Tuesday, August 9, 2011

Bungkusan nasi dalam bonet kereta untuk dijual kepada kaki ponteng puasa?

KANGAR - Sungguh licik. Itulah ungkapan yang sesuai bagi menggambarkan tindakan seorang peniaga makanan bersama anak perempuannya yang menjadikan bonet kenderaan sebagai tempat menyimpan makanan yang sudah dibungkus sebelum ia dijual kepada golongan yang ponteng puasa.

Malah, tindakan itu sekaligus bertujuan untuk mengaburi mata penguat kuasa yang sering melakukan rondaan serta pemantauan dan orang ramai yang sering lalu lalang di kawasan berdekatan bangunan kedai di Seriab, semalam.


Penolong Pengarah Penguat kuasa Jabatan Agama Perlis (Jaips), Suhaimi Ahmad berkata, dalam serbuan pagi semalam, pihaknya telah merampas berpuluh-puluh bungkusan makanan milik seorang peniaga berkenderaan di Seriab.

Menurutnya, rampasan itu dibuat selepas peniaga terbabit didapati melanggar arahan yang dikeluarkan Majlis Perbandaran Kangar (MPK) iaitu peniaga hanya dibenarkan menjual makanan selepas jam 2.30 petang sepanjang bulan Ramadan.

Bagaimanapun katanya, makanan yang dirampas itu boleh dituntut semula peniaga selepas jam 2.30 petang di Jaips.

“Kita sudah merampas bungkusan makanan milik peniaga ini selepas dia didapati telah melanggar peraturan yang dikuatkuasakan MPK kerana menjual makanan sebelum jam 2.30 petang.

“Selain peniaga berkenderaan, turut dirampas ialah beberapa periuk berisi makanan di sebuah restoran yang dikesan melakukan kesalahan yang sama dan makanan itu hanya akan dikembalikan selepas waktu perniagaan yang dibenarkan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan Ops ramadan bersama MPK, semalam.

Operasi Ramadan membabitkan Jaips, MPK dan Jabatan Kesihatan itu dijalankan sepanjang bulan Ramadan meliputi kawasan Kangar, Arau dan Padang Besar untuk memastikan peniaga-peniaga menghormati perintah dan arahan yang ditetapkan sebagai menghormati bulan Ramadan sebagai bulan mulia.

Suhaimi berkata, kes disiasat di bawah seksyen 25 Enakmen Jenayah Dalam Syarak Negeri Perlis 1991. Jika sabit kesalahan boleh boleh dikenakan denda sehingga RM1,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali.-

No comments:

Post a Comment