Monday, November 4, 2013

Suasana harmoni PRK dicemari provokasi


(Gambar : Petugas BN menggunakan khemah yang didakwa milik SPR hingga mencetuskan kemarahan penyokong Pas)
Hampir dua minggu kempen PRK Dun Sungai Limau berjalan dalam suasana harmoni akhirnya musnah pada hari mengundi apabila berlaku beberapa pergaduhan.

INSIDEN 1

Ketua Wanita Umno cawangan Bandar Baru Sentul (1C), Norsidah Abu Bakar didakwa ditumbuk penyokong Pas ketika merayu undi di depan Sekolah Kebangsaan Ulu Sedaka kira-kira jam 8.45 pagi.


Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim berkata, polis menerima laporan yang dibuat Ketua Wanita Umno Bahagian Seputeh, Datuk Azizah Abdul Samad dan mangsa pada jam 11 pagi.

“Setakat ini tiada tangkapan dibuat dan polis akan menyiasat kes itu mengikut Seksyen 354 kerana menyerang atau menggunakan kekerasan jenayah kepada seseorang dengan niat hendak mencabul kehormatan,” katanya.


INSIDEN 2

Pasukan Polis Simpanan Persekutuan (FRU) terpaksa dikerahkan ke pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Sungai Dedap kira-kira jam 11 pagi untuk mengawal keadaan tegang antara penyokong BN dan Pas.

Ia bermula sejak jam 8 pagi apabila penyokong Pas mempertikaikan kewujudan khemah SPR yang didakwa digunakan petugas BN.

Bagaimanapun, kira-kira 30 minit kemudian, ia menjadi semakin serius apabila ada penyokong kedua-dua pihak mahu bertumbuk.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Ismail Abu berkata, kedua-dua pihak berbincang agar berada di luar khemah berkenaan.


INSIDEN 3

Suasana tegang wujud apabila penyokong BN dan Pas saling kata mengata dan cemuh mencemuh di depan Sekolah Kebangsaan Sungai Limau pada sebelah pagi.

Kedudukan yang agak berdekatan dengan jalan raya sahaja memisahkan mereka menyebabkan suara penyokong dapat didengar dengan jelas.

Apabila makin "panas" masing-masing tidak berupaya mengawal emosi dan perasaan menyebabkan beberapa penyokong kedua-dua parti yang terus bertegang keher meluru untuk bertumbuk.

Bagaimanapun, tindakan pantas anggota polis berjaya meleraikan mereka dan mengelakkan pergaduhan.  


INSIDEN 4

Kereta yang dinaiki calon BN, Dr Ahmad Sohaimi Lazim ditendang sekumpulan penyokong dipercayai Pas di luar kawasan pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Sungai Dedap kira-kira jam 11 pagi.

Beliau berkata, sekumpulan penyokong parti terbabit menendang kereta yang dinaikinya lebih 10 kali.

"Saya kesal tindakan kumpulan yang mencemarkan politik damai sepanjang tempoh berkempen tetapi ia bukan dilakukan penduduk tempatan," katanya.



No comments:

Post a Comment