Thursday, September 24, 2015

Perutusan Eidul Adha 1436 Presiden PAS

Allah SWT berfirman di dalam Al-Quran :

"Dan Kami jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin Makkah itu) sebahagian dari syiar ugama Allah untuk kamu; pada menyembelih unta yang tersebut ada kebaikan bagi kamu; oleh itu sebutlah nama Allah (semasa menyembelihnya) ketika ia berdiri di atas tiga kakinya maka apabila ia tumbang (serta putus nyawanya), makanlah sebahagian daripadanya, dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta. Demikianlah Kami mudahkan dia untuk kamu (menguasainya dan menyembelihnya) supaya kamu bersyukur." (Surat Al-Hajj, ayat 36)
Selamat Hari Raya Eidul Adha kepada seluruh ummat Islam, khususnya buat para pendokong dan penyokong PAS. Marilah bersama kita beringat, bahawa hari raya bagi ummat Islam, bukan sahaja makan minum dan berpakaian, tetapi lebih istimewa ia berkait dengan ibadah penting dan peristiwa besar kepada ummat Islam.

Kita sudah pun meraikan Eidul Fitri bersempena dengan ibadah puasa Ramadan yang besar hikmat dan fadilatnya, serta peristiwa Nuzul Quran dan lembaran sejarah yang besar seperti Badar dan lain-lain yang memberi kemenangan kepada ummat Islam.

Kini pula kita meraikan hari Eidul Adha yang berkait dengan ibadah haji dan perisytiharan Al-Quran disempurnakan, seterusnya peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim AS yang ikhlas beribadah hanya kepada Allah dan menentang perkara yang syirik, walaupun ianya didukung oleh kuasa besar dunia paling kaya, kuat dan zalim di zamannya, akhirnya Allah memberi kemenangan kepada Islam.

Peristiwa ini dihayati pula oleh kalangan Ansar (para sahabat) dari Madinah yang berbai’ah di Aqabah dalam musim haji, menyatakan keimanan, kesetiaan dan bersedia untuk berkorban apa sahaja bagi menegak dan mempertahankan Islam di tengah kuasa-kuasa besar dunia dan seluruh dunia di zamannya. Akhirnya mencapai kemenangan dan Islam menjadi kuasa besar tunggal yang memimpin dunia dengan adil.

Marilah kita hayati Eidul Adha kali ini dengan mengambil iktibar daripada petunjuk di atas, demi kemenangan dunia dan akhirat.

"BERISTIQAMAH HINGGA KEMENANGAN"

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
09 Zulhijjah 1436H / 23 September 2015M

No comments:

Post a Comment