Helwa Abim berpandangan bahawa isu penjagaan aurat dan hijab adalah vital sekiranya masyarakat mahu membicarakan tentang fesyen Islam.
“Justeru, Helwa Abim merasa sangat kecewa dan terkilan dengan interpretasi fesyen Islam yang gagal dihayati dan difahami secara keseluruhannya, khususnya menyentuh isu penjagaan aurat yang menjadi elemen terpenting dalam penghayatan Islam secara keseluruhannya,” ujar Naib Presiden Helwa Abim, Fadhlina Siddiq dalam kenyataan kepada Harakahdaily.
Malah, katanya apa yang dipotretkan kepada masyarakat sewaktu penganjuran Islamic Fashion Festival itu nyata jauh tersasar dan mengelirukan masyarakat Islam sendiri malah serta merupakan unsur-unsur penghinaan terhadap Islam dengan jelas.
Tegasnya, menutup aurat dan hijab adalah lambang wanita Islam yang hadir dengan esensi murni yang signifikan untuk memelihara kehormatan, maruah dan melambangkan akhlaq seorang wanita Islam.
Tambahnya, aa bukan pakaian bermusim untuk pesta-pestaan serta bukan pakaian untuk melambangkan siapa yang lebih Islamik.
“Bahkan ia juga bukan interpretasi bahawa inilah pakaian Islam yang sebenar mengikut pandangan peribadi sesiapapun,” ujarnya.
Jelasnya lagi, anjuran menutup aurat bukan untuk pesta-pestaan semata-mata kerana ia adalah anjuran ketegasan wahyu dan perintah yang tuntas demi menjaga kehormatan dan maruah seorang wanita Islam sebagaimana yang terkandung di dalam al-Quran.
Beliau memetik maksud ayat Surah an-Nur ayat 31 yang bermaksud: Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman, supaya menahan pandangan mereka (daripada memandang perkara-perkara yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya. Dan mereka perlu melabuhkan kain tudung mereka ke dadanya.
Begitu juga dengan firman Allah SWT di dalam Surah al- Ahzab, ayat 59 yang bermaksud: Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman supaya mereka melabuhkan pakaian bagi menutup seluruh tubuhnya.
“Andai wanita Islam jelas tentang konsep dan anjuran syariat tentang kewajipan menutup aurat, tidak timbul soal fesyen Islam yang berterusan mahu dipesta-pestakan sedangkan ia jelas bertentangan dengan syariat dan sama sekali terpesong dari fahaman esensi kepentingan menutup aurat yang sebenar,” katanya lagi.
Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor adalah penaung festival tersebut.
Sementara itu, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) menyatakan rasa kesal dengan penganjuran Festival Busana Muslim itu yang jelas menghina syariat Islam dan Rasulullah s.a.w.
Menurut Ketua Penerangan Gamis Pusat, Mohd Yusof Hadhari Saidon, pastinya pemikiran sempit itu semakin mencelarukan kefahaman muda-mudi terhadap Islam itu sendiri sehinggakan terdapat pemikiran Islam ala pemerintah Malaysia sekarang dan yang dituntut di dalam Al-Quran.
Justeru, Gamis mempersoalkan ke mana perginya badan-badan agama dan NGO Islam yang sebelum ini lantang dalam forum perdana menghuraikan kewajipan berpakaian seperti termaktub di dalam Surah An-Nur, ayat 31.
Katanya, perkataan "Muhammad" dalam tulisan Arab secara terbalik diguna dan dipakai di dada salah seorang peraga fesyen yang tidak menutup aurat adalah suatu penghinaan yang amat jijik dilemparkan kepada Islam.
Tegasnya, Gamis mengecam sekeras-kerasnya tindakan Rosmah yang didapati menghina syariat Islam dan Nabi Muhammad s.a.w. apabila salah satu fesyen mereka melukis nama Nabi dalam keadaan pakaian itu jelas mendedahkan sebahagian besar aurat mereka.
Tambahnya, sangat mendukacitakan jika rakyat Malaysia khususnya umat Islam masih tidak tersedar dan sensitif akan isu itu.
“Dulu umat Islam sangat sensetif terhadap isu murtad, kita juga berarak bantah kartun Nabi yang dibuat di Denmark. Kita juga tidak terlepas menyertai perarakan Maulidur Rasul, menyatakan sayangnya kita kepada Rasulullah, tetapi ini juga satu bentuk penghinaan terhadap Rasulullah, dan kita perlu bantah serta bertegas dengan mereka yang menganjurkannya," tegasnya.
Sehubungan itu, katanya Gamis memuji tindakan pertubuhan tertentu yang akan mengadakan himpunan aman pada hari ini sebagai membantah tindakan penganjuran festival itu.
Sehubungan itu, katanya Gamis meminta anak muda dan Gamis negeri supaya turut sama turun menyatakan bantahan terhadap kemungkaran dan kemaksiatan terhadap Allah serta pengkhianatan ke atas muslimah seluruhnya di samping bersama menyedarkan masyarakat akan kepentingan kembali kepada Islam yang sebenar.
No comments:
Post a Comment