Sunday, August 15, 2010

Bela Melayu Pulau Pinang dalam kerangka kerajaan Negeri

PULAU PINANG, 15 Ogos: Orang Melayu Pulau Pinang mesti dibela dalam kerangka kerajaan bukan kerangka pembangkang, kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Mujahid Yusof Rawa.
Jelasnya, menjadi lebih mudah seandainya segala masalah yang selama ini sukar diselesaikan diatasi dengan mengadakan perbincangan dalam Majlis Pakatan Rakyat atau terus ke pejabat Ketua Menteri.
"Orang Melayu kena dibela di Pulau Pinang jangan biarkan mereka hilang pedoman yang akhirnya kucar kacir dan tidak menentu. PAS pula ada kemampuan sekarang memandangkan kita berada dalam kerajaan walaupun satu kerusi," tegasnya ketika merasmikan Munaqasah Ucapan Dasar Presiden PAS di Kompleks An-Nahdoh, Penanti tengah hari tadi.
Menurutnya, melalui kerangka dalam kerajaan banyak isu yang membabitkan orang Melayu diselamatkan antaranya berjaya memberhentikan sementara projek untuk memberikan ruang perbincangan antara penduduk dan pemaju.
“Satu lagi kejayaan ialah dapat menyatukan dua pihak yang selama ini tidak pernah duduk semeja semata-mata kerana latar belakang politik.
“Ketiga ialah pertemuan dengan Ketua Menteri dan beliau sebagai ketua kerajaan setuju untuk menyelesaikan masalah yang membabitkan perkampungan Melayu atau meletakan dasar pembangunan yang menguntungkan orang Melayu sendiri," jelasnya.
Katanya, antara kejayaan sepanjang berada dalam Pakatan Rakyat ialah orang Melayu memperolehi tanah perkuburan di Jelutong apabila dua seksyen dikemukakan.
"Jangan melayan suara sumbang yang boleh merencatkan pergerakan kita untuk menang tetapi bersama membantu meningkatkan kefahaman bahawa sebuah kerajaan memerlukan berbagai pendekatan, bukan cara lama yang boleh merosakan parti," tambahnya dalam program anjuran Lajnah Penerangan PAS Negeri Pulau Pinang.
Program yang dihadiri oleh Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub itu juga menyarankan agar merapatkan hubungan antara parti gabungan dalam Pakatan Rakyat supaya lebih menyerlah pada pilihanraya umum ke 13 kelak.
PAS, kata Ahli Parlimen Parit Buntar itu, mesti memainkan peranan lebih agresif kerana Umno bukan lagi dahan untuk orang Melayu bertaut.
"Bagi merealisasikan keadaan itu, PAS kena ke hadapan kerana tanpa penglibatan PAS sukar untuk kita mengharapkan kemenangan," katanya yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri.

No comments:

Post a Comment