat boleh menilai apakah tawaran Umno/BN baik, atau tawaran Pakatan Rakyat lebih baik. Ini dengan sendirinya rakyat diberi hak menentukan pilihan mereka secara demokratik.

Sejauh ini Pakatan Rakyat perlahan-lahan telah memenangi sokongan pengundi atas pagar dengan menangani kebimbangan rakyat melalui beberapa dasar pembaharuan seperti menurunkan harga kereta, menyediakan perumahan yang mampu dimiliki dan pendidikan percuma.

Ini mungkin menyebabkan peningkatan populariti Pakatan Rakyat dan penurunan ketara populariti Najib, seperti yang ditunjukkan oleh hasil kaji selidik baru-baru ini yang diterbitkan Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL).

Di negara maju, termasuk kini di Indonesia dan Singapura, kempen sihat begitu menyerlah, di mana parti-parti politik mengenengahkan gagasan dan idea mereka jika memenangi pilihan raya.

Tidak kedengaran dan tidak terbaca di media di mana kempen memburuk-burukkan peribadi parti lawan dan ini suatu kematangan politik dan betapa dewasanya parti-parti politik di negara tersebut.

Oleh itu kita sepatutnya merasa malu dengan wajah dunia politik negara ini yang sedemikian buruk berbanding dengan negara yang disebutkan tadi.

Pemimpin Umno/BN begitu mengharapkan bahawa dengan pengumuman Bajet 2013 ini akan dapat meraih undi untuknya, iaitu dengan pengumuman pelbagai pemberian wang, kenaikan imbuhan, pencen dan pelbagai lagi.

Ertinya pemimpin Umno berfikir bahawa begitu mudah sekali untuk mereka menawan hati rakyat dengan memberi mereka wang dan pelbagai bentuk imbuhan.

Rakyat tidak digalakkan berfikir mengenai hutang negara dan bagaimana hendak membayarnya nanti. Rakyat juga tidak digalakkan berfikir bagaimana  keadaan ekonomi serantau dan dunia dan implikasinya kepada negara ini, bagaimana hendak membenteras rasuah dan keteresan serta pengelewengan yang begitu subur dan bagaimana keadaan masa depan negara dalam pelbagai aspek. 

Dengan bentuk Bajet 2013 sedemikian rupa rakyat hanya disuruh menerima, ‘inilah yang terbaik’ tanpa digalakkan berfikir jauh lebih-lebih lagi mengenai imlikasinya dalam jangka panjang.

Dalam masa yang sama isu-isu perkauman berkembang subur dan menakutkan, sementara seruan perpaduan dan toleransi hanya menjadi rhetorika politik.

Menyaksikan perkembangan yang berlaku ini, ramai rakyat prihatin bimbang bahawa mereka tidak dapat membayangkan keadaan dunia politik apabila semakin hampir dengan PRU Ke-13 nanti.

Keadaan demokrasi semakin merosot, tuntutan lapan perkara oleh NGO Bersih 2.0 dan 3.0 mengenai pilihan raya bebas dan adil masih kabur, daftar pemilih masih kotor. Semuanya ini menambah mudurnya demokrasi di Malaysia.

Bagaimanapun rakyat prihatin sedar akan hal ini dan akan menentukan keputusan mereka dalam PRU akan datang.

Sementara itu, bagi Pakatan Rakyat yang kini menjadi pembangkang di Parlimen, sewajarnya memperkukuh perpaduan mereka untuk menghadapi cabaran berat ini.
Pendukung Pakatan Rakyat semua peringat mesti turun padang dan sentiasa berada di tengah khalayak.

Jangan ada pemikiran di antara pemimpin Pakatan Rakyat semua peringkat mengenai impian akan pelbagai jawatan tinggi jika dapat menguasai Puterajaya nanti.

Cakap-cakap mengenai hal ini hanya akan mengeruhkan suasana, menimbulkan rasa syak wasangka di mana sama sekali tidak menguntungkan Pakatan Rakyat.

Siapa pemegang pelbagai jawatan tinggi jika dapat menguasai Puterajaya terserah kepada permuafakatan antara pemimpin tertinggi komponan Pakatan Rakyat dan masanya jauh lagi. Yang penting semua pendukung Pakatan Rakyat bekerja keras untuk menang, bukan berkhayal.

Adakah jentera pilihan raya PKR, DAP dan PAS sudah bersiap sedia disemua peringkat? Bagaimana menangani masalah beribu-ribu nama pengundi yang meragukan, kempen peneranggan ke kawasan luar bandar yang khabarnya kawasan itu masih dikuasai oleh Umno/BN.

Juga sudahkah Buku Jingga disebarluaskan di luar bandar dan juga di dalam bandar. Sudahkah ia diperincikan sehingga rakyat benar-benar memahami dan menerimanya?

Inilah persoalan berat yang akan dihadapi menjelang PRU akan datang, sebuah pilihan raya yang dijangka amat sengit yang akan menentukan nasib Umno/BN bahkan Pakatan Rakyat di mana ia adalah ibu segala pilihan raya.

Check-list penyelewengan & pembaziran k/jaan UMNO@BN


Berikut hanyalah sebahagian kecil punca segala masalah yang melibatkan kehilangan wang dan harta negara sejak umno/BN berkuasa lebih setengah abad yang lalu. Namun, jika dikumpul, ianya mencecah ratusan billion Ringgit wang milik Rakyat yang telah diselewengkan oleh kerajaan umno/BN.
1. Skandal PKFZ yang melibatkan duit Rakyat sebanyak RM12.7 billion.
Tun Dr Ling Liong Sik mengaku tidak bersalah di atas dua pendakwaan di bawah Seksyen 418 dan 417 Kanun Keseksaan atas tuduhan memperdayakan Jemaah Menteri berhubung projek bernilai RM12.7 bilion itu. Bekas Presiden MCA ini dituduh memperdayakan Jemaah Menteri untuk bersetuju meluluskan pembelian 999.5 ekar tanah milik koperasi nelayan Melayu di Pulau Indah pada harga RM25 satu kaki persegi dengan kadar faedah 7.5 peratus, iaitu nilai yang jauh lebih tinggi dari nilai sebenar di pasaran. Beliau juga mengeluarkan surat sokongan mengarahkan projek PKFZ ini diserahkan kepada syarikat Kuala Dimensi Sdn Bhd, milik Pengerusi Kelab Penyokong BN, Dato Seri Tiong King Sing.


2. Komisen pembelian kapal selam sebanyak RM500 juta.
  • Harga asal pembelian: €1.14 billion (RM4.52 billion)
  • Kos Senggaraan jangka panjang: €999.15 juta (RM3.964 billion) kepada Perimekar Sdn Bhd bagi kerja-kerja penyelenggaraan jangka panjang kapal selam itu pada tahun 2002.
Permohonan tambahan daripada Kementerian pertahanan pada Sidang Belanjawan 2011
  • RM417 juta untuk membiayai kontrak senggaraan (In Service Support) dua buah kapal selam Scorpene
  • RM56 juta untuk bayaran pendahuluan sewaan perkhidmatan Sistem Submarine Escape Rescue Intervention (SMER-1).
  • Sebelum ini, kerajaan sudah membayar €999.15 juta (RM3.964 billion) - Rujuk di atas.

3. Kerugian pembelian aset oleh Sime Darby RM1.6 billion.
  • Kerugian akibat lebihan kos berjumlah kira-kira RM1.6 bilion, membabitkan projek minyak dan gas Bulhanine dan Maydan Mahzam di Qatar serta projekhidroelektrik Bakun.

4. Menanggung kerugian (bailout) Konsortium Perkapalan Berhad milik Mirzan Mahathir sebanyak RM1.7 billion.
  • MISC (anak syarikat Petronas) telah diarahkan oleh Mahathir (PM ketika itu) untuk membeli aset Konsortium Perkapalan Berhad dengan pembiayaan sebanyakRM1.7 billion bertujuan menyelamatkan syarikat perkapalan milik anak beliau, Mirzan.

5. Kos senggaraan Paya Indah Wetland RM88 juta.

6. Kerugian Pos Malaysia (Transmile) RM5460 juta.

7. Perjanjian pembelian Eurocopter sebanyak RM1.67 billion.
  • Harga ditawarkan oleh Eurocopter Malaysia yang dipilih oleh kerajaan: RM1.67 billion
  • Harga Kelowna Flightcraft untuk helikopter alternatif: RM865 juta (Kerajaan dapat menjimatkan RM805 juta)

8. Kos pembaikan bumbung Stadium Terengganu yang runtuh sebanyak RM292 juta.

9. Kos memperbaiki kerosakan MRR2 sebanyak RM70 juta
10. Akaun bil terlebih bayar Maybank sebanyak RM4 billion.

11. Tumbuk-rusuk (kickbacks) kepada Ng Yen Yen di Kementerian Pelancongan RM10 juta.

12. Kos membeli tiga buah lukisan oleh MAS sebanyak RM1.5 juta.

13. Lebihan bayaran oleh Kementerian Belia dan Sukan sebanyak RM8.4 juta.

14. Perbelanjaan Kompleks Sukan gajah putih di London sebanyak RM70 juta.

15. Baikpulih bangunan MATRADE sebanyak RM120 juta.

16. Kos minyak dan senggaraan jet kegunaan PM sebanyak RM200 juta.

17. Hutang tidak dapat dituntut InventQ sebanyak RM228 juta.

18. Membayar gantirugi pembatalan Jambatan Bengkok sebanyak RM257 juta.

19. Kerugian dalam urusniaga penjualan Augusta sebanyak RM510 juta.

20. Nilai kehilangan pendapatan kerajaan daripada Approved Permit (AP) yang dikeluarkan bagi tempoh setahun sebanyakRM1.8 billion.

21. Senggaraan kapal-kapal selam KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Rzak (akan dijadikan artifak Muzium Negara) sebanyak RM4.1 billion.

22. Pembinaan dan senggaraan PSC Naval Dockyard Lumut sebanyak RM6.75 billion.

23. Dua skandal Bank Bumiputra pada wal 1980-an sebanyak US$1 billion dengan anggaran nilai kerugian pada 2008 sebanyak RM3.2 billion.

24. Kegagalan Maminco dalam percubaan menguasai pasaran timah dunia pada tahun 1980-an dipercayai mengakibatkan kerugian bernilai US$500 juta. (RM1.6 billion)

25. Bertaruh dalam niaga kewangan pasaran hadapan luar negara menyebabkan Bank Negara Malaysia kerugian RM30 billion pada tahun 1990-an.

26. Kerugian Perwaja Steel sebanyak US$800 juta (RM2.56 billion).

27. Menggunakan dana awam sebanyak RM10 billion dalam operasi Valuecap Sdn Bhd untuk melonjakkan nilai harga pasaran saham.

28. Skandal kewangan Bank Islam yang melibatkan kerugian RM700 juta.
29. Penjualan MV Augusta dengan harga €1 (1 Euro) mengakibatkan kerugian sebanyak €75.99 juta (RM348 juta) - sama seperti No. 18?

30. Kehilangan royalti Wang Ehsan Terengganu sebanyak RM7.4 billion (antara tahun 2004 – 2007)

31. Sejak penubuhan Petronas Philharmonic Orchestra selama lebih 10 tahun yang lalu, ia telah menelan perbelanjaan sebanyak RM500 juta denga RM1 juta setahun dibayar sebagai gaji dan imbuhan kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO). 

32. Yuran Penasihat: Mahathir telah dibayar RM180,000, Shahrizat Abdul Jalil (Menteri Kemajuan Wanita) RM404,726 dan Abdul Hamid Othman (Agama) RM549,675 pada setiap tahun.

33. Kerajaan telah membelanjakan RM3.2 billion untuk pelaksanaan program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sepanjang lima tahun pertama pelaksanaannya. Daripada jumlah tersebut, kerajaan telah membayar RM2.21 billionuntuk membeli pelbagai kelengkapan teknologi, maklumat dan komunikasi (ICT) namun tiada sebarang perincian perbelanjaan pernah ditunjukkan.
Kerajaan telah membayar RM6k bagi setiap komputer laptop/notebook yang dapat diperolehi di pasaran dengan harga di bawah RM3k. Beberapa konsortium telah ditubuhkan semata-mata untuk ‘mengendali secara atas-angin’ pengagihan segala peralatan dan perkakasan berkenaan. Kini, kebanyakan peralatan dan perkakasan telah menjadi milik anak guru-guru yang terlibat dengan PPSMI.
34. Komisen yang telah dibayar kepada dua buah syarikat persendirian yang mengendalikan pembelian kapal selam Scorpene iaitu Perimeker Sdn Bhd dan IMT Defence Sdn Bhd berjumlah RM910 juta. Ada kaitan dengan No. 2.

35. Kerajaan membuat bayaran RM300 juta sebagai ganti rugi yang dibayar kepada Gerbang Perdana kerana pembatalan pembinaan Jambatan Bengkok yang bernilai RM1.1 billion.

36. RM1.3 billion telah dibazirkan dengan pembinaan kemudahan kompleks gajah putih ‘Customs, Immigration and Quarantine’ (CIQ) apabila projek Jambatan Bengkok dibatalkan.

37. Membelanjakan RM100 juta untuk kerja-kerja baik-pulih dan kebocoran Bangunan Parlimen Malaysia.

38. Program Angkasawan Negara yang menelan belanja – RM40 juta

39. Dianggarkan sebanyak RM500 juta setahun dibelanjakan untuk Latihan Khidmat Negara

40. Menanggung kerugian Eye of Malaysia – RM30 juta dan RM5.7 juta dalam bentuk pemberian tiket percuma.

41. Menanggung kerugian sebanyak RM2.4 juta untuk pembelian dakwat kekal

42. Pada September 2006, Samy Velu mengumumkan bahawa kerajaan telah membayar ganti rugi berjumlah RM38.5 billion kepada 20 buah syarikat pengendali lebuhraya. Sembilan syarikat pengendali tol lebihraya menerima durian runtuh berjumlah RM380 juta daripada kenaikan kadar tol pada tahun 2008 sahaja.

43. Tumbuk-rusuk (kickbacks) sebanyak RM32 juta nilai eksport kayu balak oleh syarikat-syarikat yang berkaitan dengan Ketua Menteri Sarawak dan ahli keluarganya.

44. Dua kali menanggung kerugian (bailout) oleh Malaysia Airline System (MAS) yang berjumlah sebanyak RM7.9 billion. Pada ketika MAS berhadapan dengan kerugian pada saban tahun, sebanyak RM1.5 juta telah dibelanjakan untuk membeli TIGA buah lukisan untuk menghiasi pejabat pengerusi MAS, Munir Majid. (Berkaitan dengan No. 11)

45. Menanggung kerugian (bailout) Sistem Pengangkutan Putra sebanyak RM4.486 billion.

46. Menanggung kerugian (bailout) STAR-LRT sebanyak RM3.256 billion.

47. Menanggung kerugian (bailout) Sistem Pembetungan Kebangsaan bernilai RM192.54 juta.

48. Menanggung kerugian (bailout) Lebuhraya Seremban-Port Dickson sebanyak RM142 juta.

49. Menanggung kerugian (bailout) Penjara Kuching bernilai RM135 juta.

50. Menanggung kerugian (bailout) Kajian Makanan dan Gunaan Orang Islam sebanyakRM8.3 juta.

51. Menanggung kerugian (bailout) Le Tour de Langkawi sebanyak RM3.5 juta.

52. Agihan secara borong ratusan juta saham di Bursa Malaysia dengan berselindung di bawah Dasar Ekonomi Baru (DEB) kepada kroni, kaum keluarga, anak-anak para Menteri dan pemimpin BN yang bernilai berbillion-billion ringgit.

53. Pindah-milik puluhan ribu hektar tanah-tanah komersial dan konsesi pembalakan kepada anak-anak serta kaum keluarga para Menteri dan pemimpin BN yang bernilai berbillion-billion ringgit.

54. Kerugian Petronas sejak tahun 1997 apabila menandatangani perjanjian dengan ENAM PENAMA yang tidak didedahkan dalam dagangan hadapan petroleum negara dengan kadar harga murah untuk jangkamasa yang panjang. Apabila harga bahan petroleum meningkat, Petronas kekal menjual kepada ENAM penama ini pada harga murah yang telah dipersetujui.
Bagi menampung penggunaan bahan petroleum dalam negara, Petronas terpaksa membeli daripada pembekal luar dengan kadar semasa dan mengakibatkan Rakyat terpaksa menanggung kenaikan harga mengikut pergerakan harga minyak dunia. Sepatutnya, tanpa perjanjian dagangan hadapan, Petronas memperoleh keuntungan yang besar mengikut harga pasaran semasa. Dengan keuntungan ini, Petronas dapat berkongsi harga bahan petroleum yang murah untuk kegunaan Rakyat.
Dan manusia yang bertanggungjawab mengatur perjanjian dagangan hadapan yang merugikan Petronas dan Rakyat ini adalah merupakan manusia yang paling lantang bersuara sekarang ini - Mahathir Muhamad. Dan beliau ingin kekal menjadi penasihat Petronas hingga mati bagi melindungi identiti ENAM JAHANAM yang menghisap darah Rakyat melalui keuntungan Petronas.
55. RM5700 untuk membeli seunit jek kereta yang berharga RM50. (*)

56. Kenderaan milik kerajaan meneguk setangki petrol bernilai RM113 dalam tempoh beberapa minit. (*)

57. Platform tiang bendera berharga RM990 dibeli dengan harga RM30,000 (*)

58. Thumb drive berharga RM90 dibeli dengan harga RM480 (*)

59. Kabinet simpanan barang berharga RM1,500 telah dibeli dengan harga RM13,500 (*)

60. Pembelian seunit lampu suluh bernilai RM35 telah dibayar dengan harga RM143. (*)
(*) - yang dinyatakan adalah sebutharga untuk SATU UNIT. Kerajaan membeli dalam bentuk pukal antara puluhan hingga ribuan unit item yang sama.
61. Perbelanjaan kempen 1Malaysia yang dibayar kepada APCO sebanyak RM76.8 juta.

62. Membayar subsidi RM17 billion kepada Penjana Tenaga Bebas (IPP)

63. Cincin berlian bernilai USD24 juta untuk Ro$mah --- kononnya pembelian telah dibatalkan – berapa pula jumlah ganti rugi yang terpaksa rakyat bayar?

64. Satu laman web 1pengguna bagi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dibina dan diselenggarakan dengan belanja RM1.4 juta.

65. Projek e-mel 1Malaysia yang menelan belanja RM50 juta.

66. Menggunakan Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Danaharta dan Khazanah untuk membeli saham-saham Timedotcom yang tidak laku – kerugian sebanyak RM3.3 billion.

67. Skandal Offshore Petrol Vehicle (PSC-NDSB) – rugi RM6.75 bilion

68. Rosmah sewa bilik hotel RM100,000 satu malam di Burj Al-Arab Dubai!!

69. Rosmah dan Najib sewa penthouse di Hotel Darling di Sydney pada kadar RM65,100untuk sehari semalam.

70. “Lawatan Sambil Belajar” ke Arab Saudi, Oman dan Bangladesh Rosmah and the Gang (FLOM @ First Lady of Malaysia) ditanggung kerajaan berjumlah RM134,317.76. 

71. Memperuntukkan dana RM100 juta setahun untuk Rosmah berbelanja dalam projek peribadi ‘Permata Negara’nya.
72. Perbelanjaan oleh Rosmah untuk mengendalikan Sidang Kemuncak Wanita Pertama yang melibatkan 15 orang wanita isteri Ketua-ketua Negara yang majoritinya daripada negara-negara Afrika yang menelan belanja RM4.5 juta untuk tempoh TIGA hari.
73. Kos ubah suai Seri Perdana sebanyak RM12.5 juta.

74. Bil elektrik kediaman rasmi PM dan TPM di Seri Perdana sebanyak RM160,000sebulan.

75. Insinerator di Broga, Semenyih, kerajaan BN yang di atas kebodohan mereka tidak mendengar keluhan rakyat, terpaksa membazirkan berbilion ringgit membatalkan projek tersebut. Insinerator yang seberat 1,500 tan dan menggunakan teknologi ‘fluidized bed gasification’ yang dikatakan terbesar di Asia ditaksirkan menelan belanja RM1.5 bilion (lebih kurang USD395 juta) untuk dibina dan RM200 juta (USD53 juta) bagi kos operasinya setiap tahun.

Monday, September 10, 2012

Lynas: AELB didakwa terburu-buru lulus TOL


KUANTAN: PAS Pahang melahirkan rasa kecewa kepada Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) kerana dilihat terburu-buru meluluskan lesen operasi sementara kepada Lynas walaupun mahkamah Kuantan sudah membenarkan penilaian semula.

Pada 28 Ogos tempoh hari, Mahkamah Tinggi Kuantan membenarkan penilaian semula ke atas keputusan menteri dari MOSTI iaitu Datuk Seri Panglima Dr Maximus Ongkili kerana menolak rayuan kumpulan Anti-Lynas pada bulan jun yang lalu.

AJK BPPNP merangkap pengerusi Lajnah Perumahan, Pengguna dan Alam Sekitar PAS Pahang yang juga merupakan pengerusi Stop Lynas Coalition(SLC) Andansura Rabu (gambar bawah) berkata, beliau melahirkan rasa terkejut dengan keputusan terburu-buru AELB itu.

"Lebih-lebih lagi keputusan itu dilihat seolah-olah menghina keputusan mahkamah kuantan, ditambah pula dengan kes rayuan Stop Lynas Coalition (SLC) yang akan didengar mahkamah 10hb september ini," katanya.

Keputusan AELB itu disifatkan beliau tidak masuk akal dan amat memalukan bagi sebuah agensi dan kementerian yang dipertanggungjawabkan untuk melindungi keselamatan dan kesihatan rakyat termasuklah alam sekitar.

"Keputusan terburu-buru seperti itu akan mendorong persepsi negatif dari pihak awam bahawa AELB seolah-olah berkhidmat untuk lynas dan bukan untuk rakyat," katanya.

Ketika pihaknya masih tertanya-tanya halatuju MOSTI sama ada ingin melupuskan sisa buangan radioaktif mereka melalui 'Permanent Disposal Facility' (PDF) atau dihantar kembali ke Australia termasuklah pelan terperinci pengurusan sisa berjadual dari LYNAS itu, MOSTI melalui AELB sanggup mengambil keputusan terburu-buru seperti ini.

"Sudah terang lagi bersuluh, kerajaan Umno dan BN khususnya MCA tidak pernah mengambil kira soal nyawa rakyat, malah meletakkan keuntungan ekonomi yang tidak setimpal itu.

"Dengan pengecualian cukai selama 12 tahun serta peluang pekerjaan kepada hanya 300 orang sahaja melebihi kepentingan hampir 900,000 ribu nyawa rakyat kuantan," ujar beliau sambil memberi jaminan bahawa PAS negeri akan mengambil tindakan selanjutnya terhadap MOSTI khususnya AELB dan Lynas.

Ketua Penerangan PAS Pahang yang juga merupakan Timbalan Pengarah II Badan Bertindak Anti-Rare Earth Refinery(Badar), Ustaz Suhaimi Md. Saad (gambar) ketika dihubungi pula berkata tindakan AELB ini mirip tindakan sama yang dibuat AELB di Bukit Merah satu ketika dahulu.

"Seolah-olah tindakan seperti ini sudah dirancang terlebih awal untuk mengelak kesan ekonomi yang berpanjangan kepada Lynas," kata Suhaimi.

"Kita dimaklumkan saham Lynas sudah menjunam teruk semenjak tahun lepas, lebih dari AUD2.00 kepada AUD0.82 hari ini.

"Oleh kerana itu, mungkin AELB cuba menyelamatkan Lynas," ujar beliau yang menyeru seluruh rakyat Kuantan dan di seluruh negara untuk bangkit membantah keputusan AELB dan MOSTI ini termasuklah menukar pemerintah yang sedia ada sebagai satu-satunya pilihan atau alternatif akhir untuk menutup Lynas.

Sabotaj: PAS tidak serupa dengan Umno


KUALA LUMPUR: PAS tidak perlu menyingkirkan mana-mana ahlinya sebagaimana yang ingin dilakukan Umno, memandangkan semua ahli PAS bersatu padu dan tidak pernah mensabotaj ahli sendiri.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad (gambar)menegaskan dengan semangat perpaduan yang ditunjukkan ahli parti itu selama ini, isu sabotaj di kalangan ahli-ahlinya tidak pernah berlaku.

Keadaan itu, katanya berbeza dengan Umno yang kini bimbang dengan ahli-ahlinya yang berkemungkinan melakukan sabotaj sehinggakan timbalan presiden parti melayu itu terpaksa mengeluarkan kenyataan untuk menyingkirkan ahli yang cuba mensabotaj parti.

"Kenyataan itu jelas menunjukkan Umno mengalami krisis dalaman sehinggakan terpaksa melakukan kaedah 'bulldozer' dengan menyingkirkan ahli mereka. Manakala, bagi pihak PAS, kita tidak perlu mengeluarkan dan mengambil langkah serupa seperti Umno," tegas beliau ketika ditemui di majlis hari terbuka PAS, di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita sama ada PAS akan mengambil langkah serupa seperti Umno untuk menyingkirkan mana-mana ahlinya yang cuba mensabotaj parti.

Sebelum itu, Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata Umno akan menyingkirkan ahlinya yang cuba mensabotaj parti itu.

Dalam pada itu, Khalid berkata PAS bersama-sama Pakatan Rakyat sudah bersiap-sedia bagi menghadapi pilihan raya umum sejak akhir tahun lalu.

"Kita hanya menunggu perdana menteri untuk membubarkan parlimen. Kita sudah lama bersedia. Namun, memandangkan tempoh sudah semakin singkat, maka kita kini akan mevmasuki gear lima bagi tujuan itu," tegas beliau yang optimis dengan kejayaan Pakatan Rakyat pada PRU ke-13 akan datang.

PRU13: PAS Pulau Pinang sasar 6 Dun, 2 parlimen


KEPALA BATAS: PAS Pulau Pinang menyasarkan memenangi enam kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dan dua kerusi parlimen pada Pilihan raya Umum ke-13, kata Pengarah Jabatan Pilihanraya PAS Negeri, Rosidi Husain (gambar).

Tegasnya, berbanding pada pilihan raya umum lalu PAS Pulau Pinang lebih ke hadapan dan bersedia bertempur dengan musuh tradisi Umno Barisan Nasional (BN) memandangkan inilah kali pertama PAS bertanding bagi mempertahankan kerajaan negeri.

"Enam kerusi yang kita sertai insya Allah menunjukan potensi yang memberangsangkan. Namun kita terus memperbaiki yang mana kurang sehinggalah ke saat-saat tarikh keramat yang akan diisytiharkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak," jelasnya ketika ditemui di majlis meraikan petugas pilihan raya Dun Penaga, semalam.

Katanya, antara Dun sararan ialah Penaga, Sungai Dua, Permatang Berangan, Sungai Aceh dan Bayan Lepas di samping mempertahankan Dun Permatang Pasir yang dimenangi tiga penggal berturut-turut.

Parlimen sasaran pula, ujarnya adalah Kepala Batas dan Tasek Gelugor.

"Semua jentera parti kena lipat gandakan aktiviti sehingga pengumuman penting oleh Najib. Jangan ada lagi Majlis Tindakan Dun (MTD) yang lena tidak menggerakkan kegiatan dengan membuka bilik gerakan di Unit Peti Undi (UPU), " jelasnya yang juga Yang Dipertua PAS Kepala Batas.

MCA tendang apa sahaja sebelum....


KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan BN melalui KTM Komuter mengadakan gerabak khas untuk wanita diterima tetapi bila PAS menyediakan tempat yang sesuai untuk wanita makan di majlis hari raya dikritik oleh MCA.

Inilah masalah besar yang dihadapi oleh MCA sekarang, terlalu takut kehilangan kuasa sehingga semua perkara dianggapnya musuh.

Akhbar MCA, The Star hari ini membuat tinjauan khas tentang program Hari Terbuka PAS Negeri Sembilan yang menyediakan tempat khas untuk wanita makan.

Namun, sebagaimana yang disahkan oleh Anggota Parlimen Rasah, Anthony Loke, mana-mana wanita yang ingin makan bersama lelaki, mereka tidak dihalang.

"Saya telah duduk satu meja bersama Mohamad Sabu (Timbalan Presiden PAS) dan isterinya. Tidak ada sesiapa yang larang kami," kata Anthony Loke sebagaimana dilaporkan The Star.

Semalam, majlis hari raya PAS Pusat di Padang Kelab Sultan Sulaiman juga menyediakan tempat makan khas untuk wanita sahaja.

Tetapi mana-mana pihak yang ingin makan di mana-mana pun tidak pula dilarang oleh AJK yang bertugas.

Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Taufek Abdul Ghani nyata terkejut dengan isu yang dimainkan oleh The Star ini.

Katanya, langkah yang dibuat oleh PAS Negeri Sembilan adalah untuk memberikan ruang yang selesa untuk tetamunya khasnya wanita makan.

"Saya tidak tahu mengapa hal ini menjadi isu sekarang kerana kita telah melakukan hal ini sejak dari dahulu," kata Taufek sebagaimana dilaporkan The Star.

Dalam laporannya, Ketua Biro Politik dan Strategi MCA, Datuk Lee Yuen Fong  menyesali langkah PAS itu.

"Kenapa kita perlu asingkan sedang kita membuat majlis rumah terbuka dan ditempat terbuka.

"Ini menunjukkan langkah yang PAS akan ambil apabila berkuasa nanti," katanya sebagaimana dilaporkan oleh The Star.

FGVHB: Bukti peneroka dikhianati makin terserlah


Maka pada tarikh puaka 28 Jun 2012 tercatatlah di dalam sejarah Malaysia satu lagi pengkhianatan besar oleh pemimpin Melayu ke atas umat Melayu. Kali ini dalam bentuk penggadaian tanah perladangan yang telah diusahakan peneroka Felda berabad-abad lamanya bersama-sama dengan rangkaian perniagaan yang dibina di atas biaya wang peneroka kepada kapitalis rakus yang tidak pernah mencurah barang setitik keringat pun dalam membangunkan hutan belantara menjadi tanah ladang luas terbentang.


Dalam tempoh 55 tahun, sudah terlalu banyak hak umat Melayu dikhianati. Dibawakan satu contoh di sini sebagai ilustrasi.

Dalam awal tahun 1980an, pemimpin Melayu melalui Bank Bumiputra Malaysia Berhad (yang ditubuhkan kononnya untuk menyediakan pembiayaan kepada orang Melayu menerokai dunia perdagangan dan perindustrian) telah mengkhianati orang Melayu dengan memberi pinjaman berbilion-bilion ringgit  kepada seorang kapitalais penipu bernama George Tan, mengenepikan puluhan ribu umat Melayu yang pada ketika itu, amat dahagakan pembiayaan. Akhirnya, Bank Bumiputra Berhad kerugian RM3 bilion. Walau pun telah diselamatkan beberapa kali melalui suntikan wang Petronas (berbilion ringgit jumlahnya), BBMB akhirnya runtuh dan kini hanya tinggal batu nisan. Natijahnya, umat Melayu, setelah 55 tahun merdeka, kekal menjadi kaum termundur dalam dunia perdagangan dan perindustrian.

Dibandingkan dengan skandal BBMB, skandal penggadaian tanah Felda ini adalah satu pengkhianatan berganda-ganda besarnya. Harta paling strategik milik umat Melayu, iaitu, tanah tempat mereka dan keluarga bergantung hidup dan bertelapak, telah digadaikan kepada kapitalis yang sudah sedia kaya. Bukan tidak ada peneroka yang menentang pengkhianatan ini tetapi penentangan menjadi tidak bermaya apabila umat Felda disuakan dengan habuan kebendaan yang tidak seberapa nilainnya. Mereka telah termakan umpan keuntungan segera. Tidak cukup, mereka dibuai pula dengan lagu “putar alam” mainan media perdana yang menjadi alat pemimpin Melayu yang khianat.  Malang sekali umat Melayu yang memiliki pemimpin yang khianat.

Setelah kertas bernama saham (yang menjadi sijil milik ke atas aset yang dipindahmilik secara tidak sah kepada syarikat bernama Felda Global Ventures Holding Berhad)  bertukar tangan pada hari puaka itu, maka peneroka Felda hanya memilik 2.5% dari jumlah saham yang diapongkan dan 97.5% lagi berpindah ke tangan kapitalis yang mengejar keuntungan.

Jelas, peneroka telah termakan janji palsu bahawa “kepentingan mereka di dalam Felda tetap akan terpelihara dan tidak hilang barang seinci pun” walhal, akibat penyenarainan, pemilik majoriti kepentingan Felda sekarang ialah pelabur bukan peneroka. Apakah mereka mahu menafikan kenyataan bahawa mereka kini hanya memiliki 2.5% saham di dalam FGVHB dan 97.5% lagi sudah dikuasai dan dikawal oleh pelabur bukan peneroka? Sedarkah mereka bahawa daripada RM400 juta dividen awal yang bakal diagihkan, mereka hanya menerima RM10 juta sedangkan RM390 juta akan dinikmati pelabur bukan peneroka? Apakah mereka masih tidak mahu percaya bahawa akibat pengapongan saham FGVHB, pengurusan harta mereka termasuklah tanah milik peribadi mereka (seluas 10-12 ekar seorang) dan urusan jual-beli hasil, sudah dimonopoli dan diurus oleh FGVHB yang bukan lagi milik peneroka?

Satu perkara yang wajar didedahkan ialah, saham FGVHB pada awalnya dijangka diapongkan pada harga terbitan awam awal RM5.85 se saham. Tetapi, prestasi FGVHB yang menurun dan pasaran saham dunia yang lemah memaksa harga terbitan diturunkan kepada RM4.55 se saham, iaitu, penurunan sebanyak RM1.45 se saham.

Penyenaraian FGVHB yang dibuat dalam masa pasaran saham yang lemah ini telah membawa kerugian besar kepada Felda. Berdasarkan jumlah saham yang diapongkan, iaitu, 2.19 bilion unit, pada harga RM4.55 se unit, penyenaraian menjana RM9.93 bilion. Tetapi, pada harga RM5.85 seunit, dana yang dijana berjumlah RM11.8 bilion. Penyenaraian yang tergegsa-gesa yang gagal mengambilkira keadaan pasaran saham yang lemah telah membawa kerugian sebanyak kira-kira RM2 bilion kepada Felda dan FGVHB. Ini adalah satu perbuatan yang tidak bertanggungjawab, tidak professional dan mengkhianat Felda dan peneroka.  Sepatutnya penyenaraian dibuat dalam keadaan pasaran yang membawa keuntungan maksimum kepada Felda.

Saham FGVHB diapongkan pada 28 Jun 2012 pada harga terbitan awam awal RM4.55 se saham (harga pembeli institusi) dan RM4.45 sesaham (harga pembeli runcit). Pada hari pertama pengapongan harga ditutup pada RM5.30 sesaham, kenaikan sebanyak RM0.75 atau 16.5%. Kenaikan ini sederhana berbanding dengan jangkaan bahawa harga saham FGVHB akan melonjak tinggi sehingga ke RM6.00-7.00 seunit menghasilkan keuntungan durian runtuh kepada pemegang saham.  Ini tidak terjadi sehingga kini, setelah hampir dua setengah bulan saham diapongkan.

Harga tutup tertinggi pernah dicapai ialah RM5.50 se saham (pada 4 Julai dan 11 Julai). Harga tutup semalam (Rabu, 5 september 2012) ialah RM4.85 se saham, iaitu, premium sebanyak RM0.30 atau 6.6% di atas harga terbitan awam awal.   Kenaikan harga yang sederhana ini memeranjatkan ramai penganalisis pasaran kerana lonjakan besar yang dijangka dan diuwar-uwarkan oleh pengerusi Felda tidak terjadi.

Di dalam prospektus penyenaraian FGVHB, tidak didedahkan unjuran keutungan untuk tahun 2012. Yang ada ialah maklumat kewangan interim (laporan kewangan tidak terodit) yang mendedahkan bahawa untuk tiga bulan pertama berakhir pada 31 Mac 2012, FGVHB untung sebanyak RM223.212 juta berbanding RM350.158 juta untuk tempoh yang sama (3 bulan) dalam tahun 2011, kemerosotan sebanyak RM126.944 atau 36.2%.

Laporan kewangan terkini (disiarkan oleh media pada 28 Ogos 2012) menunjukkan bahawa keuntungan FGVHB pada setengah tahun 2012 (6 bulan pertama berakhir 30 Jun 2012) berjumlah RM380.5 juta, lebih rendah daripada unjuran kebanyakan pengalisis pasaran. Jumlah keuntungan ini hanyalah 39% dari untung yang diunjurkan bagi tahun 2012 (sekitar RM1.2 bilion). Dibandingkan dengan keuntungan 6 bulan pertama 2011 (RM638.4 juta), keuntungan dalam 6 bulan pertama 2012 merosot sebanyak 34%, berpunca  dari pengeluaran buah sawit (buah tandan segar) yang merosot, kenaikan kos operasi  dan sumbangan sektor gula yang megecil.

Walaupun keuntungan kurang memuaskan, pada 28 Ogos 2012, FGVHB telah mengishtiharkan dividen awal (interim) sebanyak 5.5% se saham yang bakal dibayar pada atau sebelum 28 November 2012. Ini adalah tindakan untuk menyokong pasaran tetapi kesannya kepada harga saham nampaknya tidak memberangkan.

Pembayaran dividen ini tidak membawa apa-apa makna kepada nasib 112,000 peneroka kerana mereka hanya memegang 830 unit saham FGVHB se orang. Sebahagian besar dividen akan dinikmati oleh pemegang saham utama (cornerstone investors) yang terdiri daripada Lembaga Tabugn Haji, Kumpulan Wang Persaraan, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan pengurus dana antarabangsa seperti BlackRock Fund Advisors, FIL Investment Mangement (Singapore) Ltd., Goldman Sachs Asset Management Brazil Ltda., The Vanguard Group, Inc., ThreadNeedle Asset Mangement Limited dan Legal and General Investment Management Ltd. Kumpulan pemegang saham yang digelar “cornerstone investors” setakat ini menguasai 21.35% saham FGVHB dan merekalah yang akan mengaut sebahagian besar dividen. Golongan yang tidak pernah berjerih payah membangunkan hutan belentara menjadi perladangan terbesar di dunia kini mengaut nikmat terbesar sedangkan peneroka yang mengorbankan keringat, airmata dan darah - kerana mereka tidak mampu membeli sekeping kertas yang bernama saham - hanya menggigit jari.

Berikutan penyenaraian FGVHB, peneroka Felda diperuntukkan 830 unit saham setiap seorang. Namun, setelah lebih dairpada 2 bulan berlalu, didapati masih ramai yang belum membayar harga saham berkenaan (kira-kira RM3,800) kerana tidak mampu. Juga, ramai peneroka yang beranggapan saham itu adalah percuma. Ini bermakna, tanpa memiliki sekeping kertas bernama saham, peneroka tidak ada hak ke atas dividen 5.5% yang bakal dibayar.

Menyedari hal ini,  Perdana Menteri mengisytiharkan bahawa Felda akan membiayai pembelian saham oleh peneroka dengan bayaran balik yang mudah sebanyak RM50 sebulan. Langkah baru ini mengesahkan bahawa penyenaraikan FGVHB tidak membawa apa-apa keuntungan kepada peneroka.  Yang untung besar hanyalah kroni dan kaum pemodal tempatan dan antarabangsa yang sudah sedia kaya.  Pemberian pembiayaan ini tidak lain hanyalah umpan untuk memancing undi peneroka. Manakah dia saham percuma yang pernah dijanjikan?

Selain dari itu, peneroka kononnya bakal diberi “bonus” RM400 seorang. Ini satu penipuan kerana yang bakal diberi kepada peneroka itu bukan “wang percuma” tetapi itu adalah dividen daripada saham yang mereka pegang (5.5% daripada 830 unit saham). Bukan semua peneroka akan mendapat dividen ini kerana ramai yang tidak membeli saham.

Ada penganalis berpandangan bahawa prestasi keuntugan FGVHB bagi setengah tahun terakhir 2012 akan bertambah baik kerana pengeluaran buah meningkat. Namun, majoriti penganalis mengunjurkan bahawa keuntungan bagi tahun kewangan 2012 akan lebih rendah dari unjuran awal memandangkan lebih dari 50% pokok sawit yang ada sudah tua dan perlu ditanam semula. Kos penanaman semula bakal berjumlah RM2.6 bilion. Kenaikan kos operasi bersama penurunan hasil buah memberi kesan negatif kepada prestasi syairkat menyebabkan harga saham akan tertekan.  Jumlah saham yang besar dan keadaan pasar saham yang tidak menentu juga boleh membawa kesan menurun kepada harga saham. Persaingan sengit daripada pengeluar minyak sawit utama dunia, Indonesia, juga akan memberi kesan negatif kepada harga sawit and akhirnya menekan harga saham FGVHB.

Shabery digesa mohon maaf hina atlet paralimpik


KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) kesal dengan kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang telah mengguris perasaan golongan orang kurang upaya (OKU).

Ini kerana beliau meletakkan tahap atlet paralimpik negara di kejohanan Paralimpik di London baru-baru ini sebagai ‘kelas kedua’.

“Kami juga menggesa agar Datuk Seri Shabery memohon maaf secara terbuka di atas ketelanjuran bahasa yang dinyatakan atau sekiranya ia  memang menjadi dasar Kerajaan Pusat merendahkan dan menganggap bahawa atlet paralimpik tidak bernilai di Malaysia,” kata Naib Ketua DPPM, Dr Raja Ahmad Iskandar al-Hiss.

Katanya, kenyataan Shabery baru-baru ini yang berkata kerajaan tidak akan memberi pencen kepada atlet paralimpik yang memenangi pingat pada temasya di London itu sebagai tidak adil sama sekali.

“Kami merasakan OKU seumpama inilah yang sewajarnya diberikan perhatian dan diberikan bantuan yang melebihi orang lain yang cukup sifatnya,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Ini,katanya ditambah kenyataan pedas Shabery yang mengatakan bahawa ‘perlu diingat juga standard Sukan Paralimpik dan Sukan Olimpik jauh bezanya, jadi kita perlu realistik apabila membuat sebarang keputusan’.

Iskandar berkata, kenyataan itu sangat menyinggung perasaan OKU.

“Kami amat kesal kenyataan penghinaan yang diberikan oleh Datuk Seri Shabery tersebut yang boleh disifatkan bongkak dan tidak mengadili kekurangan seseorang manusia,” katanya.

Oleh yang demikian, ujarnya DPPM mendesak satu tindakan diambil terhadap Shabery dengan segera dan mendesak agar atlet paralimpik juga diberikan pencen yang lebih baik daripada atlet Olimpik negara.

“Tidakkah mereka juga telah mengharumkan nama negara?” tanya beliau.

Umno: Sumbat di sini, bocor di sana


“Ahli-ahli Umno yang didapati mensabotaj parti dalam pilihanraya nanti akan di singkirkan keahlian mereka. Mereka yang bekerja dan mengundi parti-parti pembangkang adalah mereka yang tidak setia dan Umno tidak memerlukan mereka”.

Itulah lebih kurang kata-kata Muhyiddin Yassin dua hari yang lepas semasa merasmikan perwakilan salah satu bahagian di Johor dua hari yang lepas..

Inilah sebenarnya masalah yang sedang dihadapi oleh Umno apabila menghadapi PRU yang akan datang. Masalah itu merupakan masalah yang terbesar yang Umno sedang hadapi dan jika Umno menumpukan mengkritik dan membidas DAP, PAS dan PKR, itu merupakan tumpuan dan “priority” yang salah yang dilakukan oleh Umno.

Parti-parti dalam Pakatan Rakyat itu hanyalah parti-parti yang halal dan bukannya menjadi kesalahan bagi sesiapa untuk mengundinya termasuklah ahli-ahli Umno sendiri seperti yang telah dilakukan oleh sebahagian besar ahli-ahli Umno dalam pilihanraya yang lalu.

Lain-lain perkataan parti-parti pembangkang bukannya musuh BN. Pakatan Rakyat hanya menawarkan pilihan kepada BN yang kian hari kian bercelaru dengan masalah “inter-party” dan “intra-party” dalam BN.

Musuh Umno ialah ahli-ahlinya sendiri. Saya tidak putus-putus dihubungi oleh ramai ahli-ahli Umno yang biasa di bawah-bawah ini sejak saya menjadi ahli DAP awal Januari yang lepas.

Mereka tidak berpuas hati dengan parti mereka sendiri dan ingin saya meyakinkan mereka yang menyokong Pakatan Rakyat itu adalah tindakan yang tidak bersalah-salahan dengan perjuangan politik rakyat dan negara.

Mereka mahukan saya memberi tahu dan meyakinkan mereka mengundi DAP dan parti-parti dalam Pakatan Rakyat itu merupakan tindakan yang halal malahan ia merupakan langkah kearah perubahan dan hijrah untuk rakyat termasuk orang Melayu sendiri.

Mereka mahukan saya memberikan pandangan yang perubahan kali ini adalah satu perkara yang sudah menjadi kemestian untuk kita lakukan. Mereka merasakan yang mereka hanya dijadikan “kuda pelejang” untuk pemimpin-pemimpin korup yang tidak bermoral dan beretika dan jika Umno masih mendapat mandat kali ini mereka merasakan usaha untuk menyelamatkan negara akan tertangguh lagi.

Sementara hendak menunggu satu lagi pilihanraya negara kita akan kering kotang dan negara akan menghadapi masalah yang amat sukar untuk diperbetulkan pada masa itu nanti. Pendeknya mereka kata untuk melakukan perubahan itu adalah sekarang dan tidak boleh ditangguhkan lagi.

“It”s better late than never,” kata seorang rakan saya yang baru saya kenali di Seremban baru-baru ini. Apabila kita mengutamakan negara, kita tidak boleh lagi memberikan Umno bermaharajalela.

Umno akan melakukan banyak perkara yang menekan rakyat termasuklah kepada ahli-ahlinya sendiri. Dengan amaran Muhyiddin itu ia menampakkan yang Umno sedang menghadapi masalah dari ahli-ahlinya sendiri.

Masalah dalaman parti Umno, adalah seperti orang yang menghadapi masalah dalaman. Penyakit dalaman tubuh kita selalunya akan membawa kita ke tahap penyakit yang “terminal” yang akhirnya membawa maut kepada kita sendiri.

Bagimanakah Umno akan membuang ahli-ahli Umno yang mensabotaj calon BN itu? Bukankah undi itu sulit? Kali ini bukan masalah sabo-menyabo. Sekarang ini adalah masalah untuk menghapuskan rasuah yang dilakukan oleh BN.

Muhyiddin nampaknya hendak menekan ahli-ahlinya sendiri dan itu pun budaya Umno sejak akhir-akhir ini. Umno tidak kisah bagaimana masyarakat melihat dan memberikan persepsi kepada parti itu sendiri. Yang penting mereka (ahli-ahli Umno) mesti undi BN. Apa pun perasaan yang ada di dalam hati ahli-ahli Umno itu, pimpinan mereka tidak ambil peduli.

Bagaimana Umno hendak mengambil tindakan kepada ahli-ahlinya yang ramai yang mengundi pembangkang? 1.5 juta ahli Umno menyokong pembangkang dalam pilihanraya yang lalu berapa orang yang telah di ambil tindakan?

Umno tidak sedar yang ahli-ahli Umno itu adalah manusia bukannya haiwan belaan dan mereka mempunyai perasaan dan maruah juga. Jika pun Umno memecat ramai ahli-ahlinya ia menunjukkan yang Umno itu merupakan parti yang rapoh dan lemah.

Jika pecat memecat menjadi budaya dalam Umno ia hanya akan memberikan persepsi yang Umno bukanlah parti yang di sayangi oleh ahli-ahlinya. Tetapi jika Umno itu kalah dalam pilihanraya seperti yang diyakini oleh ramai, bagaimana mereka hendak memecatnya?

Jika lah benar Umno itu masih sebuah parti yang kuat dan di terima baik oleh rakyat kenapa keluar kenyataan yang nyata memberikan persepsi yang Umno itu tidak percaya kepada ahli-ahlinya sendiri.

Pimpinan Umno sekarang mempunyai persepsi yang tidak baik kepada ahli-ahlinya sendiri. Pimpinan-pemimpin Umno “suspect everybody and trust nobody” terhadap semua ahli-ahlinya.

Situasi ini sememangnya merupakan indikasi yang jelas yangUmno tidak akan boleh bertahan dihati rakyat ramai. Kenyataan seperti yang keluar dari mulut seorang pemimpin utama parti itu dengan sendirinya membuatkan rakyat merasa kurang keyakinan mereka.

Kalau ahli-ahlinya sendiri tidak boleh dipercayai, tentulah yang tidak menjadi ahli itu tidak akan dipercayai oleh Umno.

Bagi ahli Umno, jika mereka memberikan undi kepada Pakatan Rakyat seperti yang mereka lakukan dalam PRU yang lepas mereka tidak akan mendapat apa-apa mudharat kerana berada di dalam Umno pun tidak menjamin yang kita tidak akan menerima mudharat akibat kelemahan pimpinan yang tidak dapat menolak dugaan yang mereka hadapi seperti rasuah dan salahguna kuas.

Ahli-ahli Umno sendiri berkata yang jika seseorang yang dipilih menjadi calon, itu merupakan tiket untuk mereka membuat dan membina kekayaan peribadi. Hendak ditegur mereka tidak akan berubah. Caranya ialah untuk menolak calon-calon itu sebagai pengajaran yang berkuasa ialah rakyat, bukannya mereka yang di beri mandat itu.

Menjadikan orang ramai untuk menjadi kerbau untuk membajak sawah sahaja tidak lagi dapat diterima ramai. Cukup-cukuplah setakat ini.

“Jika mereka dipecat pun bukannya ada apa-apa yang hilang pun, kerana semasa kita belum dipecat pun keadaan tidak menentu. Apa bezanya kalau dipecat? Selama ini pun Umno tak nampak bergerak pun. Tidak lagi berada dalam Umno pun hidup kita serupa juga,” kata seorang AJK Bahagian dari Negeri Sembilan kepada saya.

Seorang rakan yang menganggotai AJK Bahagian di Selangor memberi tahu saya, “By all means, Muhyiddin can sack us and suit himself. After all Umno is unrecognizable, bang Aspan! Dah lah! Sumbat sana bocor kat sini. Sumbat kat sini berlubang kat sana”. 

Sabotaj parti: Pemimpin tertinggi Umno cemas


KUALA LUMPUR: “Jika begitu tegasnya nada kenyataan Tan Sri Muhyiddin, ini bererti Umno dan BN berada dalam keadaan gawat dan tenat,” kata Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Riduan Mohd Nor (gambar).

Katanya, disiplin dan akhlak ahli Umno dan parti komponen BN dianggap begitu teruk sehingga terpaksa diberi amaran dalam ruang media yang terbuka.

Baru-baru ini Muhyiddin mengeluarkan kenyataan tegas menggesa anggota Umno dan BN yang cuba mensabotaj calon serta parti dalam pilihan raya disingkirkan.

Kenyataan beliau disambut pula oleh pemimpin lainnya yang menyokong kenyataan tersebut.

Riduan berkata, gelombang yang begitu menggelora sedang membadai dalaman mereka sehingga terpaksa pemimpin tertingginya memberi amaran keras untuk menenangkan keadaan.

Katanya, kenyataan Muhyiddin menunjukkan bahawa Umno sudah lari jauh dari matlamat asal perjuangan mereka.

Baginya, agenda membela bangsa adalah kata-kata manis yang lahir dari lidah mereka sahaja, sedangkan hati mereka tiada niat untuk membela nasib rakyat.

Menurutnya lagi, mereka lebih bernafsu untuk memikirkan diri mereka sendiri.

Tambahnya, tindakan mereka dizahirkan dengan sanggup ‘mengalahkan’ calon dan parti mereka sendiri dalam PRU13 jika mereka atau orang pilihan mereka tidak terpilih bertanding.

“Sebegitu rapuh dan murahnya ‘aqidah’ perjuangan mereka terhadap parti sendiri, tidak terbayangkan bagaimana kelak pemimpin seperti ini sanggup mengharungi kesusahan bersama rakyat semata-mata mahu membela nasib rakyat lebih dari diri mereka sendiri,” katanya.

Dalam keadaan sekarang, ujar Riduan apakah masih ada sekelumit hati pemimpin Umno merasakan menjadi wakil rakyat sebagai suatu amanah yang perlu ditunaikan dengan baik dan memberikan khidmat kepada masyarakat terutama pengundi sebagai suatu keutamaan.

Beliau mempersoalkan, mungkinkah ada kalangan mereka merasakan amanah yang dipikul itu akan menjadi suatu bebanan dan akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT di hari akhirat kelak.

Sebaliknya, kata beliau mungkin mereka merasa menjadi Yang Berhormat atau menteri adalah suatu kemuliaan dan juga peluang untuk membolot kemewahan dunia sebanyaknya tanpa memikirkan nasib rakyat yang mereka wakili.

“Saya ingin mengajak rakyat menilai kembali sokongan mereka kepada Umno. Parti seperti ini tidak boleh disokong kerana mereka sendiri sanggup menjual beli parti mereka sendiri hanya kerana kepentingan diri mereka.

“Zahirnya nampak kuat, namun dalamannya amat rapuh dan lemah. Parti seperti ini boleh rebah bila-bila masa sahaja,” ujarnya lagi.

Katanya, kenyataan Muhyiddin pula akan menguji diri beliau jika ia benar-benar terjadi ke atasnya.

“Sesetia itukah Muhyiddin terhadap partinya sendiri atau beliau turut akan sama mensabotaj dan akan disingkir jika tidak terpilih sebagai calon PRU13?” tanya beliau.

Nyanyian Iqwal, Rosmah dan Najib


(Najib menari bersama isteri dan rakan-rakan di Aidilfitri)

KUALA LUMPUR: Video klip yang memaparkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datik Seri Rosmah Mansor menari dan menyanyi di majlis Aidilditri beliau kini mula mendapat tarikan ramai.

Video klip yang turut memaparkan Datuk Seri Rais Yatim dan isteri mula disebarkan melalui Youtube tetapi dengan link yang terhad.

"This video is unlisted. Only those with the link can see i".

Ia memaparkan bagaimana seorang penyanyi baru, Iqwal Hafiz menyanyi lagu "Anak Kampung" dengan diiringi tarian oleh Najib, isteri dan rakan-rakannya.

Untuk menonton video ini, sila klip di sini. Namun selepas disiarkan Harakahdaily, link ke laman itu telah dikeluarkan oleh pemiliknya.

Namun ia boleh dilihat di sini pula.

Saham FGVH menjunam, peneroka mula rugi


KUALA LUMPUR: Saham Felda Global Venture Holding (FGVH) terus menjunam jatuh dengan pantas menuju harga awal ketika dilancarkan iaitu RM4.55 apabila jatuh lapan sen lagi tengahari ini.

Saham itu terus jatuh sebanyak 89 sen sejak mencecah RM5.55 pada 5 Julai lalu dan ditutup pada harga RM4.69 tengahari ini.

Saham FGVH terus jatuh selepas mencecah batasan saikologinya apabila jatuh ke RM5.00 Rabu minggu lepas, iaitu jatuh sehingga 31 sen.
Mula rugi

Sementara itu, Penasihat Ekonomi Anak (Persatuan Anak Peneroka Felda), Dr Rosli Yaakob (gambar atas) berkata, peneroka Felda kini mula rugi apabila sahamnya jatuh melepasi 4.70.

Ini kerana, dividen yang diperolehi tidak akan mampu menampung interest pinjaman yang mereka buat untuk membeli saham FGVH.

"Kadar interest pinjaman mereka untuk membeli saham ini pada kadar RM4.45 kini lebih tinggi berbanding dengan dividen yang mereka perolehi," kata Dr Rosli.

Kini, semasa laporan ini ditulis, saham FGVH adalah lebih rendah dari RM4.70 iaitu RM4.69.

Blogger Umno berdepan penghakiman engkar


KOTA BHARU: Seorang blogger mesra Umno, Wan Mohamad Shukri Wan Yusof kini berdepan penghakiman engkar apabila tidak hadir pada prosiding kes saman Yang Dipertua PAS Jeli, Mohd Apandi Mohamad(gambar) terhadapnya.

Peguam plaintif, Hisham Fauzi berkata ketika prosiding kes berlangsung semalam di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Nariman Badruddin tiada notis kehadiran dan pernyataan pembelaan difail defendan.

Katanya, disebabkan keengkaran tersebut Mahkamah Tinggi menangguhkan kes terbabit kepada 1 Oktober bagi membolehkan peguam Mohd Apandi memfailkan permohonan penghakiman engkar.

“Pada prosiding semalam defendan tidak hadir dan tiada peguam yang hadir mewakilinya, manakala plaintif diwakili peguam Farah Helmy,” katanya di sini.

Defendan dipercayai pemilik blog http://www.kelatekito.net/ memaparkan tulisan bertajuk “YDP PAS Jeli samun tanah rakyat” yang diterbitkan pada 8 November 2011.

Blogger terbabit juga menulis “terbaru hasil siasatan dan maklumat dalaman, kelatekito.net mendapati Yang Dipertua Pas Jeli telah mendapat tanah seluas 362.75 ekar di mukim Kuala Pahi, Kuala Krai untuk dibahagikan dengan empat lagi sahabatnya.”

Mohd Apandi dalam writ samannya menyebut tulisan tersebut tidak benar sama sekali yang bertujuan memburuk-burukkannya sebagai pimpinan PAS.

Katanya, tulisan itu juga dengan maksud menuduh plaintif sebagai seorang yang tamak, tidak jujur dan menipu rakyat.

Ekoran itu plaintif melalui peguamcara mengemukakan notis tuntutan kepada defendan menuntut dipadamkan artikel terbabit serta memohon maaf secara terbuka.

Selain itu membayar gantirugi yang amat minimal kepada plaintif, namun defendan enggan memohon maaf secara terbuka dan membayar gantirugi.

Mohd Apandi menuntut defendan mengiklankan permohonan maaf tersebut dalam akhbar nasional harian bahasa Melayu.

Blogger terbabit juga dituntut membayar gantirugi sebanyak RM1 juta kepada plaintif bagi perbuatan fitnah yang disiarkan dalam ruangan blog defendan.

Turut dituntut gantirugi teladan, gantirugi melampau, gantirugi punitif dan injunksi menghalang defendan atau ejen menerbit kenyataan-kenyataan atau perkataan yang berunsur fitnah terhadap plaintif.

Defendan beralamat di 876, Kampung Jelutong, Kota Bharu, Kelantan.

Pemuda PAS Kedah lapor polis pemimpin PR dihina


KUALA LUMPUR:Dewan Pemuda PAS Kedah bertindak membuat laporan polis berhubung gambar pemimpin PAS dan Pakatan Rakyat dihina pihak tidak bertanggungjawab.

Laporan polis tersebut dibuat berikutan kenyataan polis sebelum ini yang hanya akan menyiasat sesuatu kes sekiranya terdapat laporan polis dibuat.

Ketua Penerangan Pemuda PAS Kedah, Ustaz Nasir Zakaria, berkata dengan laporan polis tersebut, pihaknya berharap satu siasatan segera diadakan bagi memastikan pihk polis tidak membuat pendakwan terpilih.

Beliau yang turut diiringi Ketua Pemuda PAS negeri, Ahmad Yahya menegaskan polis tidak lagi boleh memberikan alasan untuk tidak menyiasat perkara tersebut.

Sebelum ini, pihak polis mengambil langkah proaktif terhadap mahasiswa yang dikatakan menghina gambar perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dn isteri, ketika sambutan ambang merdeka, 30 Ogos lalu.

Bagaimanapun, ramai pihak melahirkan rasa tidak puas hati dengan tindakan polis tersebut yang disifatkan membuat siasatan terpilih, sedangkan gambar pemimpin PAS dan Pakatan Rakyat turut dihina pihak tidak bertanggungjawab.

"Polis dalam kenyataannya sebelum ini, berkata mereka bukan buat siasatan terpilih, tetapi tiada laporan polis dibuat berhubung perkara itu (hina pemimpin PAS).  Justeru, hari ini kita membuat laporan dan berharap tindakan tegas diambil terhadap mereka yang menghina pemimpin PAS dan Pakatan Rakyat," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Laporan polis itu dibuat di Ibu Pejabat Daerah Alor Setar, petang tadi.

Sebelum ini, beberapa gambar pemimpin Pakatan Rakyat seperti Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, dan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah dikencing pihak tertentu.

Manakala, gambar Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng turut menjdi sasaran pihak yang tidak bertanggungjawab dengan memijak dan membakar gambar mereka.

Majlis Syura: ‘Syaitan dikenali' menangis


KUALA LUMPUR: Tindakan dan kebijaksanaan Majlis Syura Ulamak PAS mengurus perangkap yang dipasang oleh musuh, menyebabkan keputusan yang diambil oleh kepimpinan semalam dalam isu yang sengaja digembar-gemburkan mengenai Ustaz Nasharudin Mat Isa  benar-benar mengecewakan musuh.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam kenyataannya hari ini berkata tindakan tersebut menyebabkan ‘syaitan yang dikenali' menangis manakala 'para malaikat yang tidak dikenali' insya Allah akan gembira.

Ekoran itu, Tuan Ibrahim menasihatkan agar semua ahli dan pimpinan tidak terkena perangkap-perangkap yang dipasang oleh musuh dengan gempuran media mereka.

“Mereka gila mengimpikan Pakatan Rakyat berpecah atau dalaman parti bergolak. Bagi sesebuah parti di ambang ajal, tiada yang lebih menyeronokkan baginya melainkan musuh mereka berpecah.

Dengan objektif sedemikian, mereka memasang pelbagai perangkap bagi memerangkap ahli dan pimpinan agar memasuki jerat yang mereka sengaja pasangkan.

"Alhamdulillah, PAS dengan pengalaman lama dalam politik negara berjaya mengenali mana perangkap yang dipasang itu,” kata beliau.

Pesuruhjaya PAS Pahang itu turut menasihatkan agar semua ahli dan pimpinan jangan menghabiskan masa, tenaga dan wang ringgit dalam menghadapi isu yang sengaja dilontar oleh musuh, kerana musuh kini sangat tidak senang dengan perkembangan dan sokongan rakyat kepada kita kini.

“Mereka memang dilatih untuk kerja jahat ini, dan janganlah keikhlasan kita menyebabkan kita gagal mengenali mana sahabat dan mana musuh,” nasihat beliau.

Selain jangan bersangka buruk pada orang lain, Tuan Ibrahim turut menasihatkan agar semua jangan melakukan perkara yang menimbulkan buruk sangka orang lain terhadap diri sendiri.

“Janganlah kemarahan kamu kepada sahabatmu menyamai kemarahanmu pada musuhmu, kerana kemarahan kepada sahabat kerana kecintaan kamu kepadanya, sedangkan kemarahan kamu kepada musuhmu adalah kerana kemurkaan Allah kepadanya.

"Lantaran itu, menghadapi kesilapan sahabat tentulah tidak  sama kardahnya menghadapi musuh. Perasaan kita turut berubah dan seluruh cita rasa akan berbeza.
"Lantaran itu juga, janganlah kita bergembira di atas dukacita sahabat, dan jangan pula bersedih di atas kegembiraan musuh,” tambah beliau.

Masalah air di Mentakab, mana rakyat didahulukan


TEMERLOH:Laungan “mana rakyat didahulukan”, “mana janji ditepati” bergema dalam perhimpunan aman melibatkan beberapa orang penduduk di bandar Mentakab di sini hari ini berikutan telah lima hari terputus bekalan air paip.

Penduduk mendakwa, gangguan beklaan air tanpa notis itu disebabkan kerja mengorek tanah di pinggir jalan utama oleh kontraktor yang menyebabkan saluran paip pecah tetapi dibiarkan sejak Khamis lalu.

(Gambar: Penduduk berkumpul sambil membawa bekas air di hadapan projek menggali kabel yang didakwa menyebabkan bekalan air paip terputus selama lima hari.)

Akibatnya lebih 10,000 penduduk bandar ini terutama melibatkan taman-taman perumahan terpaksa menghadapi kesukaran menjalani hidup tanpa air.

Antara kawasan yang terbabit ialah Taman Zabidin, Taman Mentakab, Taman Orked, Taman Taha, Taman Damai, Taman KSM, Taman Pasir Rawa, Taman Setia, Taman Sagumpas, sekitar bandar Mentakab dan Jalan Temerloh.

Penduduk dari Taman Zabidin N. Sakuntala, 57, kesal pihak berkuasa terlalu lambat menyelesaikan masalah bekalan air paip sedangkan ia keperluan nombor satu untuk makan minum, membersihkan pakaian dan diri.

“Saya terpaksa pergi ke rumah kakak di Taman Saga (5 kilometer dari rumah) untuk memunggah air siang malam dan ini sangat memenatkan dan membuang masa.

“Air ini keperluan utama untuk hidup sekeluarga jadi bila terputus jadi satu gangguan, ada keluarga yang anak-anak tak boleh sekolah kerana baju tak basuh kerana kami terpaksa menghentikan semua kerja lain kerana kena mencari air untuk dipunggah ke rumah,” katanya.

Jabatan Bekalan Air (JBA) Pahang telah diswastakan kepada Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) pada Februari tahun ini. Namun ramai yang merungut meskipun telah bertukar pengurusan taraf perkhidmatannya tetap tidak berubah kerana air sering terputus, saluran paip bawah tanah selalu pecah atau bocor dan pembaikan terlalu lembab.

Siew Yui Seng (kanan) dari Taman Taha yang turut berhimpun berkata, beliau diberitahu masalah disebabkan kerja-kerja menanam kabel baru tetapi kesilapan mengorek tanah berlaku sehingga terkena batang paip lalu pecah.

Beliau telah menemui kontraktor meminta penjelasan, tetapi kontraktor memberi alasan barang gantian kerosakan masih tidak ada.

“Yang hairannya kenapa Paip tak bantu selesaikan sebab air bagi kami betul-betul penting. Kami juga kesal sikap Paip kerana setiap kali dihubungi mereka tak layan atau berdolak-dalik. Sedangkan ini bukan kali pertama berlaku, dah kerap sangat,” ujarnya.

Pengusaha Restoran Kari Kepala Ikan Raub yang turut terjejas, Mahendran, 53, (kiri) berkata gangguan air ini tidak ada notis jadi beliau menghadapi kesulitan sehingga terpaksa menyewa lori dan tong besar bagi membeli air paip di tempat cuci kereta.

“Bagi saya yang berniaga kedai makan ini memang susah sangatlah sebab nyawa kedai dan perniagaan saya betul-betul pada air paip. Sejak beberapa hari ini memang pendapatan perniagaan saya terjejas kerana ada masanya terpaksa tutup.

“Yang peliknya dulu-dulu masa belum swasta tidaklah teruk sangat macam sekarang, sekarang ini selalu sangat kerosakan dan terputus bekalan air berlaku,” jelasnya.

Seorang lagi penduduk Ramasamy Letchmanan pula kesal dengan wakil rakyat kawasan berkenaan yang tidak mahu turun melihat masalah penduduk walaupun beberapa kali diberitahu.

“Masa mengundi pilihan raya bukan main lagi wakil rakyat cari kami seorang seorang untuk dapat undi. Sekarang apabila tiba masalah seperti ini menimpa penduduk, wakil rakyat langsung tak turun tengok jangankan nak selesai masalah.

“Kalau macam ini bagaimana slogan kerajaan boleh janji ditepati dan rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan?,” soalnya.

Tambahnya, turut terlibat ialah sekolah rendah Tamil Mentakab juga tiada air, sedangkan besok (Selasa) pelajar akan menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

“Bagaimana kalau ada yang sakit perut sedangkan air tandas kering?,” soalnya.

Antara yang paling teruk menerima kesan ialah rumah pangsa empat tingkat Taman Taha di Mentakab.

Ketua Blok B perumahan berkenaan Masri Samah, 40, (kanan) yang juga turut hadir berkata, ketiadaan air membawa masalah besar kepada yang mempunyai anak-anak kecil dan orang tua.

“Bayangkan anak-anak sekolah baju tak berbasuh dan pakaian bayi yang berlambak-lambak. Pulak tu kerap sangat berlaku masalah air di sini sehingga kadang-kadang makan masa seminggu.

“Bila bil air tak bayar surat merah sampai, cepat-cepat bekalan air dipotong dan bila nak sambung kena bayar RM120. Tapi sekarang apabila bekalan air paip terputus berlarutan lima hari tidak ada pegawai atau orang besar yang nak tengok kami.

“Bila kami telefon pejabat minta hantar lori tangki air mereka kata lori tak cukup,” keluhnya.

Menurutnya dalam tempoh terputus bekalan air kali ini ada beliau mendengar lori tangki menghantar air sekali tetapi pada waktu tengah malam dan kebanyakan penduduk sedang tidur.

Tidak perlu 7 hari, hari ini boleh - Mahfuz


KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar bertegas tidak akan meminta maaf kepada Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) berikutan kenyataannya bahawa kumpulan itu membaling kasut ke dalam masjid.

(Aksi segolongan aktivis yang dikatakan ahli Perkasa di Masjid Al - Hussain baru-baru ini)

Beliau berkata demikian setelah diberitahu bahawa Perkasa memberi tempoh selama tujuh hari kepadanya untuk meminta maaf berikutan kenyataannya bahawa kumpulan itu membaling kasut ke dalam masjid ketika serangan mereka ke atas Masjid Al-Hussain, Seberang Pumpong, Alor Setar baru-baru ini.

"Saya tidak perlu meminta maaf atas perbuatan yang memang dilakukan oleh Perkasa.

"Apa yang saya nyatakan memang berasas dan saya ada saksi-saksi," tegas Mahfuz (gambar).

Beliau juga berkata, Perkasa tidak perlu tunggu tujuh hari untuk mengambil tindakan undang-undang ke atasnya.

"Apa perlu tunggu begitu lama? Hari ini juga Perkasa boleh failkan kes mereka ke mahkamah.

"Mereka banyak duit dan mereka tidak ada masalah untuk melakukan perkara itu," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Mahfuz sebelum ini menegaskan, tidak ada gambar dan tidak ada rakaman yang disiarkan dalam Youtube tidak boleh menjadi bukti bahawa peristiwa itu tidak berlaku kerana ramai yang menyaksikan kasut dibaling ke dalam rumah Allah itu ketika serangan Perkasa ke atas masjid itu.

"Kalau tak ada rakaman sekalipun, kenyataan saksi-saksi juga diiktiraf oleh undang-undang," kata Mahfuz sambil mengulangi penegasan bahawa beliau tidak akan meminta maaf kepada Perkasa.

Ketua Perkasa Kota Setar, Datuk Mohd Yusof Ismail(gambar) sebelum itu memberi tempoh selama tujuh hari kepada Mahfuz untuk meminta maaf berikutan kenyataanya bahawa Perkasa membaling kasut ke dalam masjid tersebut.

Beliau juga menuntut tiga akhbar termasuk Harakah menarik balik laporan mengenai perbuatan itu.

Mohd Yusof yang juga Naib Ketua Umno Bahagian Alor Setar berkata, tindakan undang-undang akan diambil terhadap Mahfuz dan tiga akhbar berkenaan jika mereka enggan berbuat demikian.

Beliau mengulangi dakwaannya sebelum ini kononnya apa yang dinyatakan itu tidak berasas sama sekali semata-mata kerana tidak ada rakaman video yang menunjukkan perbuatan membaling kasut itu berlaku.