Tuesday, December 28, 2010

HALANG KHUSRIN DARI MASUK PEJABAT


Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin (gambar) yang juga bekas Menteri Besar Perak menyarankan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim supaya tidak membenarkan Datuk Khusrin Munawi masuk ke dalam pejabat setiausaha kerajaan negeri selama sebulan sebagai tanda protes.

Cadangan ini diajukan oleh Nizar berikutan perlantikan Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baru diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan semalam tanpa merujuk kepada kerajaan negeri yang dianggap bertujuan untuk mencapai kepentingan politik pihak-pihak tertentu.

“Jadi saya cadangkan supaya Tan Sri Khalid menggunakan kuasa dia untuk mengunci dan anggota keselamatan jangan membenarkan Khusrin masuk selama satu bulan ke pejabat dia.

“selepas kunci bilik tu dia kena keluarkan, Tan Sri Khalid keluarkan satu nota kepada Datuk Khusrin supaya tidak masuk ke pejabat SS dan hanya duduk di rumah, dan kerja dia hendaklah dipangku oleh orang lain,” katanya yang dihubungi TV Selangor hari ini.

Nizar mengemukakan cadangan ini kerana khuatir apa yang berlaku di Perak akan berulang lagi di Selangor dan cadangan tindakan ini dilakukan bagi menyelamatkan tampuk pemerintahan Pakatan Rakyat di Selangor.

Sebelum ini, UMNO-BN telah merampas negeri Perak dari Pakatan Rakyat gara-gara dua ADUN PKR (Behrang & Changkat Jering) dan satu ADUN DAP (Jelapang) telah bertindak keluar parti dan menjadi Bebas, kelayakan ketiga-tiga ADUN ini dipertikai kerana kerusi DUN yang berkenaan telah diumumkan kosong oleh Speaker DUN Perak V. Sivakumar.

Nizar juga menolak tindakan perlantikan Khusrin ini dan menganggap ia sebagai membelakangkan Menteri Besar Selangor kerana keputusan dibuat tanpa meminta pandangan Menteri Besar itu.

“Saya berpendapat bahawa ini adalah satu tindakan yang tidak menghormati kedudukan Tan Sri Khalid sebagai Menteri Besar yang dipilih oleh rakyat sebab dia sebagai menteri besar, mestilah diberikan keputusan ataupun ruang untuk memilih orang yang dia boleh berkerja sebagai SS walaupun dia ada perlantikan daripada Putrajaya tapi pandangan dia mesti dihormati oleh Putrajaya ataupun SPA, jadi ini menunjukkan membelakangkan Tan Sri Khalid dengan hanya menggunakan Tuanku Sultan,” katanya.

Nizar turut memberitahu jika perlantikan Khusrin ini diteruskan, mungkin akan terdapat campurtangan dari kerajaan Pusat dalam membuat keputusan mesyuarat Exco.

“Apa saja keputusan-keputusan yang diputuskan dalam mesyuarat exco, kita sepatutnya SS akan keluarkan arahan dan laksanakan yang diputuskan dalam mesyuarat exco dia lengahkan, dia tak buat.

“kemudian apa yang tak diputuskan dia buat, mesyuarat exco tak bincangkan masalah ini, dia sendiri akan buat surat dan keluarkan arahan tanpa kita bagi arahan dari mesyuarat exco,” ujar Nizar.

Mohd Khusrin, 54 tahun, menggantikan Datuk Ramli Mahmud, yang bersara pada hujung minggu ini, dilihat sebagai pegawai kanan yang kontroversi ketika menerajui JAIS.

Di bawah terajunya JAIS menahan bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin atas alasan mengajar tanpa tauliah.

Menteri Besar Kelantan Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat turut dilarang memberi ceramah di masjid-masjid Selangor.

JAIS sedang menguruskan kes kontroversi melibatkan tangkapan besar-besaran pengamal Syiah minggu lalu.


Aziz Bari: Pusat-negeri konflik, elak lantik Khusrin SUK Selangor


Pakar perundangan Prof A Aziz Bari berpendapat pelantikan Pengarah Jais Datuk Khustin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baru perlu dielakkan memandangkan sudah wujud konflik awal antara negeri dan pusat.

“Dalam keadaan Khusrin telah sedia berkonflik dengan pentadbiran negeri, pelantikannya perlu dielakkan. Apatah lagi apabila kerajaan negeri telah pun mengemukakan nama-nama lain,” kata beliau (gambar) dalam satu kenyataan hari ini.

Nama Khusrin disyorkan oleh Putrajaya manakala kerajaan negeri pula telah mencalonkan tiga nama hasil temu duga khas yang diadakan iaitu ketua Majlis Perbandaran Subang Jaya, Majlis Bandaraya Petaling Jaya dan Majis Daerah Sabah Bernama.

Malah Aziz juga berpendapat Sultan Selangor juga perlu mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri dalam soal pelantikan penyandang jawatan tersebut.

“Soalnya sekarang ialah apakah memang selama ini khususnya ketika pentadbiran BN... memang Sultan mempunyai kata putus? Apa pun melihat kepada apa yang berlaku di Perak dan Selangor, khususnya dalam kes Khusrin, sepatutnya istana bertanya dan berbincang dengan kerajaan negeri,” kata Aziz lagi.

Malah menurut Aziz, perbincangan seumpama itu perlu kerana setiausaha kerajaan negeri ialah ketua pentadbiran negeri dan memainkan peranan penting dalam melaksanakan polisi kerajaan.

“BN sendiri, khususnya di zaman pentadbiran (bekas perdana menteri Tun Dr) Mahathir (Mohamad), begitu tidak selesa dengan campur tangan istana.

“Jadi sekarang BN tidak harus, kalau ia benar-benar memegang prinsip campur tangan. Apa yang dilakukan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Sidek Hasan memberi isyarat campur tangan.

“Sepatutnya, kerajaan pusat memberi laluan kepada kerajaan negeri dahulu,” kata beliau yang menegaskan, pelantikan Khusrin perlu dielakkan bagi mengelakkan konflik.

Aziz menambah, kontroversi yang melibatkan Khusrin dengan sendirinya tidak melayakkan beliau diletakkan sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri.

“Sepatutnya dicari pegawai lain. Meletakkan Khusrin memberi isyarat yang istana tak peduli soal itu.

“Kerajaan persekutuan, yang dipimpin oleh Umno, tidak sepatutnya dibiarkan oleh istana. Keputusan istana mengesahkan Khusrin meletakkan istana dalam kontroversi sebagaimana di Perak dan Kelantan.

“Ini amat dikesali. Istana sepatutnya memainkan peranan meredakan, bukan menajamkan konflik kerana yang rugi dalam soal ini ialah rakyat,” katanya lagi.

Masalah yang sama pernah berlaku di Kelantan pada hujung 1990-an apabila pentadbiran negeri menggunakan istana untuk menyulitkan pentadbiran Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Ketika itu kerajaan negeri juga menghadapi dilema apabila penasihat undang-undang, pegawai pusat juga menimbulkan masalah.

Sehubungan itu kata beliau, masalah berhubung dengan pentadbiran yang dialami di Kelantan, Perak, Pulau Pinang dan Selangor ini hanya boleh diselesaikan jika Pakatan menang di pusat.

Bagaimanapun itu bukan jaminan kerana peruntukan perlembagaan negeri dalam soal pelantikan anggota Exco itu meletakkan kuasa di tangan Sultan.

“Ia tidak boleh dipinda tanpa perkenan Majlis Raja-Raja. Sebagaimana yang terjadi dalam krisis di negeri-negeri yang disebutkan tadi istana mungkin mengambil kesempatan atau digunakan oleh Umno seperti sekarang,” katanya lagi.

Dalam pada itu Ahli Dewan Undangan Negeri Kampung Tunku Lau Weng San pula berkata, mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 Perkara 52(1), jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri perlu diwujudkan dan pelantikan ke jawatan ini hendaklah dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan yang berkenaan daripada kalangan anggota mana-mana perkhidmatan awam yang relevan.

Katanya, Perkara (2)(a) pula menyatakan bahawa Setiausaha Kerajaan Negeri hendaklah berbangsa Melayu dan menganut agama Islam serta hendaklah menjadi pegawai utama yang bertanggungjawab bagi hal ehwal pentadbiran negeri.

“Saya ingin merujuk kepada lapporan hari ini berkenaan dengan kenyataan yang dibuat oleh Setiausaha Sulit kepada Tuanku Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani bahawa pada ‘pendapat’ beliau, keputusan untuk melantik Datuk Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baru adalah ‘confirm’ kerana Tuanku telah berkenan untuk melantik beliau.

“Kenyataan oleh Datuk Munir sebenarnya tiada sebarang asas perlembangan,” katanya.

Oleh itu kata beliau, adalah jelas bahawa pelantikan jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri ini tidak semestinya dilantik oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam malah, ia boleh dilantik daripada kalangan mereka di “Suruhanjaya Perkhidmatan yang berkenaan” termasuk Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri Selangor.

Perkataan “Suruhanjaya Perkhidmatan Awam” tidak disebut secara khusus dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor 1959.

“Selain itu, Setiausaha Kerajaan Negeri bersama-sama dengan Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-Undang Negeri perlu mengangkat dan menandatangani Sumpah Simpan Rahsia di hadapan Menteri Besar dan bukan Tuanku Sultan Selangor mengikut Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor 1959.

“Ini sekali gus bermakna bahawa Setiausaha Kerajaan negeri perlu bertanggungjawab terus kepada Menteri Besar,” katanya.

Oleh itu kata beliau, pelantikan penyandang jawatan tersebut wajar dirujuk kepada kerajaan negeri Selangor dan lebih baik lagi pendangan dan pendapat kerajaan negeri diambil dan diterima pakai kerana Setiausaha Kerajaan Negeri merupakan jawatan yang penting.

“Dan, sesiapa yang memegang jawatan ini mestilah seorang yang berupaya dan berkebolehan. Sesiapa yang dilantik ke jawatan ini perlulah seorang yang tidak berkontroversi,” katanya.

No comments:

Post a Comment