Mohd Ridhuan Tee
Ketuanan Melayu sekadar istilah atau identiti menunjukkan bahawa bumi ini adalah kepunyaan orang Melayu asalnya, itu sahaja. Bacalah artikel dan pendapat siapapun, itulah rata-rata jawapannya, kecuali pandangan MCA dan sekutunya. Hanya mereka yang ultra kiasu sahaja yang memberikan jawapan sebaliknya. Apa yang saya tahu inilah adalah percubaan halus untuk menghapuskan apa juga identiti negara ini yang berkaitan dengan Melayu.
Dalam buku teks sejarah sekolah menengah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (2004), ketuanan Melayu didefinisikan sebagai semangat cinta akan apa sahaja yang berkaitan dengan bangsa Melayu seperti hak politik, bahasa, kebudayaan, warisan, adat istiadat dan tanah air. Semenanjung Tanah Melayu dianggap sebagai tanah pusaka orang Melayu. Jadi, dimanakah salahnya istilah ini? Berdasarkan kepada definisi ini jelas menunjukkan bahawa semua bangsa mempunyai ketuanan masing-masing. Bezanya cuma, ia tidak disebut sahaja ketuanan Cina atau ketuanan India, namun perjuangan dan apa yang mereka perolehi menampakkan segala.
Saya amat pelik bagaimana ada pemimpin Melayu boleh begitu anti dengan istilah tersebut walhal dulu semasa berada dalam Umno, tidak pun istilah ini diungkit atau ditentang. Malah, saya yakin jika mereka masih berada dalam Umno, istilah ini akan dipertahankan bermati-matian. Cepat sungguh mereka berubah bagi mendapatkan laba politik.
Jika perkataan tuan itulah yang menjadi masalah, maka saban hari kita adalah hamba, sebab dalam urusan rasmi dan surat-menyurat panggilan tuan atau puan sudah merangkumi semua golongan dan pangkat, sama ada yang bergelar atau tidak bergelar. Panggilan tuan sudah sebati dengan masyarakat negara ini. Selaku pensyarah di institusi akademik pertahanan, panggilan tuan adalah lumrah. Jika sedemikian elerginya panggilan tuan bermakna, saya adalah tuan setiap hari, manakala pegawai kadet adalah hamba sepanjang masa. Bila berbahasa dengan raja, kita gunakan tuanku-patik. Dahulu sesama kita menggunakan perkataan tuan-hamba. Panggilan tuan sekadar panggilan hormat, tidak ada maksud lain.
Sebab itu, saya sentiasa menyeru segelintir bukan Melayu, terutama MCA, Gerakan dan DAP, cuba memahami adat budaya Melayu daripada orang lain, kerana ia lebih membawa makna untuk masa depan negara daripada terlalu bongkak. Orang Melayu yang saya kenali begitu menghormati bukan Melayu. Kebanyakan bila mereka bercakap dengan bukan Melayu, tiba-tiba pelat atau bunyi (accent) mereka berubah seperti pelat bukan Melayu berbahasa Melayu, sehingga bahasa Melayunya menjadi caca merba.
Benar, surah al-Hujurat ayat 13, Allah menjelaskan semulia-mulia manusia berbilang bangsa di kalangan kamu adalah iman dan takwa. Tetapi manusia tetap ada bangsa yang diciptakan untuknya. Maka, ia perlu dipelihara dan dijaga. Justeru, di mana salahnya istilah ketuanan Melayu? Negara lain tidak perlu mengungkapkan istilah ketuanan kerana nama negara mereka sudah cukup mencerminkan bahawa mereka adalah tuan asal negaranya, seperti Cina, India, Vietnam, Siam, Nyanmar dan sebagainya. Tetapi tidak Malaysia. Tanah Melayu telah bertukar nama. Singapura telah bertukar kepada Singapore. Identiti Melayu telah hilang. Maka sebagai tanda identiti, istilah ini digunakan.
Apakah dengan istilah ini menimbulkan masalah kepada bangsa lain? Dengan makna, diskriminasi menjadi-jadi, orang bukan Melayu terus merempat? Apa yang kita lihat, semakin lantang Umno mahu kekalkan ketuanan Melayu, dasar Umno semakin terbuka. Umno ditekan kiri kanan, depan dan belakang, sehingga tidak dapat bernafas. Tuntutan demi tuntutan bukan Melayu terus dipenuhi dan peluang terbentang luas, sehingga orang Melayu sudah tidak mampu untuk mengejarnya.
Kenapa isu ini hendak dipolitikkan dengan mengaitkan dengan ketuanan Allah, ketuanan rakyat dan sebagainya. Sebenarnya tidak ada kaitan. Inilah akibat apabila kita melihat sesuatu bukan daripada bidang kepakaran atau sejarah. Semua mahu bercakap. Maknanya, istilah ini terdedah kepada pandangan semua orang. Sudah tentu mereka akan memilih sesuatu yang menyebelahi mereka. Kita tidak menggunakan ketuanan Allah kerana perkataan tuan itu tidak sesuai untuk Allah, maka kita gunakan Maha Esa atau Maha segalanya untuk Allah.
Justeru, raja dirujukkan sebaga Duli Yang Maha Mulia. Ia hanya satu ungkapan kemuliaan raja. Jangan pula ada yang menuduh saya syirik nanti. Sebenarnya, istilah maha ini hanya untuk Allah, tetapi disebabkan oleh budaya feudal Melayu taat dan memuliakan kepada raja, maka istilah maha itu sebenarnya merujuk kepada tuan. Justeru, ketuanan raja tidak perlu dibahaskan kerana telah diterima seperti termaktub dalam Perlembagaan.
Oleh kerana semua raja adalah kerabat keturunan Melayu sebagai identiti, maka adalah tidak salah istilah ini dipanjangkan kepada ketuanan Melayu. Orang Melayu boleh atau layak menjadi raja jika keturunan raja sudah tidak ada atau putus. Seperti di China dan di India, apabila jatuhnya institusi perajaan, maka sistem pemerintahan berubah. Raja tetap wujud cuma nama sahaja yang berbeza. Lagipun semua manusia bermula dengan manusia biasa. Istilah raja digunakan merujuk mereka yang menjadi pemimpin pada satu-satu ketika dan seterusnya diwarisi oleh keturunannya. Raja dan kerajaan sudah sinonim. Raja adalah pemerintah kerajaan. Bagi negara yang tidak mempunyai raja, maka pemimpin nombor satu dirujuk sebagai Presiden atau Perdana Menteri.
Kepada mereka yang faham sejarah, istilah ketuanan Melayu ini merujuk kepada kerajaan negara ini pernah diperintah Sultan dan Raja-Raja Melayu, yang merupakan tuan kepada Tanah Melayu. Begitu juga dengan istilah negeri-negeri bersekutu dan tidak bersekutu ada sejarahnya tersendiri yang perlu dikaji dan difahami secara tersurat dan tersirat, serta kaitannya dengan ketuanan Melayu. Pendek kata, sultan dan Raja-Raja Melayu adalah simbol kepada ketuanan Melayu di negara ini.
Sejarah membuktikan juga bahawa ketika kebangkitan nasionalisme pada tahun-tahun 1800-an dan 1900-an, hanya orang Melayu sahaja yang bangkit menentang penjajah, walaupun ketika itu Tanah Melayu sudah bermasyarakat majmuk. Melayu berjuang membebaskan tanah air daripada belenggu penjajah bukan demi kepentingan Melayu semata-mata, tetapi demi agama tercinta.
Sama juga di Mesir pada tahun 1882, muncul gerakan pemulihan Islam di Mesir untuk membangkitkan kesedaran di kalangan umat Islam bagi membela kedaulatan bangsa dan agama. Gerakan ini dipelopori oleh Sheikh Muhammad Abduh.
Pelajar-pelajar Tanah Melayu di Mesir ketika itu seperti Sheikh Mohd Tahir Jalaluddin Al-Azhari dan Syed Sheikh Al-Hadi menerima pengaruh ini dan menyebarkannya di Tanah Melayu bagi membela nasib bangsa dan agama. Keadaan tidak banyak bezanya berlaku di Indonesia. Pendek kata, tidak salah mempertahankan ketuanan bangsa selagi mana tujuan untuk menjamin kesejahteraan agama. —
* Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, merangkap Setiausaha Agong, Dewan Perdagangan Islam Malaysia
No comments:
Post a Comment