Saturday, September 12, 2015

Kongres Rakyat - Deklarasi Shah Alam



DEKLARASI RAKYAT SHAH ALAM

Kongres Rakyat bertemakan MEMBINA MALAYSIA SEJAHTERA dengan ini mengisytiharkan:

1- Bersatu untuk membentuk sebuah Malaysia yang makmur dalam kerangka integrasi nasional dan bersama-sama menggembelingkan tenaga bagi menangani krisis yang sedang melanda negara.

2- Bertindak menyedarkan rakyat ke arah mengembalikan semula tunjang-tunjang sistem ketatanegaraan yang adil dan saksama melalui kerangka Perlembagaan Persekutuan dan mengkaji semula semua undang-undang yang memeras rakyat.

3- Bertindak mewujudkan amalan politik yang tulus dan telus seterusnya mengawal kegiatan politik dan perilaku ahli-ahli politik agar tidak menggugat kestabilan dan keharmonian negara.

4- Menjadikan agenda pendidikan sebagai wahana terpenting ke arah memupuk kesedaran rakyat dalam membuat perubahan sosial, ekonomi dan politik, demi mengelakkan pendekatan yang boleh menghuru-harakan negara.

5- Berusaha sedaya upaya membela golongan rakyat yang terpinggir dari arus pembangunan seperti golongan Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas, pekebun kecil, golongan miskin, golongan yang tidak mampu bekerjaya dan lain-lain.

6- Bertindak mendesak kerajaan mengembalikan sistem pemisahan kuasa antara eksekutif , legislatif dan kehakiman bagi menjamin integriti dan ketelusan dalam urus tadbir negara.

7- Bertindak untuk menggesa kerajaan supaya diwujudkan segera satu badan perunding ekonomi negara yang lebih inklusif, mewakili semua golongan rakyat dan bebas dari pengaruh mana-mana pihak demi untuk menangani krisis ekonomi yang sedang berlaku.

Maka dengan ini, setelah menerima usul-usul dari akar umbi rakyat, mendengar secara langsung pandangan dari seluruh sektor masyarakat dan mengambilkira pandangan tokoh-tokoh masyarakat, Kongres Rakyat mengumumkan pembentukan satu Jawatankuasa Penggubal Pelan Tindakan Rakyat yang akan dipengerusikan sendiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Kongres, dan diuruskan oleh sekretariat. PELAN TINDAKAN ini akan dilancarkan pada 1 Muharam 1437 hijrah nanti

Sumber : Facebook Kongres Rakyat

2 comments:

  1. no 6, kenapa masa bersih tak nak turun. ke after thought

    ReplyDelete
  2. Masa tak mengizinkan...kebetulan sibuk.

    ReplyDelete