Monday, January 13, 2014

Sambut Maulidur Rasul ketika poket rakyat dinodai

Kita kini sedang menyambut ketibaan bulan Rabiul Awwal yang telah melakarkan pelbagai peristiwa penting dalam sejarah ummat Islam. Terutama sekali setiap tahun apabila tibanya bulan Rabiul Awwal maka seluruh ummat Islam sedunia bersama bagi mengingati saat kelahiran Nabi Muhammad SAW. Rasul yang bertuah, putera kepada Abdullah dan Siti Aminah. Lahir pada Tahun Gajah di bumi Mekah sebagai perubah kepada dunia yang kelam dalam kegelapan jahiliah.
Kelahiran dan kebangkitan Nabi Muhammad s.a.w. sebagai nabi lagi rasul akhir zaman telah membawa sinar kebahagiaan kepada ummat yang selama ini ditindas dan bermusuhan antara satu sama lain, di mana yang kuat memerintah, yang tidak berdaya, yang kaya memeras yang miskin, yang gagah menindas yang lemah.

Seperti tahun-tahun sebelum ini, kos kehidupan rakyat Malaysia terus meningkat bermula dari sekecil-kecil barangan keperluan manusia sehinggalah kepada keperluan-keperluan besar yang lain. Tarif itu naik dan barang ini naik! Namun pernahkah kita bertanya, APA ERTI AKU MENYAMBUT MAULIDUR RASUL ketika mana kita seolah-olah masih meredhai kezaliman yang  terus mencengkam kehidupan rakyat Malaysia pada hari ini. Adakah sikap tidak prihatin ini disukai oleh Rasulullah s.a.w kiranya baginda masih hidup?

Cukai-cukai semakin menggila melepaskan amarahnya kepada rakyat jelata namun pada kali ini ianya bergerak menodai poket rakyat jelata di atas nama suntikan ekonomi dan penyelarasan subsidi! Ketahui apa yang berlaku ini adalah kerana manusia meninggalkan ajaran dan perundangan Allah s.w.t.

Perundangan terletak pada pandangan nafsu bukannya wahyu sehingga dunia menjadi bercelaru kehilangan pedoman dan ketiadaan sistem yang mampu dijadikan tempat rujukan untuk berlindung.

Kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. sebagai pembawa rahmat kepada seluruh alam semakin terpancar dengan penghapusan apa saja bentuk penindasan terhadap apa sahaja hak hak asasi manusia yang dinodai.

Rasulullah s.a.w juga turut membawa satu mesej yang jelas kepada seluruh alam apabila Rasulullah s.a.w memerangi penyakit semangat kebangsaan sempit yang merosakkan keadilan sesama manusia. Ianya bersesuaian dengan pengutusan Nabi Muhammad SAW itu sendiri sebagai rasul pembawa seruan Islam untuk semua bangsa bukannya dikhususkan kepada sesuatu bangsa semesti sahaja sebagaimana para nabi sebelum ini.

Ketahuilah umat Islam di negara ini hanya akan menjadi kuat dan dikurniakan izzah bilamana kita berpadu di atas nama Islam dan bukannya atas nama perkauman sempit yang dikeji oleh Rasulullah s.a.w.

Kekuatan Islam dapat dilihat dengan jelas apabila umatnya bersatu dalam satu aqidah, mengadap ke arah satu Ka’abah, mengguna pakai seluruh sistem berdasarkan satu al-Quran kalimah Allah.

Manakala kelemahan umat Islam dapat dilihat juga dengan jelas apabila aqidah umat Islam dipecah-belahkan dengan meniggalkan ajaran Islam yang sebenar  sehingga ramai yang mengambil ideologi ciptaan kuffar sebagai pedoman hidup serta ramai di kalangan umat Islam menyuburkan kembali semangat kebangsaan yang sempit juga menyebabkan jurang pemisah mula timbul kembali setelah dihapuskan oleh Rasulullah SAW.

Di samping itu ummat Islam hanya menggunakan al-Quran sebagai bahan bacaan semata-mata sedangkan segala sistem dan tutur cara yang terkandung dalam al-Quran yakni turut melibatkan masalah pemerintahan, perundangan, ekonomi, kemasyarakatan  terus diabaikan dan ada juga menerima pakainya tetapi dalam bab yang berkenan di hati sahaja. Inilah antara penyakit teramat bahaya yang timbul dalam masyarakat Islam sehingga mereka dihinakan oleh Allah SWT dengan pelbagai penyakit termasuk peperangan.

Menyedari tentang bahayanya perpecahan di kalangan umat Islam yang menyebabkan kita terus ditawan serta dijajah, maka kita wajib kembali bersatu atas dasar Islam sebagaimana yang telah dilakukan dengan gahnya oleh Rasulullah SAW.

Sempena menyambut ketibaan bulan Rabiul Awwal ini maka seluruh ummat Islam bukan sahaja menyebut tentang kemuliaan dan kehebatan yang ada pada diri Rasulullah SAW, tetapi mesti bertindak segera dalam mengikuti segala yang telah dilaksanakan oleh Nabi Muhammad SAW kita dalam mengembalikan semula kegemilangan dan kemuliaan ummat Islam.

Biarlah perasaan gembira yang kita gambarkan dan hamparkan dalam mengadakan sebarang majlis Maulidur Rasul sama keadaannya antara perasaan pada zahir dan batin bukannya pada zahir sahaja kita begitu gembira menyambut hari kelahiran Rasulullah SAW sedangkan pada batinnnya umat Islam sedang menangis hiba akibat dijajah oleh musuh dalam segenap penjuru kehidupan mereka akibat kesilapan dan kesalahan mereka sendiri.

Firman Allah SWT dalam ayat 39 surah at-Taubah:

إلا تنفروا يعذبكم عذابا أليما ويستبدل قوما غيركم ولاتضروه شيئا والله على كل شىء قدير

“Jika kamu tidak turut serta berangkat untuk berperang nescaya Allah akan menyiksa kamu dengan siksaan yang pedih dan digantikan kamu dengan suatu kaum yang lain dan kamu tidak dapat memberi kemudharatan kepadaNya sedikit pun. Dan Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.”

Yakinlah kita bahawa dengan Islam sahaja maka kita mampu meraih kemuliaan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Jadikanlah diri kita sebagai pejuang agama Allah SWT bukan penentang dan peruntuh Islam.

Ingatlah bahawa kita bukan orang pertama dan terakhir yang memperjuangkan Islam sebaliknya kita ialah rantaian kepada perjuangan ummat terdahulu dan akan datang. Ingatlah juga bahawa kita bukan orang yang memulakan perjuangan Islam sebaliknya kita adalah penerus dan penyambung kepada tugas yang telah dilakukan oleh para nabi dan rasul serta pejuang Islam sebelum ini.

Jangan diungkit tentang keletihan dalam perjuangan kerana ianya adalah lumrah, ketahuilah bahawa golongan yang mentang perjuangan kita jauh lebih letih dan penat menentang pejuang Islam kerana mereka berjuang untuk mendapat habuan dunia berupa takhta dan harta yang semuanya berbentuk sementara, bukan selama-lamanya. Yakinlah kepada janji pertolongan dan kemenangan daripada Allah SWT. Islam akan subur tatkala jahiliah semakin hancur, Islam akan menang ketika rangkaian mula keletihan, Islam akan berdiri gagah ketika penyokong jahiliah semakin lemah, Islam akan kembali merajai dunia ketika jahiliah tersungkur jatuh penuh hina.

Wallahua’lam.

~RAHMAT UNTUK SEMUA ~

No comments:

Post a Comment