KUALA LUMPUR: Lebih 10 badan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis terhadap akhbar ‘The Herald - The Catholic Weekly’ berhubung tindakan menggunakan perkataan Allah dalam edisi bahasa Malaysia terbitannya, semalam.
Wakil NGO berkenaan adalah dari Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Permuafakatan Ummah (Pewaris) dan Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) hadir membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, kira-kira jam 3 petang.
Selain melahirkan rasa tidak puas hati, laporan polis itu bertujuan meminta polis menjalankan siasatan terperinci berhubung isu sensitiviti berkenaan terutama mengenal pasti motif atau agenda sebenar pihak berkaitan yang dianggap cuba menggugat keharmonian negara ini.
Setiausaha Agung PPIM, Datuk Dr Ma’amor Osman, berkata pihaknya bimbang sekiranya ada anggapan bahawa institusi kehakiman negara menghina Islam berikutan keputusan perbicaraan isu berkenaan dilakukan seorang hakim yang bukan Islam.
“Kami (PPIM) turut bertindak mengikut semangat Rukun Negara pertama iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan di mana tuhan itu sebagai istilah umum dalam agama masing-masing dan Allah adalah tuhan untuk umat Islam yang dikenali melalui sifat-sifatNya tersendiri.
“Berikutan itu, sebarang pihak tidak mempunyai hak untuk mencabulnya dengan merujuk Allah sebagai tuhan mereka dengan sifat-sifat yang bertentangan denganNya,” katanya di sini, semalam.
Menurutnya, isu seumpama itu boleh mengganggu ketenteraman umat Islam dan menyebabkan negara menjadi kucar-kacir terutama perbalahan agama yang sukar untuk dileraikan.
No comments:
Post a Comment