Thursday, March 4, 2010

Serbuan Israel ditangguh kerana Facebook


SEORANG anggota keselamatan Israel mengawal kerja-kerja pembinaan halangan di Beit Jala, Tebing Barat semalam.


BAITULMUQADDIS - Seorang askar Israel digantung tugas selepas didapati mendedahkan maklumat terperinci mengenai satu serbuan pasukan itu di Palestin menerusi laman rangkaian sosial Facebook, lapor sebuah stesen radio Israel semalam.
Askar tersebut dari unit artileri Israel dilaporkan mengemas kini halaman dirinya itu dengan memberitahu semua rakannya bahawa dia akan terlibat dalam satu operasi di Qatanna semalam dan dijangka kembali ke rumah pada hari ini.
Beberapa askar lain dari unit itu yang menyedari kiriman mesej tersebut segera memaklumkan perkara itu kepada pegawai mereka dengan menyebabkan operasi di perkampungan Palestin dekat Ramallah itu terpaksa dibatalkan.
Halaman Facebook milik askar itu juga didapati mengandungi banyak maklumat terperinci mengenai unit tempat dia sedang bekerja selain waktu dan lokasi tepat berhubung operasi yang dilakukan di Qatanna dalam wilayah Tebing Barat, Palestin.
Tentera Israel belum mengeluarkan sebarang ulasan manakala maklumat diri askar itu tidak dinyatakan.
Namun, sebuah stesen radio tentera Israel melaporkan, askar tersebut tidak menyukai perkhidmatannya di unit berkenaan.
Ekoran kes itu, dia digantung daripada berkhidmat di unit tersebut. - AFP

No comments:

Post a Comment