Thursday, November 11, 2010

Pegawai forensik sebak ceritakan kedudukan mayat Aminulrasyid

Perbicaraan kes kematian Aminulrasyid Amzah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini hening seketika apabila seorang pegawai polis dari unit forensik sebak ketika memberitahu mahkamah mengenai kedudukan mayat mangsa apabila beliau tiba di tempat kejadian pada 26 April lepas.
Terdahulu, Cif Ins. Mazli Jusoh @ Che Kob dari Unit Forensik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor yang merupakan penyiasat tempat kejadian memberitahu mahkamah bahawa beliau melihat mayat mangsa dalam keadaan tertiarap dengan mukanya tersembam pada tempat duduk pemandu manakala badannya berada di luar kereta Proton Iswara Aeroback berwarna putih.
Ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar, Mazli berkata beliau dimaklumkan oleh pegawai penyiasat asal ASP Ahmad Fauzi Mohamed Zin bahawa mayat mangsa telah dialihkan oleh anggota MPV polis dan kemudian telah diperiksa oleh pihak ambulans.
“Pada pendapat saya kedudukan mayat telah dialih daripada kedudukan asalnya dan mayat pada masa itu dalam keadaan kedudukan yang begitu menyedihkan. Bagi saya cara itu...,” kata Mazli sebelum beliau tiba-tiba terdiam dan menundukkan wajahnya.
Saksi ke-25 pendakwaan itu kemudian dengan sebak memohon kepada Hakim Latifah Mohd Tahar agar memberikan beliau masa selama lima minit untuk menenangkan dirinya sebelum terus berdiri dan berjalan keluar dari kamar mahkamah dengan matanya yang kelihatan agak kemerahan dan berair.
Latifah seterusnya menangguhkan seketika prosiding perbicaraan berikutan permohonan Mazli itu.
Mazli memberi keterangan pada perbicaraan anggota polis Koperal Jenain, 48, yang didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid, 15, di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11 di sini, antara pukul 1.10 pagi dan 2 pagi, pada 26 April lepas.
Pertuduhan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan itu membawa hukuman maksimum penjara 30 tahun, dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Aminulrasyid disahkan meninggal dunia akibat luka tembakan di kepalanya.
Menyambung keterangannya, Mazli berkata beliau memutuskan untuk meletakkan mayat mangsa dalam keadaan lebih baik iaitu dengan membaringkannya di atas tanah yang berumput kerana siasatan beliau di tempat kejadian mungkin akan mengambil masa agak lama.
Ditanya Mohd Dusuki sama ada beliau ada mengambil gambar mayat mangsa, saksi itu berkata beliau terlupa untuk berbuat demikian.
Mazli berkata beliau kemudian membuat pemeriksaan dan penandaan pada kesan-kesan tembakan dan barangan yang dijumpai pada kereta bernombor pendaftaran BET 5023 itu termasuk sebilah parang serta mengambil kesan tumpahan cecair disyaki petrol.
Saksi itu berkata berdasarkan kesan petrol yang ditemui di tempat kejadian, beliau mendapati kereta itu dipandu laju dan bergerak dengan lurus sebelum melanggar sebatang pokok menyebabkan kereta itu berubah sedikit arahnya menghala ke tembok dinding rumah No: 2 di Jalan Makyong 11/2G.
Kereta itu kemudian melanggar tong sampah plastik depan tembok tersebut sehingga kereta itu berhenti.
Seterusnya Mazli berkata pada 28 April lepas (dua hari selepas kejadian) beliau telah diminta oleh pegawai penyiasat ASP Abd Halim Ismail (pegawai penyiasat yang menggantikan Ahmad Fauzi) untuk merakam gambar keseluruhan kereta tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.
Beliau juga merakam gambar tempat kejadian bagi melihat kesan-kesan tanah yang dikatakan kereta itu kemungkinan cuba untuk mengundur semasa kejadian.
“Saya dapati tidak ada kesan tanah yang terhasil akibat daripada tayar berpusing. Di tepi longkang berhampiran tayar kiri yang tergantung (semasa kejadian) juga tidak ada kesan tayar bergesel dengan permukaan kasar.
“Pada pendapat saya kesan-kesan tanah berlaku lebih kepada apabila kereta terbabas dan kemudian ditarik keluar dari tempat kejadian,” katanya.
Ditanya Mohd Dusuki mengapa beliau tidak menjalankan pemeriksaan secara menyeluruh pada hari kejadian, Mazli berkata pada permulaan beliau menerima taklimat daripada Ahmad Fauzi bahawa mangsa ditembak semasa cuba mengundur setelah terbabas ketika dikejar oleh polis, maka siasatan pihaknya adalah lebih terarah kepada kawasan tempat kejadian kereta terbabas.
Ditanya mengapa beliau mengambil masa lewat dua hari untuk menjalankan pemeriksaan semula di tempat kejadian, saksi itu berkata pihaknya menjalankan siasatan lanjut pada 28 April apabila diminta pegawai penyiasat.
Mengenai keadaan kereta tersebut ketika beliau menjalankan pemeriksaan keseluruhan, Mazli berkata kereta itu diletak di tempat letak kereta awam di IPD Shah Alam tanpa sebarang garisan polis.
“Kebiasaannya barang kes untuk buat pemeriksaan tidak diganggu oleh eksibit lain. Pegawai penyiasat akan memasang garisan polis jadi anggota polis lain yang tiada kaitan dengan kes akan faham bahawa kereta itu tidak boleh dihampiri atau diganggu.
“Kalau tiada garisan polis kemungkinan ada anggota polis lain atau orang awam boleh menghampirinya,” katanya.
Mazli seterusnya berkata pada tarikh yang sama (28 April) pihaknya turut diminta oleh pegawai penyiasat untuk mencari kelongsong peluru dan serpihan anak peluru bermula dari Bulatan Kayangan, Seksyen 11 sehingga ke tempat kejadian bagi mengetahui dari mana tembakan dilepaskan berikutan terdapat dua anggota polis yang telah melepaskan tembakan dalam kes itu.
Saksi itu berkata daripada pemeriksaan di kawasan tersebut pihaknya menemui sejumlah 15 kelongsong peluru dan dua sepihan anak peluru.

No comments:

Post a Comment