Monday, December 6, 2010

PRU-13: BN belum pasti boleh menang dua pertiga, kata Ku Li

Ahli politik veteran Tengku Razaleigh Hamzah menyifatkan peluang Barisan Nasional (BN) untuk memperoleh kemenangan dua pertiga dalam pilihan raya umum ke-13 sememangnya “sukar” kerana terpaksa berhadapan dengan pengundi semasa yang sudah banyak berubah citarasa.
Bulan lalu bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata BN boleh memperoleh balik satu dua negeri tetapi kemungkinan tidak majoriti dua pertiga di Parlimen.
Justeru Tengku Razaleigh (gambar) mengingatkan BN yang mengadakan konvensyen sehari semalam supaya tidak terlalu yakin untuk mendapat kemenangan dalam pilihan raya umum ke-13 kerana sehingga kini masih tiada jaminan gabungan 13 parti komponen itu boleh mendapat kemenangan besar.
Kini wujud spekulasi bahawa pilihan raya umum ke-13 akan diadakan awal tahun depan.
“Susah saya nak kata kerana saya bukan ahli nujum, saya juga tiada maklumat.
“Tapi, pada pemerhatian saya bukan senang nak menang... kalau kita tengok di Galas, bukan senang untuk kita menang.
“Keadaan sekarang sudah berubah dan bukan senang rakyat nak bagi sokongan kepada BN,” kata beliau pada sidang media di sini.
Pemimpin veteran Umno itu juga menegaskan kemenangan BN dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas dan Parlimen Batu Sapi bukan kayu ukuran bahawa rakyat sudah kembali menyokong BN yang dipimpin Datuk Seri Najib Razak.
“Kemenangan di Galas dan Batu Sapi bukan petanda lampu hijau bahawa rakyat sudah kembali kepada BN.
“Kalau kita lihat kemenangan di Batu Sapi bukan kerana BN dapat sokongan tapi kerana pengundi tidak suka kepada parti lain selain bersimpati terhadap calon BN yang bertanding,” kata Tengku Razaleigh yang juga Ahli Parlimen Gua Musang.
Tambah beliau, rakyat negara ini masih belum “gembira” terhadap kepimpinan Najib ekoran berlaku banyak birokrasi dan amalan rasuah di bawah pemerintahan beliau.
“Rakyat tidak berapa gembira, rakyat lihat perkembangan yang berlaku jadi mereka tidak gembira.
“Jadi, saya rasa masih perlu banyak dilakukan BN sekiranya mahu mendapatkan semula sokongan rakyat kerana rakyat tidak berpuas hati dengan amalan rasuah dan birokasi yang berlaku,” katanya.
DUN Galas menyaksikan BN merampas semula kerusi tersebut daripada PAS apabila Abdul Aziz Yusoff menewaskan calon PAS Dr Zulkefli Mohamed.
Di Batu Sapi Linda Tsen berjaya mengekalkan kerusi tersebut.

No comments:

Post a Comment