'Sepanjang dua tiga minggu ini isu bai'ah calon PAS menjadi perhatian media massa. Saya tidak mahu mengulas berkenaan isu hukum kerana saya bukan ahli dalam bidangnya. Lebih-lebih lagi ia bersangkutan maruah dan rumahtangga seseorang, maka biarlah hakim yang menentukannya'.
Ramai yang mengkritik cara PAS melaksanakan bai-ah terhadap calon mereka. Pada saya PAS mempunyai kaedah tersendiri bagi memastikan kelansungan hayat politiknya berjalan tanpa sebarang masalah. PAS mempunyai ramai alim ulama yang tahu batas-batas yang dibenarkan syariat.
Saya cuma berharap jangan ada orang yang jahil berprasangka negatif terhadap PAS atas pelaksanaan bai-ah bagi calon pilihanrayanya. Mereka yang jahil tentang politik Islam menyangka agama sedang dicampur adukkan dengan politik dan lebih buruk lagi apabila orang menganggap isteri di jadikan 'cagaran' dalam perjuangan politik. Tidak kurang ada yang menganggap ini satu tindakan yang tidak demokratik apabila agama dijadikan benteng bagi menghalang hak calon memilih wadah yang dikehendakinya.
Masakan tidak apabila laknat Allah dimasukkan dalam perjanjian taat setia sedangkan yang mereka tahu murka dan redha Allah ialah pada amalan seseorang dan bukan pada wadah politik yang disertainya!
Ini adalah sebahagian gambaran yang mungkin wujud kepada mereka yang jahil dalam politik Islam. Lebih malang kritikan itu banyak datangnya dari mereka yang pernah melafazkan bai-ah taat setia itu! Ini menambahkan lagi kekeliruan masyarakat yang memang jahil tentang politik Islam.
Akibatnya mereka fikir lebih baik mengangkat calon yang tidak menjadikan agama sebagai 'ikrar politik' dan tidak menjadikan keluarga sebagai 'cagaran' politik. Mereka bebas dari 'salah guna agama' kerana tidak menjadikan agama sebagai benteng penghalang seseorang untuk memilih wadah yang diyakininya.
Memilih wadah
Hari ini hasrat rakyat untuk melihat perubahan amatlah tinggi. Rakyat sudah muak dengan penyelewengan dan kebobrokan yang tak kunjung sudah. Rakyat tercari-cari platform yang membolehkan mereka menjatuhkan kerajaan sedia ada melalui jalan demokrasi. Apabila mereka terlalu ghairah dan gelojoh dengan hasrat mereka, maka akibatnya ramailah yang melihat kemenangan sebagai matlamat utama dan berusaha mencapainya walau dengan menggunakan apa jalan sekalipun.
Bagi umat Islam, memilih wadah bukan seperti corak siyasah barat, yang meletakkan matlamat keduniaan sebagai matlamat tertinggi. Meskipun tak di nafikan, kemasalahatan duniawi merupakan perkara penting dalam kehidupan, namun ia bukan matlamat.
Ini berbeza dengan masyarakat bukan Islam yang menjadikan keduniaan sebagai matlamat mereka. Barangkali mereka tidak dapat membezakan antara PAS dan Harapan Baru, dan antara BN dan Pakatan Rakyat. Siapa yang dapat menawarkan yang terbaik buat rakyat, menjanjikan ketelusan, keadilan dan kesaksamaan dan urustadbir yang baik, maka itulah yang akan dipilih.
Namun bagi umat Islam memilih wadah untuk melakukan perubahan perlu seiring dengan keredhaan Allah. Mereka memastikan keadilan dan urustadbir yang baik itu tercapai seiring dengan kehendak syarak. Sebab itulah politik Islam disebut siyasah syar'iyah. Kalau tiada perkara ini umat Islam tidak berbeza dengan orang kafir yang menjadikan matlamat untuk menghalalkan cara. Namun oleh kerana kita berbeza dengan mereka, maka adalah penting untuk kita memahami wadah yang mesti kita pilih dalam membuat perubahan.
Meskipun kita mempunyai matlamat yang sama dari sudut menegakkan keadilan buat rakyat, memberi kemaslahatan kepada negara, menghapuskan rasuah dan penyelewengan, menentang kezaliman dan kebobrokan dan sebagainya namun kita mempunyai adab, peraturan dan displin tertentu yang mesti dipatuhi bagi mencapai matlamat-matlamat murni tadi. Bukan main hentam saja.
Sebab itu umat Islam mesti memahami perbezaan antara parti politik dan jemaah Islam. Kalau orang lihat jemaah Islam itu sebagai parti politik maka mereka tidak melihat adanya keperluan untuk PAS berbeza dengan parti-parti politik yang lain. Lebih baik main ikut rentak semasa, nak lantik Ketua Menteri dari bukan Islam pun boleh, nak jatuhkan Menteri Besar tanpa perlu disabitkan dengan sesuatu kesalahan yang jelas pun boleh, nak lantik wakil rakyat yang berkiblat pada Karl Marx pun boleh, dan nak letak jawatan tanpa sebab yang jelas semata-mata untuk bagi laluan pada ketua dia jadi pemimpin pun boleh.
Wakil rakyat atau 'wakil Allah'?
Disisi demokrasi moden, perkataan wakil rakyat merujuk kepada individu yang di amanahkan oleh rakyat untuk membawa suara dan harapan rakyat ke dewan Parlimen. Wakil rakyat ini akan bertugas menjaga amanah rakyat, menyampaikan hasrat rakyat dan berjuang membela rakyat. Maka dengan sebab itu mereka digelar wakil rakyat.
Apabila wakil rakyat ini mengangkat sumpah memegang jawatan, ikrar taat setia mereka kebiasaannya berkisar tentang ketaatan kepada negara dan tanah air mereka. Negara-negara yang berjiwa patriotik seperti Amerika Syarikat menjadikan negara dan rakyat mereka segala-galanya bagi mereka.
Ini membawa makna mereka tidak akan mengkhianati rakyat dan negara mereka berdasarkan janji dan ikrar yang mereka lafazkan. Bagi sesetengah negara yang meletakkan rakyat sebagai 'tuan' maka hak dan kemahuan rakyat diletakkan sebagai keutamaan tertinggi. Maka rakyat adalah segalanya bagi mereka, bak kata pepatah 'dari rakyat untuk rakyat'.
Kalau kita boleh memahami definisi perkataan wakil rakyat sebagai wakil yang mendukung aspirasi rakyat maka saya rasa tak salah kalau saya katakan calon dari jemaah Islam disebut sebagai 'wakil Allah'.
Perkataan 'wakil Allah' tidak bermaksud manusia yang 'diberi lesen' besar oleh Tuhan untuk memerintah atas nama Tuhan dan mendakwa tindak tanduknya adalah dengan restu Tuhan yang tidak boleh dipersoalkan. Ini seperti sistem pemerintahan Teokratik gereja yang pernah wujud di zaman gelap Eropah suatu masa dahulu.
Sebaliknya perkataan 'wakil Allah' ialah mereka yang mendukung amanah dari Allah untuk melaksanakan segala yang diperintahkanNya untuk menegah segala yang telah dilarangNya berpandukan wahyu dan risalah yang telah diturunkanNya sebagai panduan umat manusia.
Maka yang penting difahami mereka ber-'tuan' kan Allah dan bukan ber-'tuan' kan kepada rakyat.
Meskipun apabila calon-calon dari jemaah Islam ini menyertai pilihanraya mereka tetap dipanggil wakil rakyat, hakikatnya nama itu hanya pada panggilan disudut demokrasi moden sahaja. Dalam pengertian yang sebenar mereka tetap 'wakil Allah' untuk melaksanakan misi menegakkan risalah Allah di atas muka bumi.
Ini perkara penting yang perlu difahami oleh pengundi muslim yang ingin melakukan perubahan. Mereka mesti sedar bahawa wakil parlimen yang dilantik tidak boleh menjadikan rakyat sebagai 'tuan', sebaliknya rakyatlah yang mesti taat dan patuh pada risalah yang telah diwahyukan Allah.
Antara ikrar taat setia dan lafaz bai'ah
Antara yang membezakan di antara sesebuah parti politik dengan jemaah Islam ialah kepada siapa wala' atau 'loyalti' itu diberi. Sebab itu calon yang hendak memikul amanah untuk mewakili rakyat bagi sesebuah jemaah Islam perlu melafazkan ikrar taat setia mereka yang disebut bai'ah. Hal ini amat berkait rapat berkenaan soal kepada siapa ketaatan itu akan ditumpahkan.
Antara urusan 'jual beli' yang paling bernilai buat manusia ialah perjanjian 'jual beli ' dengan Tuhannya.. Allah SWT berfirman:
"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan Syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan (baiah) yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar". [At-Taubah:111]
Dalam ayat ini juga tuhan menyebut tentang baiah. Baiah berasal dari baya'a iaitu jual beli, dimana jualbeli yang dimaksudkan adalah jualbeli orang-orang beriman kepada Allah SWT.
Baiah ialah perjanjian di atas ketaatan, seperti pembaiah memberi janji setia kepada pemimpinnya bahawa ia bersedia menerima segala tanggungjawab yang dipertanggungjawab ke atas dirinya samaada dalam keadaan kuat atau pun lemah, atau dalam keadaan suka ataupun tidak.
Golongan umat Islam apabila mereka beri baiah kepada ketua mereka, lalu diletakkan tangan mereka diatas tangan ketua sebagai bukti kepada perjanjian sepertimana keadaan pembeli dan penjual, dengan demikian jadilah baiah bersalaman tangan antara satu sama lain.
Baiah ialah aqad ( perjanjian ) antara dua pihak, menyerupai aqad yang dimaterai antara penjual dan pembeli. Justeru itu Imam ( pemimpin ) di satu pihak dan Jamaah islamiyyah di satu pihak yang kedua. Sementara Khilafah merupakan “tempat letak”nya baiah .
Baiah juga ialah perjanjian dan perlembagaan antara dua pihak. Pemimpin yang dicalonkan sebagai ketua Negara dan rakyat. Adapun pemimpin berbaiah atas pemerintahan yang berdasarkan Kitab, Sunnah dan nasihat bagi sekelian muslimin. Adapun rakyat pula berbaiah atas ketaatan selama mana berada dalam batas ketaatan kepada Allah dan Rasul.
Baiah adalah sumpah kepada Allah untuk taat setia terhadap perjuangan Islam dan tidak sekali-kali berundur. Ia diamalkan sejak zaman Nabi SAW. Pertamanya adalah bai'ah aqabah ula yang disertai 12 orang-orang Islam dari Madinah. Mereka bersumpah untuk mengamalkan Islam sekembalinya ke Madinah. Baiah kedua berlaku pada tahun berikutnya seramai 73 orang termasuk 2 wanita. Baiah ini meminta mereka mentaati Nabi dan mempertahankan Nabi sebagaimana mereka pertahankan diri dan keluarga sendiri. Manakala baiah ketiga berlaku ketika umat Islam mahu masuk ke Mekah. Apabila mendengar berita Saidina Uthman dibunuh, Nabi mengumpul umat Islam dibawah pohon Ridhwan dan meminta mereka bersumpah untuk tetap masuk ke Madinah walaupun terpaksa berperang dan mati. Namun ada orang-orang munafik yang bersembunyi kerana tidak mahu baiah.
Dizaman Abasiyyah dan Umawiyah, para pemimpin mereka juga mewajibkan baiah kepada tentera Islam dengan menambah ta'liq talak dan memerdekakan hamba. Tujuan sama, supaya umat Islam tidak lagi berundur dari medan jihad. Walaupun sebenarnya apa yang disumpahkan itu tetap menjadi kewajipan walaupun tidak berbaiah, tetapi ia menjadi cara untuk mengukuhkan lagi kesetiaan umat Islam terhadap perjuangannya. Mereka akan lebih gerun untuk melakukan apa-apa. Sekurang-kurangnya kalau mereka tak takut Allah pun, mereka akan takut kehilangan isteri .
Maka kita dapat lihat ia berbeza dengan pertubuhan atau parti yang terasnya adalah kepada individu, kaum atau negaranya. Maka ikrar taat setia mereka kepada orang perseorangan, atau mungkin kepada jalur darah keturunan mereka, atau boleh jadi kepada tanah tumpahnya air mereka.
Suatu hakikat yang pasti ialah mereka yang melafazkan ikrar taat setia pada individu-individu tertentu tidak kekal abadi. Hakikatnya insan datang dan pergi. Berapa ramai yang dahulu menyanjung pengasas revolusi rakyat China Mao Ste Tung? namun hari ini beliau hanyalah 'mumia' kaku yang di abadikan dalam cermin di Medan Tiannanmen, Beijing, China.
Mereka yang berikrar untuk taat setia pada sesebuah negara pun tidak akan kekal kerana negara boleh berubah seperti mana juga manusia. Hari ini mungkin sesuatu negara itu wujud, boleh jadi 100 tahun akan datang negara itu akan lenyap dari peta bumi. Atau boleh jadi benderanya telah ditukar, atau lagu kebangsaannya telah digubah semula, atau perlembagaannya dipinda sehingga merubah identiti sebenar sesebuah negara. Belajarlah dari sejarah dan kita dapat melihatnya.
Mereka yang melafazkan ikrar taatsetia kepada bangsa atau darah keturunannya pun tidak akan kekal lama. Berapa lama keaslian darah keturunannya akan terpelihara? Hari ini dalam dunia yang global perkahwinan silang bangsa telah diterima dan dianggap biasa. Bagaimana pula dengan anak hasil perkahwinan silang bangsa ini? Kepada bangsa ayahnya kah atau susur bangsanya ibunyakah yang akan dilafazkan ikrar taat setia? Saya sendiri adalah berdarah campuran Yaman, Cina dan melayu Pattani. Takkan kepada tiga-tiga bangsa saya lafazkan ikrar taat setia kut?
Mereka yang melafazkan ikrar taat setia kepada rakyat jelatanya juga tidak akan kekal lama. Rakyat boleh berubah dengan kehendak semasa. Dahulu dinasti maharaja Cina adalah dinasti pemerintahan beraja yang terlama dan tertua dalam sejarah namun apabila rakyat mahu membuangnya untuk digantikan dengan Revolusi Merah, maka bendera Komunis Cina berkibar megah menguburkan pemerintahan beraja yang diwarisi ribuan tahun lamanya. BN pun tunggu masa saja, siapa sangka dinasti yang berusia ribuan tahun pun boleh tumbang inikan lagi BN, betul tak?
Mereka yang melafazkan ikrar taat setia pada ideologi juga tidak kekal, kerana ideologi manusia tidak membawa rahmat kepada manusia kerana ia bukan fitrah yang didatangkan dari Allah yang maha esa. Dahulu fahaman sosialis komunis bertapak kukuh di Rusia namun dengan pengaruh perang saraf oleh Amerika Syarikat maka negara itu beransur-ansur beralih kepada kapitalis. Hari ini Rusia mempunyai ramai jutawan, yang dimana ini sangat bertentangan dengan ideologi sosialis anutan mereka yang melarang pemilikan harta persendirian secara berlebihan.
Namun jika kita melafazkan bai'ah taat setia pada Allah dan Rasul maka percayalah, Allah akan memegang janji 'jual beli' kita hingga kita bertemu pada hari kiamat. Allah akan membalas pengorbanan dan ketaatan itu dengan balasan yang tidak terhingga nilainya, mengalahkan dunia dan segala isinya. Hanya Allah jua yang kekal abadi. Kepada Allah jua kita kembali. Cahaya Allah tidak akan dapat dipadamkan oleh sesiapapun.
Inilah nilai yang terkandung dalam bai'ah jemaah Islam berbanding ikrar taat setia yang dilafazkan kepada rakyat, negara, tanah air atau ideologi tertentu.
Namun apabila orang memahami jemaah islam itu sama macam parti politik maka orang pun boleh keluar masuk macam masuk mana-mana pertubuhan dan persatuan. Mereka boleh beralih arah atau beralih angin sekiranya mereka merasakan ia tidak sesuai lagi. Sedangkan jemaah Islam menuntut ketaatan selagimana pemimpinnya tidak melanggarkan arahan Allah dan Rasul.
Kita dapat lihat perbezaan antara hak demokratik disisi undang-undang negara dan hak demokratik disisi nilaian syarak.
Kita mungkin boleh memilih wadah yang kita rasakan sesuai berdasarkan hak demokratik yang ada pada undang-undang negara namun kita tidak mempunyai hak demokratik disisi syarak apabila sesebuah jemaah itu telah meletakkan ketaatan mutlak kepada Allah dan Rasul.
Sepertimana kita juga boleh mengundi sesiapa yang kita rasakan yang terbaik disisi demokrasi tafsiran manusia namun disisi tafsiran syarak, kita tidak boleh mengundi melainkan hanya kepada jemaah yang menjadikan Allah dan Rasul sebagai panduan.
Bentuk dan matlamat ketaatan
Apabila kita sudah memahami kepada siapa wala' atau ketaatan (loyalti) itu di beri maka tugas kita seterusnya ialah untuk mengenalpasti adakah tindakan yang di ambil oleh seseorang wakil rakyat itu memperlihatkan sejauhmana ketaatan kepada Allah dan Rasul....
Adakah boleh kita katakan wala' mereka kepada Allah dan Rasul apabila bai'ah yang mereka beri di rungkai dengan alasan 'kami berpegang kepada semangat kesetiakawanan Pakatan yang telah lama terbentuk'?
Adakah boleh kita katakan wala' mereka kepada Allah dan Rasul apabila bai'ah yang mereka lafazkan dirungkai dengan alasan 'kami memegang amanah rakyat kerana kami dipilih oleh rakyat di atas platform Pakatan Rakyat dan rakyat tidak memilih kami kerana PAS'?
Adakah boleh kita katakan wala' mereka kepada Allah dan Rasul apabila bai'ah yang mereka ikrarkan dirungkai dengan alasan 'rakyat memilih kami kerana manifesto Buku Jingga dan adalah menjadi tanggungjawab kami merealisasikan (menyambung semula) harapan rakyat atas apa yang pernah kami janjikan'?
Adakah boleh kita katakan wala' mereka pada Allah dan Rasul apabila bai'ah yang mereka tumpahkan dirungkai dengan alasan 'kami bertanggungjawab memilih strategi dan jalan yang lebih baik untuk mencapai kemenangan, yang membolehkan kami mencapai tujuan-tujuan murni kami'?
Soal 'loyalti' atau ketaatan bukanlah sesuatu perkara yang boleh di ambil mudah ketika kita memilih wadah dalam melakukan perubahan. Kadang-kadang dalam keghairahan kita untuk menumbangkan pemerintahan yang korup, kita tersalah memilih wadah yang akhirnya hanya menguntungkan kita di dunia, sedangkan di akhirat kita tidak mendapat sedikit pun balasan baik dari apa yang kita kerjakan.
Dalam kita menuju nilai-nilai murni dan urustadbir yang baik dalam pemerintahan, kita harus ingat bahawa tugas kita adalah khalifah yang bertanggungjawab menegakkan 'amr bil makruf wan nahyi alal mungkar', dan konteks yang dimaksudkan oleh 'al-amr bil makruf' tadi bukan semata-mata berkisar tentang isu ketelusan, menyelesaikan masalah perumahan, kesihatan dan pendidikan, mengurangkan beban kemiskinan rakyat, menurunkan harga kereta atau memberi wifi percuma tetapi termasuk dalam takrif 'al-makruf' ialah menegakkan syariat Allah yang mungkin pada pandangan manusia ia soal ritual agama semata-mata.
Begitu juga dengan perkataan 'wan nahyi alal mungkar', dimana konteks yang dimaksudkan dengan perkataan tadi bukan semata-mata berkisar tentang membanteras rasuah dan penyelewengan, mengekang akta-akta zalim seperti Akta Hasutan, OSA atau POTA, atau menentang salahguna kuasa oleh jentera kerajaan dan sebagainya tetapi ia juga merangkumi perkara-perkara yang bagi seorang non-muslim, adalah soal undang-undang agama semata-mata.
Bentuk ketaatan akan menentukan ke arah mana hala tuju sesebuah negara akan dibawa. Jika ketaatan kepada Allah dan rasul dijadikan matlamat, maka negara akan menuju keredhaan Allah s.w.t. Dan hasrat murni ini tidak akan tercapai kecuali dengan bulatan tekad yang dilafazkan oleh seorang 'wakil Allah' melalui sebuah perjanjian yang dinamakan 'bai'ah taat setia'.
No comments:
Post a Comment