Thursday, May 5, 2011

Konvensyen Kewangan Islam 7 Mei

Persatuan Ulama Malaysia (PUM) Cawangan Selangor dengan kerjasama Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia (AIBIM) dan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah akan menganjurkan Konvensyen Kewangan Islam 2011 pada 7 Mei, Sabtu ini.

Konvensyen itu yang bermula jam 8.00 pagi diadakan di Dewan Seminar Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.

Pengerusi PUM Selangor, Mohamad Zamri Mohamed Shapik berkata, konvensyen sehari itu bertemakan Konsep Riba: Aplikasi Dalam Sistem Kewangan Moden telah dirancang untuk membahas isu-isu semasa berkaitan riba.

Katanya, antara tokoh perbankan Islam Malaysia yang terlibat membentangkan kertas kerja ialah Prof. Madya Dr. Mohamad Akram Laldin, Ketua Pegawai Eksekutif, International Shariah Research Academy For Islamic Finance (ISRA), Bank Negara Malaysia;

Prof. Madya Dr. Abdul Aziz Hanafi, Ketua Jabatan Syariah, Kolej Universiti Insaniah, Kedah; Mohd. Zamerey Abdul Razak, Ketua Jabatan Syariah, Asian Finance Bank Malaysia; Mohd. Nazri Chik, Ketua Jabatan Syariah, Bank Islam Malaysia Berhad; Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan.

“Antara objektif utama penganjuran program ini ialah menjelaskan isu-isu semasa kewangan yang melibatkan persoalan dan kemusykilan berkaitan isu riba berteraskan perspektif Islam,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Di samping itu, ia juga untuk memberikan kefahaman yang jelas terhadap semua pihak terhadap takrifan riba seperti yang telah dijelaskan oleh Al-Quran, As-Sunnah dan pendapat ulama muktabar selain menjadi medan kepada para agamawan, pemain industri dan semua pihak untuk menyatakan pendapat untuk mencapai kesepakatan secara bersama.

Katanya, pihaknya amat mengalu-alukan penyertaan dari para ulama, intelektual, pegawai-pegawai kewangan, penyelidikan dan badan-badan NGO, agensi-agensi kerajaan dan swasta, wakil institusi-institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta wakil-wakil masjid serta orang perseorangan.

Beliau berkata yuran penyertaan dari agensi kerajaan, swasta, NGO ialah RM150 seorang, individu (RM100), ahli PUM (RM70) dan pelajar ijazah pertama atau sekolah menengah (RM 50).

Tambahnya, sebarang maklumat lanjut berkaitan konvensyen boleh menghubungi Azmi Walang (013-384 0710), Nizam (012-291 1335) atau pejabat (03-5512 4300 / 03-5511 4301).

No comments:

Post a Comment