Thursday, March 26, 2015

Antara Kalam Tuhan dan 'tafsiran manusia'

- Dari serambi musolla

Seringkali apabila Kerajaan Kelantan cuba menguatkuasakan undang-undang Hudud maka alasan yang seringkali digunakan oleh pihak yang menolak usaha murni ini ialah mereka sebenarnya menolak 'Hudud PAS' atau dengan kata lain hudud yang di olah dengan 'tafsiran manusia.' Kononnya mereka tidak menolak hukum Allah yang termaktub dalam Al-Quran atau teks asal hukum tersebut. Kelompok ini berkeyakinan hukum yang ditafsirkan oleh manusia itu boleh diterima atau ditolak namun Al-Quran sebagai sebuah kalam suci, kebenarannya tidak mungkin dipertikaikan sampai bila-bila.

Sekali diimbas kenyataan ini tidak ada salahnya dari segi kaedah atau prinsip, kerana sememangnya ijtihad atau tafsiran manusia keatas sesuatu teks asal dalam Al-Quran dan hadith terdedah kepada pelbagai ruang perbincangan ilmiah bergantung kepada dalil-dalil dan keterangan dari sumber yang lain yang sahih. Ulama-ulama silam telah mengakui hakikat ini dan mengiktiraf kewujudan pelbagai pendapat dalam sesuatu hukum.

Namun jika diperhati secara halus slogan ini tidak ubah sepertimana puak khawarij yang menggunakan slogan 'barangsiapa yang tidak berhukum dengan hukum Allah, maka dia kafir', Cuma bezanya mereka menggunakan slogan ini dalam bentuk kebalikan dari slogan yang digunakan oleh puak Khawarij. Saidina Ali pernah berkata tentang slogan puak Khawarij sebagai, "ungkapan yang benar namun digunakan dengan tujuan yang salah".

Begitu jugalah dengan slogan 'kami tidak menolak hukum Allah, namun kami menolak Hudud versi PAS'. Ia mempunyai maksud yang benar namun digunakan dengan tujuan yang salah.

Lebih jauh dari itu kenyataan ini ialah suatu kenyataan jahat yang seakan menyandarkan kepalsuan pula kepada ijtihad-ijtihad ulama PAS dan penggubal perundangan Syar'ie dengan mengatakan ijtihad mereka hanya 'tafsiran manusia'. Penggunaan istilah 'tafsiran manusia' sudah pasti mengundang kekeliruan kepada orang awam yang jahil selok belok agama dan menyangka ia boleh ditolak mentah-mentah sebegitu sahaja.

Pada saya ini adalah senjata terakhir bagi mana-mana pihak yang tidak mahu melihat hukum Allah terlaksana di atas muka bumi dengan cara yang paling berdiplomasi dan berhikmah. Dahulu UMNO adalah juara dalam berdalih dengan menggunakan alasan di atas, namun kini ia juga digunakan oleh orang Islam yang berfahaman liberal yang kini tidak berani menyuarakan penentangan mereka secara terbuka terhadap hukum Allah itu.

Saya ingin bertanya kepada pihak yang sering menggunakan alasan di atas, jika anda merasakan bahawa Enakmen Jenayah Syariah 1993 adalah 'tafsiran manusia', bagaimana pula dengan pegangan feqah yang kini digunapakai oleh umat Islam di Malaysia sehari-hari, termasuk diri anda sendiri? Adakah ia diambil terus dari Al-Quran dan hadith secara 'direct' dan bulat-bulat? Setahu saya, dari hal solat, puasa, zakat dan urusan haji semuanya di olah dari 'TAFSIRAN MANUSIA' (baca: tafsiran Ulama') oleh Imam Empat Mazhab yang terkemuka dalam Islam. Siapa diantara kita yang tidak bergantung kepada 'tafsiran manusia' (baca: tafsiran Ulama') ini dalam soal urusan agama?

Jika kita menolak 'tafsiran manusia' (baca: tafsiran Ulama') dalam soal urusan agama ini, adakah kita sudah cukup ALIM dan berkelayakan untuk mengolah dan mengistinbat sesuatu hukum mahupun berijtihad dengan displin-disiplin berpandukan kaedah-kaedahnya tersendiri...tidak bukan?? Berapa ratus ribu hadith berserta sanadnya yg kita hafal? sudahkah kita menghafaz Al-Quran dengan memahami uslub, menguasai Tafsir dan isi kandungannya? Bagaimana pula dengan kitab-kitab muktabar karangan Ulama'-ulama terbilang sepanjang zaman yang terdahulu? Sudahkah kita menguasainya?

Pada saya , jika lidah kita lebih ringan menyebut perkataan Inggeris dari perkataan Arab jangan mimpilah nak mentafsir dan menjelaskan isi Al-Quran dan hadith.

Sedangkan Kitab 'Fiqh Sunnah' karangan Syed Sabiq yang cuba keluar dari tafsiran mazhab dengan melihat masalah Fiqh dari sudut kontemporari pun adalah 'tafsiran manusia' (baca: tafsiran Ulama'). Saya tidak tahu bagaimana lagikah yang dimaksudkan oleh pengguna slogan tadi dengan definisi 'tafsiran manusia'.

Jika anda merasakan Enakmen Jenayah Syariah 1993 adalah 'tafsiran manusia' silalah anda bersolat atau berpuasa dengan cara yang tersendiri tanpa perlu merujuk kepada Ulama'-ulama yang telah berjasa dalam bidang ilmu Islam kerana ia adalah 'tafsiran manusia' (baca: tafsiran Ulama') semata-mata.

Barangkali pendukung fahaman Islam liberal percaya Islam boleh ditafsirkan mengikut pemahaman dan selera pemikiran manusia itu sendiri. Jika itu yang mereka percaya saya juga boleh menggunakan hujah yang sama iaitu, "itu adalah tafsiran anda (tafsiran manusia) sedangkan kalam Allah adalah suci sama sekali dari apa yang anda perkatakan, bagaimana anda boleh begitu yakin dengan tafsiran anda sendiri (baca; tafsiran manusia) terhadap agama sedangkan tafsiran anda hanya lahir dari pemikiran anda yang dangkal (baca: tafsiran manusia)".

Suatu hakikat yang pasti ialah sejak kewafatan Rasulullah s.a.w, tiada lagi pihak yang dapat mentafsir, menghadam dan memahami isi kandungan Al-Quran dan hadith melainkan manusia (baca: Ulama'). Ini kerana risalah Islam bukan diturunkan kepada binatang, atau pohon kayu mahupun gunung ganang. Tugas menyebar dan memahamkan manusia kepada risalah Islam ini terbeban kepada bahu manusia (baca: Ulama'). Sebab itu Nabi s.a.w bersabda, "Ulama' adalah pewaris para Nabi" (HR At-Tirmidzi dari Abu Ad-Darda radhiallahu ‘anhu).

Jika agama tidak dibenarkan untuk di'tafsir' oleh manusia kerana bimbang 'kesucian' ajarannya tercemar, siapa lagi yang kita boleh serahkan kepercayaan untuk mentafsir dan memahami urusan agama ini? adakah kita serahkan kepada haiwan atau patung yang tidak boleh berkata-kata?

Hakikatnya kita perlu akur bahawa mahu tidak mahu mesti ada 'manusia' (baca: Ulama') yang bertindak sebagai pengantara, penjelas dan pentafsir dalam urusan agama ini. Cuma persoalan yang mungkin timbul ialah sejauhmana tafsiran Ulama' itu tadi menepati kehendak sebenar Al-Quran dan hadith.

Jika kebimbangan itulah yang menjadi faktor utama maka mengapa tidak anda sendiri mengemukakan tafsiran yang lebih tepat, jika anda merasakan tafsiran pihak lain adalah salah dan tidak menepati kehendak Kalam Allah yang suci?

Sesuatu yang menarik ialah golongan yang menggunakan alasan ini tidak pula mengemukakan sesuatu yang lebih 'asli dan suci' dari apa yang mereka sifatkan sebagai 'tercemar' kerana ia hanya 'tafsiran manusia' (baca: tafsiran Ulama'). UMNO yang lantang menggunakan senjata itu sejak dahulu lagi namun hingga ke hari ini mereka hanya sekadar menjadi 'Pak angguk' dalam Sidang DUN Kelantan ketika pindaan terhadap Enakmen Jenayah Syariah 1993 dibentangkan. Begitu juga pihak-pihak lain yang kini sudah pandai meniru cara UMNO berdolak-dalih dalam isu ini.

Hakikatnya hingga ke hari ini pihak yang mengajukan kebimbangan tadi tidak melakukan apa-apa tindakan pun apatah lagi menzahirkan sebarang hasrat ke arah itu.

Apabila mereka sedar mereka ketandusan hujah dan dalil, mereka beralih kepada fiqh awlawiyat sebagai benteng terakhir. Kononnya suasana belum kondusif dan ia bukan keutamaan mereka buat masa ini. Permainan ini nampaknya menyelamatkan mereka.

Timbul persoalan, benarkah mereka menolak apa yang di sebut sebagai 'tafsiran manusia' (baca: tafsiran Ulama') atau sebenarnya ada udang di sebalik mee??


No comments:

Post a Comment