Monday, February 8, 2010

Zulkifli Noordin Berkempen...

Apabila TV3 menjemput YB Zul Kulim menjadi tetamunya dalam segmen 'Soal Jawab' malam tadi (Isnin 10.00 malam), saya tertanya-tanya mengapa Zul yang dijemput? Dia bukan kepimpinan tertinggi PKR, dia cuma seorang Ahli Parlimen yang kebetulan agak celupar. Apakah keceluparannya itu yang barangkali menarik perhatian TV3 untuk menjemput Zul menjadi tetamunya, kerana ia boleh dipergunakan untuk kepentingan pihak-pihak tertentu?

Mungkin mereka berharap Zul akan menggunakan keceluparannya dalam wawancara itu untuk menghentam kepimpinan PKR dan PR. Dan esok media pro-BN yang sedang ternganga mulutnya untuk menggigit PR akan menulis, "Zul bidas PKR" atau "Zul bidas Anwar" atau "Zul bidas PAS" atau...atau. ..dan lain-lain. Mungkin itu sebabnya?

Tapi ia tidak jadi seperti itu ketika wawancara selama satu jam berlangsung. Memang Zul pandai main strategi. Dia tidak bidas kepimpinan PKR dan Pas secara terus terang dalam wawancara itu. Sebaliknya dia puji Anwar melangit dalam wawancara satu jam itu sebagai seorang yang suka berterus terang, menyokong perjuangan Islam dan kalau tegur Anwar tegur secara berdepan ..bla..bla..

Zul tahu ramai mata yang menonton wawancara itu. Dia menggunakan peluang untuk menonjolkan dirinya sebagai pejuang Islam yang tidak berkrompomi dengan mana-mana pihak, walaupun dengan partinya sendiri. Zul juga meminta PKR, Pas dan Umno duduk semeja membincangkan masalah orang Islam yang menjadi majoriti di negara ini. Katanya Murshidul Am dan Presiden Pas sudah menghulur tangan dan Umno tidak wajar berburuk sangka lagi dengan Pas.

Dalam cuba mengelak untuk mengutuk PKR, akhirnya dia terperangkap juga dengan soalan hos Datuk Ahmad A.Talib apabila Zul tidak menafikan mungkin akan keluar dari PKR jika pendiriannya tentang Islam tidak selari dengan pendirian kepimpinan PKR. Apabila ditanya, parti mana yang dia pilih jika keluar PKR, dia menjawab ia soalan spekulatif yang cuma boleh dijawab bila tiba saatnya kelak.


Tapi apa yang ditunggu-tunggu oleh TV3 untuk dijadikan juadah bagi hidangan tajuk berita pagi esok akhirnya tiba juga. Apabila Ahmad A.Talib meminta komen Zul mengenai "krisis PR di Pulau Pinang", maka Zul pun menggunakan kesempatan itu untuk menghentam DAP sepuas hatinya. Zul berkata semua masalah dalam PR hari ini adalah berpunca dari DAP. ADUN Lunas keluar PKR adalah kerana DAP, Perak jatuh ke tangan BN juga kerana DAP dan ribut dalam cawan yang melanda kerajaan PR di Selangor juga adalah kerana DAP. Dan akhirnya Zul memberi cadangan paling radikal untuk difikirkan oleh kepimpinan PKR dan Pas: keluarkan saja DAP dari PR!!

Walaupun banyak menghentam DAP, tapi sempatlah juga si-Zul ni bagi sebiji peluru menembak Umno, tapi sikit saja....Dia kata dia tidak mahu jadi seperti Umno yang hanya bertindak membela Islam untuk kepentingan politik, sedangkan ketika Mufti Selangor (Datuk Ishak Baharom) dipecat dahulu, Umno tidak bertindak apa-apa.

Agak-agak hasil wawancara dengan Zul di TV3 ini akan keluar atau tidak dalam media kita pagi-pagi hari ini (Selasa)? Mungkin tidak keluar dalam media, tapi kemungkinan lebih besar akan keluar, kerana ada sesuatu dalam kenyataan Zul dalam wawancara itu yang menguntungkan BN. Jika keluar tajuknya bukan "Zul puji Anwar" atau "Zul saran PKR, Pas dan Umno duduk semeja" atau "Zul bidas Umno hipokrit tidak bela Ishak Baharom".

Yang mungkin media kita akan tulis ialah "Zul bidas DAP", "Zul: DAP dah tunjuk belang" atau "Zul: Tendang DAP keluar dari PR!"

No comments:

Post a Comment