Wednesday, February 2, 2011

Anwar: Pupuk perpaduan negara bermula dari rumah

KUALA LUMPUR: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu seluruh rakyat Malaysia pelbagai kaum memberi tumpuan dalam usaha menjadikan negara ini selamat, sejahtera dan membangun.
Katanya, untuk mencapai kesejahteraan itu, ia hendaklah dilaksana hasil dari perkongsian dan didikan dalam institusi keluarga.
“Adalah dinasihati sepanjang Tahun Arnab ini sememangnya baik tumpuan diberi kepada keluarga, keselamatan mereka dan berusaha membangun lingkungan yang aman,” katanya dalam perutusan sempena Tahun Baru Cina.
Beliau berkata demikian merujuk kepada perayaan kaum Tionghua kali ini yang jatuh pada Tahun Arnab dan ia melambangkan tuah terhadap kestabilan, keamanan dan ketenangan kepada kaum itu.
Justeru, kata Anwar, tahun ini merupakan masa terbaik untuk rakyat Malaysia bersama-sama memupuk kemakmuran dan menggerakkan kesejahteraan bermula daripada unit asas keluarga sehinggalah kepada masyarakat.
Menurut Anwar, kesejahteraan yang akan datang ini juga harus dikongsi bersama jiran tetangga tanpa mengira warna kulit.
“Saya yakin hasrat murni iaitu memastikan keselamatan serta kesejahteraan keluarga dan lingkungan juga dikongsi bersama masyarakat Melayu, India, Iban dan Kadazan,” katanya.

No comments:

Post a Comment