Saturday, December 25, 2010

Ketuanan UMNO : PR tak mampu naik gaji kakitangan awam

Pakatan Rakyat (PR) atau pembangkang tidak akan mampu melaksanakan kenaikan gaji kakitangan awam di negeri-negeri yang ditadbir kerana ia bakal membabitkan satu perubahan fiskal yang amat besar.
Pensyarah Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM), kampus Dungun, Terengganu, Asri Salleh berkata, ini kerana kenaikan gaji sebanyak RM500 itu bukan sahaja memakan belanja yang terlalu banyak malah mampu memberi implikasi kewangan kepada negara.
Justeru, beliau menganggap janji-janji yang ditabur oleh pakatan pembangkang yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim sekadar cakap kosong dalam usaha meraih sokongan rakyat.
"Mungkin mereka mampu memberikan bonus tahunan tetapi untuk menaikkan gaji kakitangan awam adalah amat tipis.
"Ini kerana kita perlu melihat berapa ramai kakitangan yang ada dan perbelanjaan yang terpaksa ditanggung setiap bulan bagi membayar kenaikan gaji itu.
"Malah, saya percaya, Timbalan Perdana Menteri sendiri berani membuat cabaran itu kerana sudah mengkaji implikasi dan tahu mereka tidak akan berani melakukannya," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia, di sini hari ini.
Beliau mengulas cabaran Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadap Anwar supaya menaikkan gaji sebanyak RM500 kepada kakitangan awam di negeri-negeri yang ditadbir.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, langkah itu wajar sebagai membuktikan keikhlasan kerajaan negeri di bawah pakatan pembangkang dalam membela nasib kakitangan awam dan pegawai-pegawainya.
Asri berkata, janji-janji manis pakatan pembangkang itu bukan sesuatu yang mustahil kerana mereka memang terkenal dengan sikap sedemikian.
Sedangkan, kata beliau, banyak janji yang dibuat tidak dikotakan dan dilaksanakan termasuk janji-janji manis yang ditabur pada pilihan raya umum lepas.

No comments:

Post a Comment