Friday, September 27, 2013

Lynas: Malunya timbalan menteri kata 'kilang kicap'


Kenyataan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Abu Bakar Mohamed yang mengatakan kilang memproses nadir bumi, Lynas selamat seperti kilang kicap dianggap kenyataan memalukan.

Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS Pahang, Andansura Rabu berkata kenyataan seumpama itu tidak layak diucapkan oleh seseorang berpangkat menteri atau timbalan.

"Kalau seorang timbalan menteri tidak dapat membezakan emosi dengan profesionalisme, ia hanya memburukkan keadaan. Malah, kenyataan itu hanya menjadikan rakyat semakin tidak yakin dengan jaminan kerajaan berhubung isu," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Beserah, turut mengingatkan Abu Bakar agar lebih memahami isu di sebalik pengoperasian kilang Lynas sebelum membandingkannya dengan kilang kicap.

"Beliau kena tahu Lynas ini berasaskan bahan-bahan yang berbahaya, tidak bolehlah nak disamakan dengan kilang kicap," tambah beliau yang kini berada di Mekah.

Semalam, Abu Bakar yang menerima memorandum daripada beberapa aktivis anti-Lynas cuba menenangkan keadaan dengan berkata kontroversi sekitar pusat pemprosesan nadir bumi itu "selamat seperti kilang kicap".

Kenyataan itu menyebabkan berlaku sedikit ketegangan antara beliau dan Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Fauzi Abdul Rahman.

Kilang bernilai RM700 juta yang dibina di kawasan perindustrian Gebeng di Kuantan itu menimbulkan kontroversi kerana didakwa bakal menghasilkan radiasi yang didakwa boleh memudaratkan kesihatan orang ramai.

Kontroversi tersebut berterusan apabila kerajaan meneruskan dan membenarkan operasi kilang tersebut, biarpun beberapa siri demonstrasi diadakan bagi membantah kilang Lynas tersebut.

No comments:

Post a Comment