Friday, November 25, 2011

PAS mahu sekat Parlimen bahas RUU Perhimpunan Aman

  KUALA LUMPUR, 25 Nov — PAS akan mengambil tindakan mahkamah untuk menyekat Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman 2011 yang dibentangkan bagi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat, semalam.

Peguam parti itu Mohamed Hanipa Maidin berkata, beliau akan mewakili PAS minggu depan untuk memohon perintah mahkamah berhubung perkara tersebut.

Rang undang-undang itu telah dibentangkan untuk bacaan kali kedua semalam dan Dewan Rakyat akan membahaskannya minggu depan.

“Kita tidak akan tunggu rang undang-undang ini diluluskan menjadi undang-undang baru kita cabar. Kita akan mengambil tindakan mahkamah untuk proses rang undang-undang ini menjadi undang-undang,” kata beliau pada sidang media di sini hari ini.

Dipetik Harakahdaily, Hanipa yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat berkata, tindakan mahkamah itu adalah berasas kerana kerajaan tidak mempunayi kuasa untuk menggubal RUU mengikut pandangan mereka sahaja.

“Kuasa kerajaan di bawah Perlembagaan Negara. Jadi kalau mereka melangkaui perlembagaan, kita berhak mengambil tindakan mahkamah,” katanya.

Menurut beliau, ada perkara dalam rang undang-undang itu yang akan dibahaskan minggu hadapan itu melanggar Perkara 10 (1) (b) iaitu hak untuk berhimpun.

“Ada beberapa peruntukan dalam rang undang-undang ini tidak boleh dilaksanakan langsung.

Sebagai contoh kerajaan kata 30 hari untuk beri notis berhimpun. Maksudnya kalau kena beri notis begitu, rakyat telah dihalang (untuk berhimpun).

“Begitu juga kanak-kanak bawah 15 tahun tidak boleh menyertai himpunan, sedangkan kanak-kanak juga ialah rakyat.

Contoh kalau ada sekolah dirobohkan dan kanak-kanak ini berhimpun, dalam rang undang-undang ini kata tak boleh tapi dalam perlembagaan boleh. Jadi rang undang-undang ini bercanggah dengan perlembagaan,” jelas beliau.

Turut hadir sidang media itu ialah Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dan dua orang ahli jawatankuasa PAS Pusat iaitu Dr. Dzulkefly Ahmad dan Dr. Hatta Ramli.

Sementara itu, Dzulkefly berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berada dalam keadaan tertekan dan berusaha menunjukkan kepada rakyat bahawa beliau sedang melakukan reformasi dalam demokrasi.

Namun katanya, segala tindakan Najib selepas pengumuman beliau pada 15 September lalu untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ternyata bercanggah.

“Kita melihat pemerintahan Najib yang berada dalam tekanan dan dan beliau mewujudkan tanggapan oleh rakyat bahawa beliau komited untuk memulihkan demokrasi.

“Tapi sebaliknya beliau menunjukkan tindakan yang kontra dengan apa yang dikatakan,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor.

http://allnews.rss.themalaysianinsider.com/

No comments:

Post a Comment