Tuesday, September 15, 2015

Identiti atau sikap yang jadi ukuran?

Semalam saya ke Simpang 4 atas beberapa urusan. Namun malang tidak berbau apabila ada satu kemalangan berlaku antara sebuah motosikal dengan sebuah lori. Akibatnya berlaku satu kesesakan jalan yang agak serius. Hampir 10 minit saya terperangkap di dalamnya. Seperti biasa apabila kesesakan berlaku ramai pengguna jalan raya yang tidak sabar akan ambil kesempatan kepada pengguna jalan raya yang lain. Maka jalan yang asalnya dua lorong bertukar menjadi menjadi tiga lorong akibat sikap sesetengah pemandu yang mencelah ke kiri jalan.

Dalam peristiwa semalam ada sebuah proton wira yang dipandu oleh seorang lelaki cina cuba mencelah masuk ke lorong kanan, dan saya pada mulanya tidak beri peluang untuk beliau mencelah masuk. Namun oleh kerana bimbangkan keadaan yang sesak menjadi lebih teruk, apatah lagi kenderaannya hampir bergesel dengan kenderaan saya, maka terpaksalah saya merelakan lelaki Cina itu tadi mencelah masuk semula ke lorong kanan walaupun dalam hati saya amat marah dengan tindakannya itu.

Saya rasa pemandu lain pun pernah melalui pengalaman seperti ini. Saya juga telah berkali-kali melalui pengalaman seperti itu. Walaupun saya sering berdepan dengan gelagat pemandu berbangsa Cina, namun tidak pernah sama sekali saya memarahi atau menyumpah pemandu itu kerana dia itu bangsa Cina, tetapi kerana sikap tamaknya dan tidak menghiraukan hak pemandu lain!!bukan kerana dia Cina!!! Pada saya, ini adalah berkenaan dengan soal sikap dan atitude pemandu, bukan soal bangsanya.

Saya ingin tegaskan sekali lagi, walaupun berkali-kali di aniaya pemandu berbangsa Cina, saya takkan kata "celaka punya orang Cina!!"


Apabila melayu pijak melayu

Ada seorang guru yang apabila pelajar nakalnya yang terdiri dari orang melayu membuat onar dan biadab dalam kelas, maka guru itu melihat perbuatan itu sebagai masalah peribadi. Apabila guru ini meluahkan masalah pelajarnya kepada rakan setugas, dia biasanya akan berkata "Kenapa Aiman anak Pak Abu tu jahat sangat!!, atau " Kenapa si Jalil yang botak tu biadab sangat!!. Namun apabila pelajar nakalnya yang terdiri dari bangsa lain seperti Ramasamy dan Muniandy atau Ah Chong dan Ah Hock maka ayat yang diucapkannya ialah "kenapa anak-anak hindu ni kurang hajar sangat!! atau "kenapa budak-budak Cina ni susah dengar kata!!, maknanya dengan kata lain ketika itu dia melihat masalah pelajarnya sebagai masalah perkauman dan bukan masalah peribadi.

Pendek kata, untuk melepaskan geram pada Aiman dan Jalil tidaklah sampai untuk mengheret ibubapa, saudara mahupun rakan-rakan mereka tetapi untuk melepaskan geram pada pelajar berbangsa lain seperti Muniandy dan Ramasamy maka seluruh keturunannya terkena panahan kemarahan guru itu tadi.

Sebenarnya itu adalah gambaran yang sengaja saya reka untuk menceritakan tentang seorang guru yang berkelulusan dari pelbagai institusi pengajian tinggi samada dari dalam dan luar negara, terutamanya di timur tengah. Dengan kelulusan dan kelayakan yang beliau miliki, beliau ditugaskan ke sekolah agama berasrama penuh yang terkenal dengan kemasyhurannya sebagai institusi pendidikan tanah air. Boleh dikatakan sejak dari zaman menuntut disekolah hinggalah ke saat tempoh perkhidmatannya beliau hanya dilingkungi oleh satu kaum sahaja, yakni melayu.

Namun suatu hari guru ini telah ditamatkan khidmatnya dan ditukar keSekolah Menengah Kebangsaan biasa yang pelajarnya terdiri dari pelbagai kaum. Akibatnya beliau hanya menjadi guru biasa dan terpaksa mengendalikan kelas yang pelajarnya terdiri dari pelbagai kaum. Guru ini tidak dapat membiasakan diri dengan suasana multikultural berbanding suasana monokultural yang di alaminya sejak zaman menuntut hinggalah ke zaman perkhidmatannya di sekolah agama berasrama penuh.

Akibatnya beliau bersikap bias ketika mengendalikan masalah moral pelajar-pelajarnya. Suasana monokultural yang dilaluinya menyebabkan beliau hanya dapat membezakan antara sikap individu dengan sikap bangsa apabila ia melibatkan bangsanya sendiri. Namun apabila beliau berdepan dengan suasana multikultural beliau akan melihat suasana yang berlaku dari jendela perkauman dan akibatnya beliau melakukan generalisasi dalam tindakan dan pemikirannya. Ketinggian daya intelektual  dan latar pencapaian cemerlang yang dimiliki oleh guru ini tidak menjamin beliau untuk tidak bersikap rasis.

Begitulah gambaran yang cuba saya sampaikan dengan suasana yang berlaku hari ini. Hakikatnya kita melihat sesuatu dari jendela perkauman. Puncanya, sebab kita selesa berada dalam suasana monokultural dibandingkan dengan suasana multikultural.

Benarkah kita begitu marah kerana orang Cina telah memijak gambar pemimpin melayu dan 'Ulama tersohor bertaraf Tuan Guru'?

Ya, ramai yang menjawab dengan penuh semangat berkobar-kobar, kita mesti bersatu di atas semangat melayu. Bersatu mempertahankan maruah orang melayu. Akhirnya dijajanyalah keseluruh negara bahawa orang Cina dah berani pijak orang melayu!!!

Lalu sebagai tindakbalas bagi mengajar kebiadapan bangsa Cina itu, orang melayu perlu menunjukkan kekuatan bangsa Melayu dengan menganjurkan satu perhimpunan yang kononnya sebagai solidariti ke atas penghinaan terhadap pemimpin utama melayu dan Ulama tersohor gerakan Islam itu.

Hakikatnya kita marah kerana yang melakukannya adalah orang Cina, namun kita senyap sunyi kalau yang memijak itu adalah bangsa kita sendiri.





Apabila kita tunjukkan ada budak melayu yang menghina Ulama melayu dan tokoh pemimpin gerakan Islam tempatan, kita kata "biasalah tu budak-budak UMNO yang nakal. Bukan semua pemuda UMNO bersikap begitu, banyak di antara mereka yang bersopan santun dan menghormati orang lain. Takkan kerana limau sebiji yang busuk, habis busuk satu bakul".

Kita akan menambah lagi, "Orang melayu terkenal dengan kesantunannya, namun tak dinafikan ada juga budak-budak yang tak berakhlak dan melanggar tatasusila. Takkan ada semua manusia sempurna dan baik. Kita bangsa melayu pun ada kelemahan dan kekurangan. Alah, pedulikan je lah budak-budak tu....anggap saja mereka budak-budak yang tak matang. Takkan kerana mereka kita nak sangka buruk sesama bangsa kita, nak bergaduh sesama bangsa kita".

Saya rasa itulah antara jawapan yang akan di jawab oleh orang yang tebal dengan sikap perkaumannnya. 

Saya ingin bertanya, kenapa kita tak jawab saja, " inilah akhlak orang-orang melayu yang biadab!! Berani memijak gambar pemimpin gerakan Islam dan tokoh Ulama yang banyak berjasa kepada masyarakat!! Memang orang melayu tak guna!! Orang melayu kurang hajar!! Orang melayu dan hilang akhlak dan tatasusila!!! 

Kenapa tak pukul sahaja semua 'sama rata'??

Mengapa tidak kita anjurkan saja satu perhimpunan besar-besaran bagi memprotes sikap orang melayu yang makin lama makin hilang jatidiri dan tatasusilanya!!!

Hakikatnya kita rasional dan bertimbangrasa apabila yang melakukannya adalah bangsa kita namun kita tidak boleh rasional apabila yang melakukannya adalah dari bangsa lain!!


Bahaya apabila identiti jadi ukuran, dan bukan sikap dan perlakuan 

Saya amat bimbang dengan trend berfikir secara perkauman. Mereka menilai sesuatu berdasarkan pada pelakunya dan bukan pada sikapnya. Akibatnya mereka tidak melihat sesuatu yang sepatutnya dilihat sebagai suatu ancaman atau penghinaan, hanya kerana kita di hijab dengan faktor ras bangsa.

Di Malaysia, perkara yang melibatkan penghinaan maruah Islam hanya di halakan kepada bangsa selain melayu, dan bukan dari kalangan melayu. Inilah yang berlaku apabila faktor bangsa saja diambil kira dan bukan berdasarkan kepada sikapnya!

Oleh sebab itu apabila orang melayu yang melakukan penghinaan maka perkara itu tidak disedari dan dibiarkan begitu sahaja.

Kita masih ingat bagaimana Menteri Belia dan Sukan, Khairi Jamaluddin pada Jun lalu dengan 'angkuh' mengatakan "Dalam perbuatannya, hanya Tuhan saja yang akan menghakimi beliau. Bukan kamu. Jangan ganggu atlet kami," katanya ketika mempertahankan kritikan dari masyarakat terhadap pemakaian atlet gimnas negara yang dikatakan mencolok mata. 



Tidakkah ini satu tindakan yang keterlaluan apabila masyarakat yang cuba menjalankan tanggungjawab amr bil makruf wan nahyi alal mungkar ditegur pula agar jangan mengambil alih 'kerja Tuhan'. Tidakkah ini satu tindakan yang angkuh apabila masyarakat yang berhasrat untuk melihat terlaksananya cara hidup Islam disuruh diam dan jangan mengganggu urusan beliau dan para atletnya? Tidakkah ini satu penghinaan apabila pencapaian atlet lebih diutamakan berbanding keredhaan Allah s.w.t??

Namun saya tidak mendengar ada orang yang ingin melakukan perhimpunan secara besar-besaran untuk mendesak Khairi Jamaluddin meminta maaf atas kenyataannya yang meletakkan kehendak manusia mengatasi batas-batas Islam.

Kita juga masih ingat bagaimana Menteri di Jabatan Perdana Menteri mengkritik dan menegur pihak Lembaga Penapisan Filem (LPF) agar tidak berfikiran sempit. Malah beliau menyifatkan garis panduan itu sebagai 'merepek' kerana industri kreatif seperti drama dan filem hanyalah lakonan semata-mata. Maka untuk itu beliau menggesa agar LPF mengkaji semula garis panduan penapisan bagi penerbitan filem dan drama. 



"Kita tak boleh berfikiran sempit, kalau semuanya tak boleh takkan nak bercakap dengan bantal?", itu adalah ucapannya ketika ditemu ramah oleh wartawan Mstar online, penghujung Julai lalu. 

Tidakkah anda rasa ini satu kenyataan yang biadab? Saya rasa kenyataan sebegini adalah lebih menghina jika dibanding dengan memijak gambar seorang pemimpin tertentu. 

Ini kerana mempertikaikan hak Allah adalah penghinaan terbesar dan tidak ada lagi penghinaan yang lebih besar lagi dari itu. Sedangkan memijak foto pemimpin hanyalah merupakan maruah peribadi pemimpin itu sahaja. Hak dan maruah Allah adalah lebih besar berbanding hak dan maruah mahkluk.  Ini perkara yang kita kena ingat. 

Namun banyak dari peristiwa penghinaan ke atas Islam ini dibiarkan begitu sahaja hanya kerana kita menilai mereka berdasarkan ras bangsa dan identiti. Tetapi apabila gambar Alvin Tan mengenakan tatu kalimah Allah di paha beliau maka bangkitlah pemuda UMNO menuntut kerajaan agar beliau diekstradisi ke Malaysia secepat mungkin!!

Saya katakan kita memang patut marah apabila ada manusia menghina agama Islam. Namun kita kena ingat di Malaysia yang menghina Islam bukan sahaja orang bukan Islam, malah penghinaan itu datang dari orang Islam sendiri malah yang lebih mengecewakan ia datang dari pemimpin kerajaan sendiri. Semuanya patut menerima balasan yang setimpal dengan penghinaan mereka.

Sepertimana kita juga patut marah kepada individu yang menghina maruah individu yang lain, kerana manusia ada maruah yang mesti dihormati. Namun yang jadi persoalan sejauhmana penghinaan yang dilakukan keatas invidu tertentu itu adalah penghinaan terhadap bangsa yang diwakili oleh individu berkenaan??    


Kewarganegaraan sebagai identiti, bukan warna kulit.

Kenapa kita melihat masalah yang dilakukan oleh bangsa kita sebagai masalah peribadi manakala masalah yang dilakukan oleh bangsa lain dilihat sebagai masalah perkauman?

Jawapannya ialah kerana kita tidak dapat melihat perbezaan ketara antara kita dengan pelaku masalah, atau dengan kata lain kita melihat mereka adalah sebahagian dari 'orang kita'. 

Oleh kerana mereka adalah sebahagian dari diri kita juga, maka kita tidak menjadikan masalah identiti sebagai perkara utama. Maka kita dengan mudah menilai pelaku masalah dari sudut sikap dan perlakuannya sahaja. 

Saya terbaca artikel dari Calgary Anti-Racism Education (atau ringkasannya CARED) tentang bagaimana keengganan pelajar-pelajar di Kanada yang terdiri dari pelbagai kaum untuk memperkenalkan diri mereka melalui ciri-ciri budaya (yakni bahasa, pakaian, makanan dan adat istiadat) yang mereka warisi dari keturunan mereka. 

Negara Kanada sepertimana juga negara-negara maju yang lain terdiri dari rakyat berbilang kaum, sekalipun jumlah mereka amat kecil jika dibandingkan dengan warga kulit putih. Kebanyakan imigran ini datang dari berbagai negara seperti arab, India, jepun dan sebagainya. Mereka menetap disini dan menjadi warga Kanada seadanya. 

Ceritanya bermula apabila aktivis berkenaan bertugas mengendalikan sebuah pertandingan melukis poster  di sebuah sekolah untuk pelajar menengah rendah sebagai sebahagian dari  program 'Students For Change' anjuran mereka. Mereka meminta pelajar di sekolah berkenaan untuk melukis suatu poster yang menggambarkan budaya mereka secara terperinci. Aktivis berkenaan memberi garis panduan bagaimana isu itu akan dikupas, apakah bentuk kajian yang mereka perlu lakukan dan bagaimana mereka mahu berkongsi idea yang mereka fikirkan. Diharap dengan pembentangan itu pelajar-pelajar dapat mengenali dengan lebih mendalam tentang asal usul keluarga, bangsa dan kebudayaan mereka.

Namun apa yang menarik ialah apabila seorang pelajar berkulit putih mengangkat tangan dan bertanya, "bagaimana jika anda tidak mempunyai budaya yang tertentu?", manakala seorang pelajar bukan kulit putih pula mengajukan soalan, "bagaimana pula jika anda tidak mahu bercakap tentang soal budaya anda?", katanya yang merujuk kepada diri mereka sebagai jawapan kepada pembentangan yang diminta.

Oleh kerana aktivis ini sedang meneliti tabiat rasisme yang wujud dalam diri pelajar-pelajar sekolah itu maka mereka dapati soalan itu bukan satu bentuk penolakan hasil dari sikap peribadi pelajar itu (seperti malas, atau tiada idea mengenainya), sebaliknya ia adalah perlambangan sikap pelajar itu yang enggan bercakap soal ciri-ciri kebudayaan khusus mereka berdasarkan keturunan mereka.

Aktivis itu turut mendapati sebahagian pelajar-pelajar bukan kulit putih enggan menjawab mengapa mereka enggan untuk bercerita tentang kebudayaan kaum mereka. Mereka sangat tidak selesa dengan soalan yang berkisar tentang identiti kaum mereka.  

Apabila ditanya mengapa anda menjawab 'tiada budaya', seorang pelajar kulit putih menjelaskan bahawa beliau memang membesar disini, ibu bapanya berasal dari sini dan rasanya beliau telah menjawab soalan aktivis itu tadi. Disebalik itu, beliau merasakan bahawa jika pengenalan dirinya sentiasa diikat dengan imej bangsa dan kebudayaannya, maka beliau bimbang personaliti dirinya akan dinilai berdasarkan kepada kebudayaan serta ras bangsa yang diwakilinya. 

Aktivis itu juga mendapati bahawa pendekatan pendidikan multikultural tidak berjaya disini kerana mereka telah mewujudkan satu persekitaran monokultural. Oleh sebab itu mereka cukup sekadar menisbahkan diri mereka sebagai 'warga Kanada'. 



Sebenarnya apabila kita mewujudkan persekitaran monokultural, kita sebenarnya merapatkan jurang perbezaan antara satu sama lain. Kita sedar kita tidak boleh mengubah warna kulit, namun kita boleh mengubah bahasa kita, selera kita, budaya kita, penampilan kita dan kebudayaan kita. Apabila suasana monokultural terbentuk, maka orang tidak melihat masalah identiti sebagai perkara utama. Akhirnya yang akan membezakan antara satu sama lain ialah sikap dan perlakuan masing-masing. 

Maka orang kulit putih tidak ada masalah untuk melihat gambar pemimpin mereka yang korup dipijak oleh warga kulit hitam kerana mereka tahu yang dipijak itu ialah sikap korup yang ada pada pemimpin itu dan bukan identiti bangsa yang diwakili oleh pemimpin kulit putih itu. 

Di Malaysia, kita masih meraikan suasana multikultural. Setiap kaum dan bangsa kekal dengan identiti dan kebudayaan masing-masing. Akibatnya negara kita masih menilai seseorang berdasarkan keterikatannya pada ras bangsa dan kebudayaannya. Meskipun kerajaan cuba mendidik rakyat agar menjauhi sikap rasisme, hakikatnya matlamat ini tidak akan tercapai tanpa mewujudkan suasana monokultural dalam erti kata yang sebenar. 

Setelah berpuluh puluh tahun kita menyeru kepada perpaduan nasional, kita masih gagal meruntuhkan tembok perkauman di antara kaum di Malaysia. 

Sepatutnya kaum minoriti di Malaysia 'menyerapkan' diri kepada identiti bangsa majoriti. Mereka mesti menggunakan bahasa kebangsaan, atau memperlihatkan ciri-ciri kebudayaan bangsa majoriti agar mereka tidak dinilai berdasarkan identiti mereka semata-mata. Apabila suasana monokiltural wujud, kita hanya menilai seseorang berdasarkan kepada perilaku dan tindakannya, dan bukan kepada identiti kaum yang diwakilinya. 




   

No comments:

Post a Comment