Timbalan Pengerusi Lembaga Amanahnya, Datuk Abu Bakar Chik berkata, objektif penubuhan dana itu untuk membantu SAR dalam usaha melahirkan para ulama dan petugas parti.
Ini, katanya kerana walaupun negara telah lebih setengah abad mencapai kemerdekaan tetapi urusan pendidikan Islam masih menjadi tanggungjawab rakyat.
Menurutnya, tidak ketinggalan kedaifan prasarana SAR serta tidak ada pembelaan terhadap sekolah pondok.
Justeru, ujarnya dana itu juga bertujuan membantu institusi pendidikan rakyat merangkumi keperluan prasarana dan pengurusan di samping memberi bantuan kebajikan guru dan pelajar serta pelaksanaan program berorientasikan pendidikan.
“Dana Pendidikan PAS ini akan dikawal selia oleh Lembaga Pemegang Amanah (LPA) yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden PAS sementara pengurusannya diamanahkan kepada Lembaga Pengurusa Dana (LPD) yang dianggotai oleh profesional berkelayakan di dalam parti,” ujarnya pada sidang media di sini, hari ini.
Katanya, memulakan langkah bagi pengumpulan dana, satu program dengan konsep makan malam bersama Mursyidul Am dan Presiden PAS akan diadakan pada 29 Januari depan di Shah Alam.
“Kami mensasarkan untuk mendapat sumbangan daripada syarikat-syarikat korporat serta para penyumbang untuk mengumpul RM1 juta bersempena dengan program makan malam itu,” ujarnya yang turut disertai pengarah program, Dr Azman Ibrahim.
Tambahnya, dengan dana RM1 juta yang diizinkan Allah dapat dikumpulkan dengan sokongan dan dukungan para penyumbang, LPD akan mula mengorak langkah bagi melaksanakan pelan tindakan ke arah merealisasikan objektif yang digariskan.
"Kepada Allah kami berserah dan memohon semoga diberkati setiap usaha dan sumbangan yang disumbangkan demi untuk kebaikan bersama," ujarnya yang juga Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat.
No comments:
Post a Comment