Saturday, July 19, 2014

Sidang Parlimen Khas, PAS arah semua hadir

KUALA LUMPUR: PAS mengarahkan semua ahli parlimen mereka wajib hadir pada sidang Parlimen Khas mengenai nahas pesawat MAS MH17 yang akan diadakan pada 23 Julai nanti.

Berkata pada Harakahdaily, Ketua Whip Parlimen PAS, Datuk Mahfuz Omar yang menyambut baik cadangan yang dikemukakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi membincang dan mencari jalan penyelesaian atas insiden yang berlaku.

Beliau turut berharap ia akan menjadikan satu permulaan dan amalan yang baik ada sidang sedemikian diadakan pada masa akan datang untuk membincangkan topik-topik yang berlaku di peringkat negara mahupun antarabangsa.

"Saya menyambut baik cadangan kerajaan yang akan menanggil sidang parlimen khas bagi membincangkan insiden MH17 yang djadualkan pada 23 Julai nanti.

"Ini yang dituntut oleh PAS khususnya Pakatan Rakyat supaya sidang khas diadakan bagi kita membincangkan serta memberi pendapat dalam pelbagai isu terutama membabitkan kepentingan awam," jelasnya.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu meminta agar sidang khas ini tidak menjadi sidang kali pertama dan terakhir kerana perbincangan yang dilakukan di parlimen akan dapat mencari penyelesaian terbaik.

"Sebelum ini sudah banyak kali kita cadangan tetapi kerajaan tidak bersedia, saya harap ini bukan kali pertama dan terakhir.

"Ia perlu dijadikan amalan dan budaya dalam negara ini, seperti isu di Gaza sepatutnya sidang khas diadakan kerana ia membabitkan hal kemanusiaan sejagat serta tanda keperihatinan kita," sambung beliau lagi.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS Pusat itu turut mengarahkan agar semua pejabat dan kompleks PAS di seluruh negara mengibar bendera separuh tiang sebagai tanda simpati kepada nahas tersebut.

Sebelum itu, beliau yang juga merupakan Pesuruhjaya PAS Kedah bersama Timbalan Pesuruhjaya Datuk Dr Ismail Salleh, Setiausaha Perhubungan PAS Kedah Musadak Ahmad dan Ketua Penerangan PAS Kedah Sanusi Md Noor telah menurunkan bendera separuh tiang di Kompleks PAS Negeri Kedah di Batu 9 Jalan Kota Sarang Semua sebentar tadi.

No comments:

Post a Comment