Saturday, October 30, 2010

SU Agung: Mengundi lancar kecuali dua cabang PKR di Kelantan


Saifuddin berkata undian hari ini dilaksanakan tanpa masalah. — gambar fail
Sekretariat Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengakui kertas-kertas undi lewat sampai di beberapa cabang di Kelantan pada hari pertama pengundian pemilihan langsung sulung, sebagaimana didakwa oleh ejen calon jawatan timbalan presiden Datuk Zaid Ibrahim tengah hari tadi.
Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata, keadaan itu telah melewatkan sedikit permulaan proses pengundian yang sepatutnya dimulakan pada pukul 10 pagi.
“Walau bagaimanapun masa pengundian telah dilanjutkan satu jam sehingga 5 petang bagi membolehkan anggota-anggota parti melaksanakan hak demokrasi mereka dalam kaedah pemilihan satu anggota-satu undi ini,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan malam ini.
Menurut Saifuddin lagi, pada keseluruhannya pengundian hari pertama hari ini telah dapat dilaksanakan dengan baik tanpa sebarang permasalahan.
Kenyataan itu menjawab laporan bahawa proses pengundian pada hari pertama pemilihan parti hari ini menyaksikan empat daripada  sembilan cabang berhadapan dengan masalah teknikal dan pentadbiran.
Difahamkan proses pengundian di empat cabang berkenaan masing-masing dua di Kelantan dan dua Kedah lewat dimulakan ekoran masalah kelewatan kertas undi tiba dan pusat-pusat pengundian dibuka.
Menurut ejen yang mewakili Zaid meminta proses pemilihan ditangguhkan sehingga sekretariat pemilihan benar-benar bersedia untuk mengadakan pemilihan — di bawah sistem yang mencipta sejarah.
“Kami khuatir dengan cara pemilihan Parti Keadilan Rakyat dikendalikan oleh Jawatankuasa Pemilihan Pusat dan sekretariat parti,” kata ejen Zaid, Rashid Azad Khan dan pembantu politiknya Muhammad Firdaus Christopher dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Pemilihan peringkat pusat bermula hari ini dengan memperlihatkan sembilan cabang di Kedah dan Kelantan mengadakan  pengundian bagi 12 kerusi jawatan-jawatan utama dan 60 kerusi ahli majlis pimpinan pusat dan ahli majlis pimpinan sayap Wanita dan Angkatan Muda Keadilan masing-masing.
Menurut Saifuddin, sembilan cabang itu ialah Tumpat, Kota Baru, Rantau Panjang dan Pasir Mas di Kelantan sementara di Kedah pula Alor Setar, Langkawi, Pokok Sena, Kuala Kedah dan Kubang Pasu.
Bagaimanapun satu sumber memberitahu pengundian di cabang Pasir Mas ditangguhkan ekoran isu logistik.
“Pemilihan peringkat pusat akan diadakan di 222 lokasi cabang-cabang di seluruh negara dan akan dijalankan pada 10 hari mengundi hujung minggu sehingga tarikh 21 November 2010 nanti,” katanya.
Mengenai kedudukan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat pula, kata Saifuddin, Dr Molly Cheah masih lagi merupakan ketuanya.
Jelas beliau, jawatankuasa bebas yang ditubuhkan khusus untuk mengawal selia hal ehwal pemilihan sememangnya terlibat secara langsung untuk menyemak dan menyediakan tatacara proses pemilihan berpandukan beberapa kelemahan yang dikenal pasti sewaktu pemilihan peringkat cabang melalui jawatankuasa kecil teknikal yang dianggotai oleh antaranya Rajen Devaraj, Wong Hoy Cheong dan Stephanie Bastian.

No comments:

Post a Comment