Saturday, July 19, 2014

Perintah berkurung di Pantai Timur Sabah

KOTA KINABALU: Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman mengisytiharkan perintah berkurung di kawasan perairan pantai timur Sabah bermula dari Tg Pundaras, Sandakan hingga ke Jeti Tawau berkuat kuasa hari ini hingga 2 Ogos ini.
    
Ia bermula pukul 6 petang hingga 6 pagi.
    
Beliau berkata kawasan perintah berkurung bermula selepas tiga batu nautika dari pantai sepanjang perairan dari Sandakan melalui daerah Kinabatangan, Lahad Datu, Semporna hingga ke Jeti Tawau sejauh 362 batu nautika meliputi kawasan seluas 121, 270 batu nautika persegi.
    
"Memandangkan keadaan keselamatan di perairan di beberapa daerah di Sabah dalam keadaan terancam dan menimbulkan kegusaran kepada orang ramai serta mengganggu kehidupan ekonomi masyarakat setempat berikutan berlakunya pencerobohan pengganas Sulu, maka pihak polis memutuskan untuk menguatkuasakan perintah berkurung di kawasan terlibat.
     
"Kuasa untuk saya isytihar perintah berkurung adalah di bawah Seksyen 3 (1) Akta Polis 1967. Kuasa saya, (perintah berkurung) ini tidak melebihi 24 jam.
    
"Tetapi saya sudah menulis kepada menteri dalam negeri dan menteri bersetuju memberi tambahan tidak melebihi 14 hari," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
    
Dengan pengisytiharan perintah berkurung berkenaan, Jalaluddin berkata tiada
sesiapa pun, kecuali anggota keselamatan dan orang yang diberikan pengecualian yang boleh berada di dalam kawasan yang telah ditetapkan dari jam 6 petang hingga 6 pagi.
    
Beliau berkata mana-mana orang, selain anggota keselamatan yang perlu memasuki atau melalui kawasan yang telah diisytiharkan sebagai kawasan perintah berkurung perlu mendapat permit pengecualian perintah berkurung daripada Ketua Polis Daerah (OCPD) di kawasan mereka berada.
    
Turut hadir Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) Datuk Abdul Rashid Harun.
    
"Oleh itu, saya telah mengarahkan semua OCPD untuk memberi notis kepada
Jabatan Laut serta semua pihak yang ada kepentingan di kawasan ini termasuk
pengusaha calet dan sangkar ikan yang berada di dalam kawasan perintah berkurung, hari ini. Saya telah berhubung dengan Ketua Menteri Sabah memaklumkan tindakan ini. Saya juga akan berhubung dengan ketua keselamatan negeri dan pegawai daerah," katanya.
    
Jalaluddin berkata sesiapa yang dijumpai di kawasan perintah berkurung adalah melakukan kesalahan dan boleh ditangkap tanpa waran di bawah Seksyen 3 (2) Akta Polis 1967 serta dituduh di mahkamah dan dihukum mengikut Seksyen 94 Akta Polis 1967.
     
Beliau berkata mana-mana orang yang berada di dalam kwasan perintah berkurung juga apabila diarah oleh anggota pasukan keselamatan untuk berhenti dan diperiksa hendaklah meberi kerjasama dan sekiranya gagal berbuat demikian anggota keselamtan akan mengambil segala tindakan yang perlu termasuk menggunakan kekerasan yang dibenarkan oleh undang-undang.
    
"Memandangkan kawasan yang telah diisytiharkan sebagai kawasan perintah
berkurung adalah meliputi kawasan lautan dan melibatkan penggunaan bot, perahu atau kapal, maka anggota pasukan keselamatan akan memberikan arahan dengan menggunakan pembesar suara, lampu, siren atau cara-cara lain yang bersesuaian.
    
"Oleh itu orang awam adalah dinasihatkan mengambil perhatian terhadap
cara-cara yang dinyatakan itu," katanya.
    
Beliau berkata mana-mana pihak yang melanggar peraturan perintah berkurung boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM500 atau penjara tidak melebihi enam bulan.
    
kata Jalaluddin, apabila terdapat suspek yang disyaki telah melakukan penculikan ataupun pembunuhan yang hukumannya adalah gantung sampai mati atau penjara seumur berada di kawasan perintah berkurung, maka anggota keselamatan boleh melepaskan tembakan ke sasaran berkenaan.
    
Mengenai nelayan laut dalam yang mungkin terpaksa keluar menangkap ikan pada waktu malam, beliau berkata mereka boleh memohon permit daripada OCPD untuk melalui kawasan perintah berkurung, namun mereka tidak dibenarkan menangkap ikan di kawasan perintah berkurung.
    
Malah katanya pelancong yang berada di pulau peranginan juga tidak dibenarkan keluar dari pulau berkenaan atau melakukan aktiviti selaman dalam tempoh perintah berkurung bagi memudahkan anggota keselamatan melaksanakan tanggungjawab mereka dengan lebih mantap.
    
"Kalau dalam tempoh 14 hari, saya memikirkan kawasan ini masih tidak selamat, kita akan bincang semula dan kita akan mengambil tindakan susulan sama ada kita menggunakan Public Order (Preservation) Akta 1958 (POPA) atau mengikut pertimbangan undang-undang yang diperuntukan.
    
"Kalau POPA dikuatkuasakan, kuasa diberi kepada OCPD (isytihar perintah berkurung) tidak melebihi 24 jam, Pesurujaya Polis tidak lebih 48 jam dan menteri tiada had. Tapi untuk peringkat permulaan, saya pakai Akta Polis," katanya.

No comments:

Post a Comment