Di sebalik spekulasi pilihan raya tergempar awal tahun depan dan usaha memulihkan keyakinan pengundi selepas Mac 2008, Barisan Nasional (BN) hari ini menerima beberapa pindaan, antaranya menerima anggota-anggota langsung dengan serta-merta.
Ia pindaan paling besar sejak BN ditubuhkan pada awal 1970-an bagi menggantikan Perikatan dengan lebih banyak keanggotaan.
BN, buat kali pertama dalam sejarah, kehilangan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat dan lima negeri pada pilihan raya umum 2008. Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak berkata, Dewan Tertinggi yang mengadakan mesyuarat pagi ini meluluskan langkah menerima anggota-anggota langsung, sistem yang mirip diguna pakai oleh Perikatan awal 1970-an.
BN memperluaskan keanggotaan pada 1974 dengan menukar nama asalnya Perikatan. Najib berkata BN akan memaklumkan perubahan itu kepada Pendaftar Pertubuhan. Najib yang juga perdana menteri berkata Datuk Seri S. Samy Vellu menghadiri mesyuarat hari ini selaku presiden MIC buat kali terakhir.
Presiden MIC paling lama itu akan melepaskan jawatannya awal Januari ini. Pindaan-pindaan lain yang diterima hari ini ialah membolehkan ahli-ahli politik yang tidak memihak mana-mana parti boleh menyertai BN sebagai anggota bersekutu.
Selain itu, BN juga akan menubuhkan kelab Rakan Muda BN bagi menarik penyokong berusia antara 18 dan 21 tahun.
“Anggota-anggota langsung tidak akan mempunyai hak mengundi sebagai parti komponen tetapi kami mahu melihat BN sebagai sebuah parti yang inklusif,” kata Najib.
Najib, yang juga Presiden Umno berkata, ahli parti komponen yang keluar parti masing-masing tidak akan dibenarkan menyertai BN sebagai anggota langsung.
“Sebagai contoh Datuk Samy Vellu,” kata Najib secara berseloroh. Najib juga berkata peraturan baru itu akan dibentangkan pada konvensyennya hujung minggu depan.
No comments:
Post a Comment