Sunday, October 31, 2010

Saifuddin: Bahang pusat tak sampai ke cabang

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution berkata peratusan keluar mengundi yang rendah pada hari pertama pemilihan parti, antaranya mungkin disebabkan oleh bahang kehangatan pemilihan jawatan kanannya tidak sampai ke peringkat cabang.

"Apa yang berlaku sekarang tidak menggambarkan seperti mana pemilihan di peringkat cabang dahulu," kata Saifuddin ketika ditanya sebab-sebab berlakunya fenomena itu.


Semalam, semakan Malaysiakini mendapati, daripada sembilan cabang yang mengadakan pemilihan jawatan dalam majlis pimpinan pusat PKR, peratusan keluar mengundi amat sedikit.

Contohnya, di Pokok Sena, daripada 314 anggota, hanya 24 orang sahaja yang hadir mengundi.

Ketika dihubungi Malaysiakini petang ini, Saifuddin menjelaskan, setakat semalam, hanya 15 hingga 20 peratus sahaja anggota parti itu yang turun memilih calon-calon yang bertanding.

Menurutnya, jika trend ini berterusan, mungkin sasaran 75,000 anggota - seperti semasa pemilihan di peringkat cabang sebelum ini- terlibat dalam pemilihan sukar dicapai.

Sementara itu, Saifuddin juga berpendapat, fenomena tidak keluar mengundi itu juga mungkin berlaku kerana pemilihan di peringkat cabang baru sahaja tamat.

Hanya aduan kelewatan
"Jadi, mobilisasi (supaya keluar mengundi) kena dibuat dua kali," jelasnya yang juga ahli parlimen Machang.

Sehubungan itu, Saifuddin menyeru kesemua 400,000 anggota parti itu menunaikan hak dan tanggungjawab mereka.

"Kita (sekretariat) sudah sediakan yang terbaik. Jadi, saya harap mereka turun beramai-ramai mempraktikkan demokrasi melalui sistem 'satu ahli, satu undi' yang diperkenalkan ini," katanya.

Ditanya tentang aduan rasmi yang diterima setakat ini, Saiffuddin berkata, pihaknnya baru menerima beberapa aduan berhubung kelewatan memulakan pengundian.

Sementara itu, semakan Malaysiakini setakat jam 3 petang ini, peratusan keluar mengundi bagi memilih pucuk pimpinan parti masing kurang memuaskan.

Di cabang Kuantan, difahamkan baru 100 daripada 1,400 pengundi hadir melaksanakan tanggungjawab mereka. Manakala di Seremban sebanyak 110 dari 2,800 berbuat demikian.

Di Teluk Kemang pula setakat jam 12.30 tengah hari tadi, difahamkan seramai 70 daripada kira-kira 2,000 pengundi, telah membuat pilihan mereka.

Beberapa pemimpin cabang berpendapat perkara itu disebabkan anggota PKR yang rata-rata berpendapatan rendah di luar bandar masih terpaksa keluar bekerja pada hari ini.

No comments:

Post a Comment