KUALA LUMPUR: Selepas laman web Pejabat Wanita Pertama Malaysia atau F.L.O.M ditutup pada 27 Januari lalu, ia digantikan pula dengan laman web baru yang dinamakan DSR atau ‘Datin Seri Rosmah’.
Halaman khusus dalam laman web Jabatan Perdana Menteri itu boleh dilayari melalui alamat di http://www.pmo.gov.my/datinrosmah/
Dengan latar utama berwarna merah jambu, bahagian atas yang mendominasi perhatian adalah paparan slaid bergambar aktiviti Rosmah yang berselang setiap 5 saat.
Manakala menu laman terbahagi kepada lima paparan selain ‘Laman Utama’ iaitu ‘Isteri PM’, ‘Bilik berita’, ‘Koleksi multimedia’ dan ‘Informasi kami’
Setiap paparan dipecahkan kepada beberapa sub-topik termasuk pautan ke laman web Persatuan Badminton Malaysia, BAKTI, Permata Negara, Permata Pintar, Permata Seni, Persatuan Pandu Puteri Malaysia, The Malaysian AIDS Council (MAC) dan Seri Perdana.
Laman DSR mengandungi arkib berita yang berkaitan Rosmah yang dipetik dari media massa tempatan selain artikel, ucapan dan diari.
Ucapan alu-aluan dan selamat datang oleh Rosmah yang berpakaian serba hijau disiarkan dalam rakaman video bergambar selama 3 minit 19 saat.
“Tujuan penubuhan laman web ini adalah untuk memberi peluang kepada para pengunjung sekelian untuk bukan sahaja mengenali saya dengan lebih dekat, tetapi juga dapat mengikuti dan memahami peranan dan tugas saya sebagai isteri Perdana Menteri Malaysia yang keenam,” kata Rosmah dalam ucapan yang bertajuk ‘Mesej dari DSR’.
Mengikut statistik yang disiarkan, sehingga hari ini lebih 37,000 pengunjung telah melayari dengan purata 230 orang setiap hari.
Laman DSR menggunakan Kompleks Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya sebagai alamat. Namun tiada maklumat sama ada laman ini turut menggunakan laman blog mikro Twitter atau Facebook sebagai salah satu medium capaian.
Sebelum ini kewujudan ‘Pejabat Wanita Pertama Malaysia’ di Jabatan Perdana Menteri didedahkan Keadilandaily.com termasuk senarai nombor telefon serta pegawai yang bertugas di bahagian itu.
Enam orang pegawai yang mengendalikan bahagian itu diketuai Datuk Siti Azizah Sheikh Abod.
Dikenali sebagai Bahagian Wanita Pertama Malaysia (F.L.OM), ia bertujuan menjaga urusan serta lawatan-lawatan isteri Perdana Menteri itu, namun ditutup selepas isu itu didedahkan.
No comments:
Post a Comment