Konvoi ini yang bermula pada malam Khamis lalu ini turut melibatkan pelbagai program-program selama tiga hari iaitu program kemasyarakatan, sukan, forum, keusahawanan, kesenian, pertunjukkan permotoran dan lain-lain.
Kejayaan SAMM yang pengasasnya Chegu Bard menganjurkan program tersebut boleh dianggap sebagai titik permulaan bagi pertubuhan tersebut merintis program-program lain yang lebih besar dan berkesan bagi memenangi hati anak-anak muda negara ini.
Selain itu program ini yang juga disifatkan oleh sesetengah pihak sebagai signifikan cabaran kepada AMK agar lebih proaktif mengadakan program yang mampu memenangi hati golongan muda ini turut mendapat pujian daripada Ketua Umum PKR, Dato Sri Anwar Ibrahim sebelum ini.
Melalui program-programnya, SAMM walaupun dengan sumber kewangan yang terhad ini juga seolah-olah sedikit demi sedikit akan mengambil alih dan mengisi kekosongan yang sepatutnya diisi oleh AMK yang dipimpin oleh Shamsul Iskandar Md Akin.
Bagi Chegu Bard yang kini tidak mempunyai sebarang jawatan di peringkat pusat PKR, kini mempunyai jadual lebih padat berbanding sebelumnya apabila kerap diundang untuk memberikan ceramah dan menghadiri program lain yang dianjurkan oleh cabang-cabang parti itu sendiri mahupun oleh parti-parti lain dalam PR.
Kepadatan jadualnya terjadi apabila didorong oleh minat yang semakin bertambah daripada pihak penganjur program untuk mengundang beliau baik program yang dianjurkan oleh cabang PKR sendiri mahupun parti lain dalam PR.
Secara umumnya pada masa ini, ketika menghadiri jemputan mana-mana program, imej Chegu Bard lebih dilihat sebagai personaliti yang mewakili anak-anak muda akar umbi dalam AMK dan tentunya SAMM sendiri berbanding Shamsul yang berada dalam ‘kelasnya tersendiri’.
Shamsul yang kejayaannya mempertahankan jawatan ketua AMK dengan tidak mendapat pengiktirafan dari sesetengah pihak dalam AMK sendiri seharusnya memandang ‘kepantasan’ SAMM ini sebagai satu cabaran untuk beliau lebih proaktif memenangi hati masyarakat muda di peringkat akar umbi.
Menjadikan ayat ‘pemilihan baru sahaja selesai’ sebagai alasan adalah sesuatu yang tidak boleh diterima, lebih-lebih lagi dengan reputasi yang tercalar dengan aduan-aduan yang masih tiada jawapan ketika sepanjang pemilihan berlangsung.
Apatah lagi, AMK Pusat yang mampu memperolehi sumber kewangan yang lebih besar seharusnya lebih pantas berbanding SAMM untuk mengatur program anak-anak muda sekaligus mampu mengikis label kura-kura yang dibawa beliau sewaktu pemilhan berlangsung sebelum ini.
Malangnya Ketua AMK itu lebih menampilkan lagak seorang Naib Presiden, jawatan yang mahu ditandingi pada awalnya berbanding lenggok yang sepatutnya ada pada anak-anak muda.
Lebih-lebih lagi apabila Shamsul dilihat lebih gemar mendampingi dan ‘mengekori’ samada Anwar Ibrahim mahupun Azmin Ali di lokasi-lokasi ceramah sehinggakan dilabelkan sebagai ‘escort’ kepada kedua-dua pemimpin tertinggi PKR itu.
Malahan kehadiran Shamsul di tapak-tapak ceramah yang membariskan pemidato hebat seperti Anwar Ibrahim akhirnya menenggelamkan beliau sendiri apabila rata-rata audien hanya memfokuskan kepada penceramah utama yang jauh lebih hebat pidato mereka.
Keadaan ini boleh disamakan dengan pasukan bola sepak Malaysia yang tentunya tidaklah nampak begitu teruk apabila menentang pasukan negara-negara Asia Tenggara lain berbanding akan dilihat sangat kerdil apabila berhadapan pasukan seperti Brazil atau Sepanyol.
Sebagai Ketua AMK, seharusnya beliau sedar bahawa kejayaan untuk menarik minat anak-anak muda ke arah kesedaran politik dan hak mereka sebagai rakyat tidaklah memadai dengan sekadar pendekatan berceramah semata-mata.
Kelompok anak-anak muda ini seharusnya diberikan tumpuan khusus dengan mendekati mereka melalui program yang mampu menarik minat mereka sekaligus mewujudkan perasaan tidak terasing kelompok ini dengan barisan pemimpin mereka.
No comments:
Post a Comment