Reformasi Politik Suatu Kewajipan Agama
(Fatwa Syaikh Yusuf al-Qaradhawi)
Sebagaimana lumrah diketahui bahawa mencegah kemungkaran adalah suatu kewajiban agama yang mesti dilaksanakan berdasarkan tiga tahap keupayaan. Cuma akhir-akhir ini ramai kalangan yang membicarakan tentang kemunkaran politik. Ramai yang menimbulkan soal korupsi politik atau politik wang. Adakah kemungkaran politik termasuk dalan jenis kemungkaran yang wajib ditentang? Mungkinkah yang dimaksudkan dalam hal ini ialah kemungkaran biasa seperti zina dan kejahatan minum arak? Apakah hukum orang yang berdiam diri terhadap kemungkaran politik seperti di atas?
Jawapan:
Dengan nama Allah, segala puji pujian untuk Allah. Selawat dan salam untuk Rasulullah.
Sebenarnya ruang-lingkup kemungkaran melebar sehingga mencakup banyak isu yang dianggap oleh orang sekarang sebagai isu politik. Perkataan mungkar memang bersifat umum; merangkum segala jenis kemungkaran yang berlaku dalam masyarakat. Terdapat dalam al-Quran dan Hadith penjelasan panjang lebar yang menggerunkan orang ramai tentang (hukuman Allah terhadap) sikap pasif dan duduk berdiam diri tanpa melakukan usaha membasmi kemungkaran tersebut.
Menurut Dr Yusuf al-Qaradhawi:
Penjelasan al-Quran dan hadith yang mengungkapkan tentang hukuman dan balasan terhadap golongan yang tidak bingkas menentang kemungkaran atau bersikap apathetic terhadap gejala kezaliman adalah sangat keras dan menggerunkan setiap orang yang mempunyai hati yang hidup dan mempunyai sebesar biji saga keimanan.
Al-Quran menegaskan:
لُعِنَ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ عَلَى لِسَانِ دَاوُودَ وَعِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ ذَلِكَ بِمَا عَصَوْا وَكَانُوا يَعْتَدُونَ (78) كَانُوا لَا يَتَنَاهَوْنَ عَنْ مُنْكَرٍ فَعَلُوهُ لَبِئْسَ مَا كَانُوا يَفْعَلُونَ (79)
Maksudnya:
78. Orang-orang kafir Yahudi dari Bani Israil telah dilaknat (di dalam Kitab-kitab Zabur dan Injil) melalui lidah Nabi Daud dan Nabi Isa ibni Maryam;justeru mereka menderhaka dan selalu menceroboh.
79. Mereka sering bersikap tidak melarang (satu sama lain) melakukan perbuatan yang mungkar. Sesungguhnya amat buruk sekali perbuatan yang mereka lakukan itu. (Surah al-Maidah:78-79)
Rasulullah S.‘A.W bersabda:
مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ
“Siapa jua daripada kamu yang melihat kemungkaran maka dia hendaklah mengubah (mencegahnya) dengan tangan (atau kuasa)nya. Kalau tidak mampu maka dengan lidah (atau tulisan)nya. Kalau tidak berdaya juga maka dengan hati (perasaan)nya. Namun yang akhir ini adalah selemah-lemah iman.” (Riwayat Muslim dan lain-lain daripada Abu Sa’id al-Khudri)
Sebenarnya adalah suatu kesilapan besar mengangap bahawa kemungkaran itu hanya berkisar sekitar perbuatan berzina, minum arak dan yang sepertinya. Pada hakikatnya menjatuhkan maruah umat atau bangsa adalah satu kemungkaran. Menipu dalam pilihanraya adalah suatu kemunkaran yang serius. Enggan menampilkan kewajipan kesaksian dalam pilihanraya adalah suatu kemungkaran besar kerana tindakan itu adalah perbuatan menyembunyikan syahadah (kesaksian) di samping meletakkan tanggungjawab kepada orang yang salah. Ini pun merupakan kemungkaran yang berat. Membolot harta awam suatu kemungkaran yang besar. Menyorok dan memonopoli barangan keperluan asas orang ramai demi kepentingan individu tertentu adalah suatu kejahatan yang berat. Menangkap orang yang tidak dihukum bersalah oleh mana-mana mahkamah yang berintegriti suatu dosa besar. Menyiksa orang tertuduh dalam tahanan (untuk mengaku bersalah) suatu dosa besar. Menumbuk rusuk atau menerima pemberian rasuah atau menjadi orang tengah untuk itu adalah suatu dosa berat. Mengampu pemerintah yang memerintah dengan fahaman kebatilan serta menjadi juak-juak penyokongnya di samping memihak dan bersetiakawan dengan musuh Allah dan musuh orang beriman - dengan membelakangkan kepentingan orang-orang mukmin - adalah suatu kejahatan yang besar.
Demikianlah ruang lingkup kejahatan dan kemungkaran itu semakin melebar dan melebar sehingga merangkumi apa yang dianggap oleh rakyat sebagai teras politik atau kancah siasah itu sendiri. Jadi dalam hal ini adakah seorang muslim yang berpegang kuat dengan agamanya di samping prihatin mencari keredhaan tuhannya boleh duduk berdiam diri sahaja? Atau lari meninggalkan medan perjuangan untuk membasmi kemungkaran dan kejahatan-kejahatan lain sepertinya kerana sikap bacul atau sifat tamak untuk mendapat habuan daripada penguasa atau berpada dengan sikap play save; dan diam seribu bahasa untuk menyelamatkan diri sendiri semata-mata?
Sikap lembek seperti ini kalau berleluasa menjadi amalan mereka nescaya bermakna bahawa misi mereka di dunia ini sudah berakhir. Malah itu bermakna mereka telah memusnahkan diri mereka sendiri. Ini kerana mereka telah berubah sikap dan jati diri dan tidak lagi menjadi sebaik-baik umat seperti yang diungkapkan oleh Allah SWT:
كُنْتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ
Maksudnya: “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang ditampilkan untuk kepentingan umat manusia (seluruhnya). Ini (kerana) kamu (sentiasa) menyuruh berbuat kebaikan dan mencegah segala kemunkaran serta kamu beriman kepada Allah.” (Surah Ali Imran:110)
Sebab itu tidak hairanlah kalau kita mendengar peringatan Nabi kepada umat baginda agar tidak bersikap lembek seperti itu. Baginda pernah bersabda:
إِذَا رَأَيْتَ أُمَّتِي تُهَابُ أن تَقُولَ لِلظَّالِمِ يَا ظَالِم فَقَدْ تُوُدِّعَ مِنْهُمْ
“Kalau kalian melihat umatku sudah gentar untuk mengatakan kepada pemerintah yang zalim itu wahai penzalim maka ertinya mereka telah mula berjinak-jinak dengannya.” (Riwayat Ahmad bin Hanbal daripada Abdullah bin ‘Amr). Ertinya mereka sudah kehilangan keabsahan untuk wujud dan hadir di dunia ini.
Setiap orang Islam dituntut – berdasarkan keimanan mereka - agar tidak duduk berdiam diri menjadi penuntun pasif kepada kemungkaran. Tidak kira apa pun bentuk kemunkaran itu; sama ada kemungkaran politik, ekonomi, budaya atau sosial namun mereka harus tampil menentang dan merubahnya dengan tangan atau kuasa kalau mereka mampu, atau dengan lidah dan penulisan. Sekiranya mereka tidak berdaya juga maka barulah mereka beralih kepada perintgkat yang terakhir iaitu dengan hati; iaitu tahap yang dianggap oleh hadith di atas tadi sebagai selemah-lemah iman.
Meskipun perubahan dengan hati ini dianggap selemah iman oleh Rasulullah namun ia tetap merupakan suatu usaha perubahan. Pada tahap berkenaan ada usaha penggembelingan hati, perasaan, pemikiran untuk menolak kemungkaran pelaksana dan pendokong bagi kemungkaran tersebut. Jadi “mengubah dengan hati” ini bukan sekadar tahap pengubahan yang pasif dan negatife semata-mata. Sebab kalau ia hanya merangkum sikap pasif sahaja tentulah hadith tidak akan mengatakannya sebagai peringkat taghyir (mengubah).
Penggembelingan semangat, kesedaran dan hati nurani yang berterusan ini sudah pasti akan sampai kepada titik puncak dalam bentuk suatu tindakan yang positif atau suatu kebangkitan dan revolusi menyeluruh terhadap kemungkaran yang mungkin membawa akibat yang fatal secara total. Ini adalah kerana tekanan yang berterusan pasti akan menghasilkan ledakan; selaras dengan sunnah Allah dalam khalayak makhluk yang dijadikanNya.
Seterusnya kalau dalam hadith terdahulu menyebutkan penggembelingan kesedaran dan hati nurani sebagai usaha mengubah dnegan hati, namun dalam hadith yang lain fenomena ini diberi nama sebagai jihad dengan hati dan diangap sebagai darjat jihad yang paling akhir dan juga sebagai petanda akhir adanya keimanan atau darjat iman yang paling lemah. Imam Muslim meriwayatkan daripada Ibnu Mas’ud sebuah hadith marfu’ seperti berikut:
مَا مِنْ نَبِيٍّ بَعَثَهُ اللهُ فِي أُمَّةٍ قَبْلِي إِلاَّ كَانَ لَهُ مِنْ أُمَّتِهِ حَوَارِيُّونَ وَأَصْحَابٌ يَأْخُذُونَ بِسُنَّتِهِ وَيَقْتَدُونَ بِأَمْرِهِ، ثُمَّ إِنَّهَا تَخْلُفُ مِنْ بَعْدِهِمْ خُلُوفٌ يَقُولُونَ مَا لاَ يَفْعَلُونَ وَيَفْعَلُونَ مَا لَا يُؤْمَرُونَ، فَمَنْ جَاهَدَهُمْ بِيَدِهِ فَهُوَ مُؤْمِنٌ وَمَنْ جَاهَدَهُمْ بِلِسَانِهِ فَهُوَ مُؤْمِنٌ وَمَنْ جَاهَدَهُمْ بِقَلْبِهِ، فَهُوَ مُؤْمِنٌ وَلَيْسَ وَرَاءَ ذَلِكَ مِنْ الْإِيمَانِ حَبَّةُ خَرْدَلٍ
“Setiap Nabi yang diutus Allah kepada umat silam sebelumku semuanya mempunyai para pembantu dan para sahabat dari kalangan umat berkenaan yang menurut jejak langkah mereka dan melaksanakan arahan perintah mereka. Namun selepas generasi tersebut tampil generasi baru yang mengatakan perkara yang tidakkan pun mereka kotakan malah melakukan perkara yang tidak pula diperintahkan. Maka sesiapa jua yang berjihad menghadapi mereka dengan tangan (kuasa) dia adalah seorang mukmin. Siapa yang berjihad menghadapi mereka dengan lidah (media) dia adalah mukmin. Siapa yang berjuang menentang mereka dengan hati dia adalah seorang mukmin. Tapi selepas itu tidak ada lagi benih iman walau sebesar biji saga.”
Antara Individu dan Masyarakat
Kadang-kadang orang seorang tidak berdaya untuk menentang kemungkaran khasnya apabila musibah kemungkaran itu telah membesar dan membiak sedemikian rupa; justeru pelakunya adalah orang yang gagah atau para pemerintah sendiri. Iaitu orang yang sepatutnya menjadi orang yang pertama berkewajipan menumpaskannya. Bukan orang yang pertama melakukannya atau melindungi perbuatan jahat tersebut. Keadaan ini seperti yang disifatkan oleh simpulan bahasa berikut:
حَامِيْهَا حَرَامِيهَا
“Harapkan pagar pagar makan padi”
Atau seperti yang diungkapkan oleh serangkap syair berikut:
وراعي الشاة يحمي الذئب عنها، فكيف إذا الرعاة لها ذئاب؟
“Pengembala kambing penghalau serigala (dari membahamnya). Apa pula jadinya seandainya penggembala bertukar menjadi serigala.”
Pada peringkat ini berkerjasama membasmi kemungkaran- tidak syak lagi - menjadi suatu kewajipan. Justeru ia adalah suatu bentuk kerjasama untuk tujuan kebajikan dan taqwa. Kerjasama ini boleh dilaksanakan melalui amal jama’i dalam wadah persatuan, parti, pertubuhan dan lain-lain saluran yang terbuka. Perkara seperti ini menjadi suatu kemestian agama dan tuntutan realiti hidup! |
No comments:
Post a Comment