Monday, March 21, 2011

Serangan Ke Atas Libya: Najib Dan Muhyiddin Membisu..??



Sudah masuk hari ketiga Libya diserang oleh tentera bersekutu PBB yang disertai oleh Amerika Syarikat, Britain, Perancis, Kanada dan Itali.

Serangan udara di Tripoli, Tarhuna, Mamura dan Jmail dilaporkan telah membunuh 48 dan mencederakan lebih dari 150 orang awam, tetapi kerajaan Malaysia di bawah Perdana Menteri Mohd Najib Tun Razak dan timbalannya Muhyiddin Mohd Yassin masih membisu dan tidak menyatakan pendirian Malaysia mengenainya.

Turki dan Rusia telah menyerukan tentera perikatan itu menghentikan tindakan ketenteraan di wilayah Libya.

Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan, semalam meminta gencatan senjata segera diadakan di Libya. Tidak terkecuali gencatan senjata pada operasi tentera antarabangsa yang dipimpin Amerika Syarikat.

"Kami menuntut gencatan senjata segera diberlakukan di Libya. Kami telah memberitahu pihak berwenang Libya untuk tidak mengarahkan senjata kepada rakyatnya dan mendengarkan tuntutan mereka," kata Erdogan dalam sebuah pidato di Jeddah Economic Forum, Ahad (20/3).

Erdogan mengaku prihatin dengan apa yang terjadi di Libya. “Apa yang terjadi di Libya membuat kita sedih dan prihatin, dan kini telah sampai pada tahap yang tidak kita inginkan,” ujarnya seraya mendesak Kolonel Muammar Qaddafi agar melepaskan jabatan dan menyerahkannya kepada mereka yang berhak.

Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar Negeri Rusia, Alexander Ukashevic, juga mendesak dihentikannya penggunaan kekuatan tentera di Libya. "Kami mendesak negara-negara yang terkait untuk menghentikan penggunaan kekuatan bersenjata secara sembarangan. Karena, hal tersebut telah menyebabkan orang awam terkorban,” kata Ukashevic dalam sebuah pernyataan.

Pemerintah Indonesia turut menyerukan masyarakat antarabangsa memberikan perlindungan kepada penduduk awam Libya, menyusul situasi yang terjadi di Libya akhir-akhir ini. Hal ini termasuk pula seruan diakhirinya kekerasan yang terjadi selama ini.

Diwakili oleh Menteri Luar Negeri Republik Indonesia Marty Natalegawa, Republik Indonesia menegaskan sikapnya mengenai keadaan yang terjadi di Libya.

"Sejak awal berkembangnya situasi di Libya, Pemerintah Indonesia secara konsisten menyerukan agar masyarakat antarabangsa memberikan perlindungan kepada penduduk awam yang tidak berdosa dan yang menjadi korban tindak kekerasan," katanya.

Negara China awal-awal telah mengecam serangan udara yang dilakukan pasukan perikatan terhadap Libya.

Dalam sebuah pernyataan Cina menyatakan terus mengikuti perkembangan di Libya dan menyebut serangan tersebut mengganggu hubungan antarabangsa.

Dr. Azman Ibrahim di dalam blognya pula menyatakan tindakan serangan udara ke ats Libya oleh Barat yang diketuai AS menimbulkan banyak persoalan dan kuasa barat serta Eropah perlu memberikan penjelasan motif sebenar serangan ke atas negara pimpinan Muammar Gaddafi ini kerana jelas gambaran sejarah Iraq dan Saddam Husein bakal berulang.

Beliau telah menjangkakan serangan ini akan berlaku malah amat yakin ianya akan berlaku cepat atau lambat ditambah lagi dengan sokongan beberapa negara Arab yang bebal dan dungu.

Jika betul bagai dicanang, serangan dilakukan bertujuan untuk menyelamatkan dan melindungi orang awam daripada krisis yang melanda Libya, tapi yang jelas orang awam tetap menjadi mangsa.

"Situasi sama sedang berlaku di Bahrain sekarang tetapi tiada tindakan dari Barat mungkin disebabkan negara itu menjadi sekutu AS dan menempatkan pengkalan tentera AS.

Kita meyakini tanpa ragu, agenda sebenarnya adalah emas hitam yang ditakungi perut bumi Libya. Agenda tersembunyi adalah kerana Libya antara negara terkaya dengan hasil minyak dan gas," tambahnya.

No comments:

Post a Comment