Wednesday, September 1, 2010

Apakah kita sudah benar-benar merdeka?


Assalammu'alaikum dan salam sejahtera....

Tanggal 31 Osos 1957, 1 Malaysia tahu dan menyambut Hari Kemerdekaan dengan pelbagai cara. Pemimpin dengan cara pemimpin, rakyat dengan cara rakyat, remaja dengan cara remaja manakala kanak-kanak pula sudah pasti teruja dan seronok dengan letupan bunga api.


Namun begitu, jika menonton di media arus perdana, Media pro BN mereka sering utarakan mengapa sambutan Kemerdekaan seolah-olah begitu hambar, terlalu sedikit kenderaan yang sanggup memasang bendera Malaysia. Begitu juga di pejabat-pejabat mahupun di rumah-rumah.

Mungkinkah rakyat sudah bosan dengan kerajaan BN yang ada dan sudah bersedia untuk menukar kerajaan pusat pada PRU13?

Mungkinkah juga rakyat sudah sedar bahawa terlalu banyak kes rasuah yang melibatkan pemimpin tertinggi UMNO dan BN menyebabkan rakyat tidak mahu menyambut kemerdekaan?


Mungkinkah rakyat juga sudah bosan dengan media arus perdana yang memang tidak pernah merdeka kerana masih menyampaikan berita yang berat sebelah? Pendek kata semuanya baik dan elok buat UMNO dan BN tetapi semuanya busuk dan buruk buat Pakatan Rakyat.

Sebagai seorang politikus pro Pakatan Rakyat sudah pasti itulah jawapannya. Namun sharpshooter ingin fokus lebih jauh daripada jawapan politik.

Walaupun dikatakan negara telah mencapai 53 tahun merdeka, sehingga kini kita dapat melihat penjajahan minda masih berterusan dan dominan dalam pemikiran anak-anak muda. Tidak hairanlah kalau kita melihat anak-anak muda berpeluk, bercium ditempat-tempat terbuka dan khalayak ramai, berpesta dengan minuman keras dan bercampur antara lelaki dan perempuan, samseng jalanan dan sebagainya.

Apakah ini dikatakan “kebebasan” atau “kemerdekaan” ? Kemerdekaan yang boleh merosakkan diri, agama, masyarakat dan negara. Tidak sayukah hati kita melihat kegilaan ini ? Yes. Negara Merdeka !! Tetapi anak-anak muda (bukan semua) HANCUR!!! Erti kemerdekaan bagi generasi muda kini sebenarnya sudah luntur dan lusuh di jiwa mereka serta tidak dihargai lagi.

Ini terbukti apabila berlakunya kes-kes jenayah yang membabitkan golongan ini sepertimana disebut di atas. Apa yang mereka tahu pada 31 Ogos setiap tahun adalah cuti umum kemerdekaan.


Kemerdekaan menurut Islam ditakrifkan apabila seseorang, sesuatu bangsa atau umat mendapat kemerdekaan daripada penjajahan dalam segala bentuk, baik penjajahan lahir atau batin.

Umat yang merdeka, mereka dapat berfikir dengan bebas apa yang baik dilakukan untuk diri, bangsa atau untuk kepentingan umat seluruhnya tanpa khuatir kepada makhluk yang menghalangi, tiada yang ditakuti kecuali Allah SWT dan segala tindakannya berpandukan al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad SAW.

Di zaman teknologi ini, penjajahan datang dalam pelbagai warna, bentuk dan saiz walaupun sebelum ini mereka datang dengan kapal dan senjata. Sekarang mereka masuk menerusi wayar kuprum, fiber optik serta satelit dan dengan adanya globalisasi dan dunia tanpa sempadan, lebih mudah untuk mereka mempengaruhi dan mengawal kuasa politik, ekonomi dan sistem sosial kita.
Oleh itu marilah kita menghayati kemerdekaan yang sebenar menurut Islam sepertimana yang terkandung di dalam kata-kata Rub’ie bin A’mir ketika bertemu panglima tentera rom yang bernama Rustum:

Maksudnya: Allah mengutuskan kami (orang-orang islam), untuk kami merdekakan manusia, daripada mengabdikan diri sesama manusia kepada mengabdikan diri kepada Allah, daripada kezaliman agama kepada keadilan Islam dan daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat.

Rub’ie bin Amir menyimpulkan kefahaman Islam yang diperolehinya daripada pentarbiyahan Nabi SAW bahawa penjajahan bukan sahaja boleh berlaku melalui penguasaan bangsa asing terhadap sesuatu kaum, tetapi ia juga boleh berlaku melalui penguasaan bangsa sendiri.
Jika kemerdekaan bererti kebebasan daripada penguasaan bangsa asing, kenapa Rasulullah saw berjuang membebaskan diri dan manusia daripada kekuasaan musyrikin Makkah yang sebangsa dan seketurunan dengan nabi?
Ini bermakna: kemerdekaan yang sebenar ialah:
Memerdekakan manusia daripada perhambaan sesama manusia sama ada:
  • Bebas bersuara, pemilikan, bertindak, bermuamalah dan seumpamanya.
  • Kebebasan tadi mestilah dibatasi oleh hukum Allah SWT bagi memastikan tiada ruang untuk penjajahan melalui sistem dan undang-undang ciptaan manusia.
Memerdekakan manusia daripada ikatan agama yang direka oleh manusia samada:
  • Agama yang dicipta oleh manusia yang dijadikan sembahan, fahaman dan anutan.
  • Agama yang diturunkan oleh Allah tetapi ditafsirkan mengikut akal tanpa kaedah yang dibenarkan oleh Syariat.
Membebaskan manusia daripada dibelenggu oleh matlamat dunia yang sempit melalui:
  • Menyedarkan manusia bahawa dunia adalah sementara yang menjadi tempat persinggahan.
  • Menjadikan manusia bekerja di dunia untuk akhirat yang merupakan kehidupan yang sebenar.
Justeru itu, kemerdekaan yang sebenar ialah membebaskan jasad dan material daripada penjajahan manusia dan membebaskan akal fikiran serta mentaliti daripada dibelenggu oleh doktrin-dokrin yang bercanggah dengan Islam. Wallahu ‘Alam…

No comments:

Post a Comment