Tuesday, October 25, 2011

Guna stadium jika mahu juara kebebasan akademik, Hisham saran SMM

Hishammuddin Hussein menerima memorandum daripada SMM di kampus induk UIA, Gombak malam tadi. ― Foto Jack Ooi
GOMBAK, 26 Okt — Kumpulan pelajar universiti Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) boleh mengadakan perhimpunan besar-besaran berhubung kebebasan akademik bulan depan di stadium jika mahu, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein malam tadi.
Seolah-oleh merujuk kepada perhimpunan Bersih 2.0 Julai lalu, beliau berkata, kumpulan hak asasi penuntut itu bebas untuk melahirkan rintihan mereka selagi tidak membahayakan publik atau menyebabkan ekonomi tempatan rugi berjuta ringgit.
“Jika anda mahukan sebuah stadium, dalam apa jua cara, anda boleh berteriak sepanjang malam,” kata beliau kepada The Malaysian Insider ketika ditemui di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) di sini malam tadi.
“Itu yang dilakukan oleh Himpun dan ia tidak menyebabkan kesesakan lalu lintas, tidak mengakibatkan kerugian berjuta ringgit dan tidak ada kemungkinan tindakan balas sama ada agama ataupun perkauman,” katanya.
Bagaimanapun beliau mempersoalkan agenda SMM dengan merujuk kepada anggota kumpulan itu yang masih menunggu di luar dewan selepas menyerahkan memorandum kepadanya ketika pertandingan akhir Debat Piala Perdana Menteri di kampus UIA di sini.
Perhimpunan Bersih di ibu negara awal Julai lalu disertai hampir 50,000 di sebalik sekatan dan tindakan keras pihak berkuasa.
Bersih 2.0 mahu menggunakan Stadium Merdeka tetapi pihak berkuasa, pada saat-saat akhir, sanggup memberikan Stadium Shah Alam tetapi ditolak penganjur.
Himpun atau Himpunan Sejuta Umat di Stadium Shah Alam Sabtu hanya disertai sekitar 5,000 meskipun penganjur menyasarkan 100,000 hadirin khusus untuk membincangkan isu murtad.
Hishammuddin menggantikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak malam tadi, yang membatalkan kehadirannya, yang menurut SMM dibuat saat-saat akhir selepas ia mengumumkan akan mengadakan protes kedua selepas kali pertama Jumaat lalu.
Laporan media menunjukkan Najib berada di Riyadh semalam untuk memberi penghormatan terakhir kepada Putera Mahkota Arab Saudi yang mangkat.
“Tidak salah dalam melahirkan kritikan konstruktif tetapi selepas menerima memorandum, dengan hati terbuka, sesetengah mereka masih menunggu pada pukul 11.30 malam, menimbulkan persoalan mengenai motif sebenar mereka,” kata Hishammuddin yang juga Naib Presiden Umno lagi.
SMM telah mengadakan protes ketika kunjungan beliau malam tadi dengan disertai hanya sekitar 40 pelajar berbanding 700 orang Jumaat lalu.
Kumpulan itu mengadakan protes ekoran tindakan UIA menjalankan siasatan ke atas pensyarah undang-undangnya Prof Dr Abdul Aziz Bari berhubung kenyataannya menyentuh titah Sultan Selangor.
UIA menggantung tugas Aziz sejak Rabu lalu tetapi ia ditarik balik kelmarin dan siasatan masih dijalankan.
Aziz juga disiasat oleh polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Malam tadi, SMM berkata Bersih 2.0, yang melahirkan sokongannya kepada gerakan anti-Lynas awal bulan ini telah bersetuju untuk menyertai perhimpunan kebebasan akademik bulan depan.

No comments:

Post a Comment