Friday, October 22, 2010

Najib macam yakin berlaku rampasan kuasa



Kenyataan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak Najib bahawa akan pertahan Putrajaya walau terpaksa hilang nyawa seolah-olah yakin akan berlaku rampasan kuasa secara keganasan.
Biarpun Najib tidak menyebut mahu mempertahankan Putrajaya dari dirampas pihak mana, namun dipercayai ditujukan kepada Pakatan Rakyat.
Ini kerana Pakatan Rakyat sejak tsunami politik 2008, telah meletakkan sasaran mahu menguasai Putrajaya menggantikan kerajaan BN.
Menurut Pengarah Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS Pusat, Mohd Firdaus Jaafar, kenyataan Perdana Menteri itu juga seolah-olah tidak faham amalan demokrasi di negara ini.
"Najib masih tak faham demokrasi, PR nak kuasai Putrajaya bukan dengan rampasan kuasa. Kita guna saluran pilihan raya, dengan rakyat yang tentukan.
"Mungkin juga dia lupa, yang merampas kuasa secara ganas ni Umno BN. Merekalah yang merampas Perak dari Pakatan Rakyat," katanya kepada Harakahdaily.
Najib ketika menyampaikan ucapan dasar presiden di Perhimpunan Agung Umno berkata, Umno perlu mempertahan Putrajaya dari pihak yang mahu merampasnya biarpun terpaksa hilang nyawa.
Firdaus bagaimanpun turut mempersoal niat Najib di sebalik berkata begitu, atau mungkin mempunyai agenda politik tersembunyi.
"Adakah dia cuba menggambarkan bahawa Pakatan Rakyat ini perampas kuasa secara ganas?" soalnya.
Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan, kenyataan tersebut dilontar Najib hasil daripada perasaan takut melihat sokongan rakyat terhadap Pakatan Rakyat.
Tambahnya lagi, ianya juga mungkin menggambarkan Umno tidak boleh menerima jika Pakatan Rakyat benar-benar dapat menguasai Putrajaya.
"Atau Najib mahu ahli Umno bertindak ganas pada Pakatan Rakyat jika dapat menguasai Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti," katanya.
Bagaimanapun tegasnya, Pakatan Rakyat tetap bertekad dan sedang berusaha untuk menguasai Putrajaya, dengan sokongan padu rakyat negara ini.
Sementara itu, Presiden PKR, Datin Sri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam satu kenyataan mahu Najib memohon maaf dan menarik balik kenyataan tersebut yang disifatkan sebagai anti-demokrasi.

"Saya mewakili pimpinan dan anggota KEADILAN mendesak agar Presiden Umno menarik semula kenyataan beliau yang jelas sekali berniat jahat dan bersifat anti-demokrasi.

"KEADILAN juga menuntut supaya Datuk Sri Najib memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia dan memberi jaminan bahawa sekiranya perubahan Kerajaan Persekutuan benar-benar berlaku dalam Pilihan Raya Umum akan datang, maka Umno BN akan menyerahkan kuasa secara terhormat dan dalam suasana yang aman dan harmoni," katanya.

No comments:

Post a Comment