Sunday, February 28, 2010

Royalti Minyak Kelantan: 2 ADUN BN Sertai Taklimat Khas

Majlis Taklimat Tuntutan Royalti Petroleum ADUN-ADUN dan juga Ahli Parlimen Negeri Kelantan di Bilik Gerakan Negeri yang telah diadakan oleh Kerajaan Negeri Kelantan petang tadi berjalan dengan lancar.

Kehadiran 2 orang ADUN UMNO/Barisan Nasional iaitu ADUN Nenggiri, YB Mat Yusoff bin Abd Ghani dan juga ADUN Paloh, Datuk Norzula Mat Diah turut dipuji ADUN-ADUN, Ahli Parlimen-Ahli Parlimen dan tetamu Kerajaan Negeri Kelantan yang hadir kerana berani memenuhi jemputan dan juga berani tampil bagi mendapatkan maklumat dari ke 2-2 belah pihak dalam isu Tuntutan Royalti Minyak Kelantan.

Majlis Taklimat dimulakan lebih kurang jam 2:40 petang. antara yang memberikan Taklimat kepada semua yang hadir ialah YB Tan Sri Abd. Aziz bin Abd. Rahman (Antara yang terlibat dalam menggubal Akta PDA), YB Tuan Nik Saghir bin Nik Ismail (Bekas Ketua Jabatan Undang-Undang Petronas), YB Tuan Tommy Thomas (Peguam) dan YB Dato' Haji Husam Musa (EXCO Kerajaan Negeri Kelantan)

Bekas Ketua Jabatan Undang-Undang Petronas, YB Tuan Nik Syaghir Nik Mohd Nor (gambar bawah) dalam taklimatnya melahirkan rasa dukacita apabila ada pemimpin menafikan hak Kelantan ke atas Royalti Minyak.
Beliau menganggap pemimpin-pemimpin terbabit telah mentafsir undang-undang tanpa melihat kepada maksud dan tafsiran sebenar Akta Kemajuan Petroleum 1974 (PDA).

Akta tersebut telah menyebut dengan jelas perkataan On-Shore iaitu daratan sehingga 3 batu nautika (diukur pada paras surut air laut) dan Off-Shore (perairan negeri/laut lepas).

"Saya merasa amat hairan mengapa mereka-mereka ini termasuk yang bergelar Professor di Universiti tidak merujuk kepada perkataan tersebut. saya cukup sedih dengan tindak tanduk mereka yang cuba mengelirukan rakyat, sedangkan pada tahun 1975, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohamad Nasir telah menandatangani 1 perjanjian memberi hak kepada Petronas untuk kerja-kerja carigali minyak di kawasan On-shore dan juga Off-Shore", katanya dalam taklimatnya.

Nik Syaghir berkata, kesanggupannya menjelaskan perkara sebenar berkenaan dengan Tuntutan Royalti Minyak Kelantan adalah semata-mata untuk menegakkan kebenaran setelah ada pihak yang bertindak mengelirukan rakyat dalam isu berkenaan.

Beliau yang juga pernah berkhidmat sebagai Pegawai Undang-Undang Perbendaharaan Negara dan Jabatan Peguam Negara memberitahu, sebelum PDA digubal dan ditandatangani, Kerajaan Sabah dan Sarawak sudah pun menandatangani perjanjian dengan Shell.

Ketika itu, Shell dikehendaki membayar Royalti kepada Sabah dan Sarawak sebanyak 8 hingga 12 peratus mengikut jarak lokasi carigali dengan pantai.

"Mengambil kira perkara tersebut, saya yang pada ketika itu dipertanggungjawab untuk merangka draf mengenai PDA telah mengambil jalan tengah dengan memutuskan bahawa Petronas perlu membayar 10% Royalti dari setiap hasil carigali yang diperolehi dimana-mana negeri dan ianya perlu dibahagi 2 dari 10% tersebut, 5% kepada pusat dan 5% lagi kepada negeri.

"Saya masih ingat lagi kata-kata Tun Razak apabila saya mengajukan soalan - "adakah apa-apa perbezaan dalam perjanjian antara negeri-negeri termasuk Sabah dan Sarawak yang mahu digubal dan ditandatangani?

Kata Tun Razak - "Kita tidak mahu ada keistimewaan tertentu dalam PDA, tidak ada perbezaan antara mana-mana negeri. kesemua negeri mempunyai hak yang sama".

Itu kata Tun Razak berkenaan dengan keistimewaan di bawah PDA dan jelas tidak ada keistimewaan sejak dari awal lagi seperti digambarkan pihak tertentu", ujarnya.
Bekas Peguam Kanan di Jabatan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman (gambar atas) pula menegaskan bahawa pembayaran Royalti kepada Negeri tidak menggunakan kaedah 3 batu nautika seperti yang diwar-warkan pemimpin yang mewakili Kerajaan Pusat sekarang.

Pembayaran yang dibuat adalah berdasarkan kepada istilah On-shore (daratan) dan Off-Shore (perairan) serta tidak berbangkit sama sekali kaedah 3 batu nautika.

"Kalau ada pendapat menyebut Royalti hanya dibayar apabila carigali dijalankan kurang 3 batu nautika, itu pendapat yang salah. Kerajaan pusat, Negeri, Sabah dan Sarawak semua mendapat 5% tidak kira dilokasi mana carigali dilakukan.

Tidak benar sama sekali ada perbezaan Royalti di antara Sabah dan Sarawak dengan Negeri di Semenanjung dalam soal ini", ujarnya.

Peguam Kerajaan Negeri Kelantan, Thomas pula menjelaskan biar pun isu Royalti diketengahkan ke mahkamah bagi mendapat keadilan, Kerajaan Negeri atau mana-mana pihak masih boleh untuk memperkatakan isu berkenaan dan tidak timbul isu "subjudice".

Katanya, tidak ada subjudis kepada mahkamah dalam isu berkenaan biar pun hakim belum membuat apa-apa keputusan kerana sistem kehakiman di Malaysia tidak mengamalkan sistem "Juri", apabila mahkamah tidak mengamalkan sistem "juri", maka tidak akan timbul isu "subjudis".

"Ini sama seperti berlaku di Perak baru-baru ini. Isu berkenaan diperkatakan secara meluas dalam ceramah, forum dan seminar, begitu juga dengan isu perbicaraan kes DSAI, semua pihak bebas bercakap dan melaporkan didalam mana-mana media, mana ada subjudice?" ujarnya.
Sementara itu EXCO Kerajaan Negeri Kelantan Dato' Haji Husam Musa pula berkata, Kelantan akan menggunakan rundingan bagi menuntut Royalti manakala mahkamah merupakan jalan terakhir sekiranya semua rundingan tidak membuahkan hasil.

Bagaimanapun, kita akan mendapatkan pandangan semua ADUN-ADUN dan Ahli Parlimen-Ahli Parlimen Negeri Kelantan dahulu sebelum kita membuat apa-apa keputusan dan tindakan.

"Ini urusan besar, Negeri ada Dewan Undangan Negeri (DUN) dan sebenarnya kuasa memberi hak kepada Petronas adalah DUN dan bukannya kuasa Kerajaan Negeri.

Mengikut Perlembagaan Negara, kuasa ini adalah kuasa DUN sama ada mahu menerima pakai Akta Petroleum atau yang lain-lain. Oleh kerana itu, sekiranya Dewan Undangan Negeri (DUN) memutuskan sesuatu perkara, ianya akan menjadi lebih kuat".

Semua wakil-wakil rakyat, Anggota Parlimen, Penyelia Dun dan Parlimen termasuk 2 ADUN UMNO/BN telah mengikuti taklimat khas petang tadi.

ADUN Paloh, YB Dato' Norzula duduk bersebelahan dengan YB Haji Abdul Fatah (Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan & NGO Negeri Kelantan)
ADUN Nenggiri mengajukan soalan kepada Peguam Tommy Thomas berkenaan dengan Akta Darurat 1969

Sumber - :: Selamat Datang @husammusa.com

No comments:

Post a Comment